SHAH ALAM - Pemilihan ahli-ahli kabinet yang benar-benar bersih daripada isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan perlu menjadi perkara pertama yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merealisasikan ikrar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemilihan ahli-ahli kabinet yang benar-benar bersih daripada isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan perlu menjadi perkara pertama yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merealisasikan ikrar beliau.

Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Mohd Nizam Mohd Isa berkata, pemilihan kabinet yang berintegriti wajar menjadi keutamaan Anwar untuk mentadbir negara ke arah lebih baik.

Menurutnya, selain itu pertimbangan sama juga perlu dibuat terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jabatan-jabatan kerajaan.

Mohd Nizam

"Anwar perlu membersihkan semua GLC dan jabatan kerajaan daripada diketuai oleh mereka yang mempunyai masalah integriti seperti diketahui rakyat.

"Semua lantikan bagi peneraju GLC dan pihak berkuasa tempatan juga perlu diubah. Lantikan perlu terdiri daripada pihak luar dan bukannya daripada ahli-ahli politik.

"Ini akan dapat membantu beliau mentadbir negara dengan lebih berkesan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau mengulas mengenai perkara yang perlu dilaksanakan oleh Anwar susulan ikrar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk membersihkan Malaysia daripada rasuah.

Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata, selain pembersihan pimpinan daripada mereka yang tidak berintegriti, Anwar juga disaran memberi tumpuan untuk menaikkan ekonomi sektor industri kecil dan sederhana (IKS) dan industri desa.

"Anwar perlu memastikan harga barangan asas dapat diturunkan. Beliau juga perlu menumpukan peluang pembelajaran kemahiran,” katanya.

Beliau juga percaya, Anwar mampu mengotakan janji membersihkan Malaysia daripada rasuah atas prinsip yang begitu kuat.

"Perasaan terharu melihat suatu keajaiban (Anwar dilantik sebagai perdana menteri).Beliau telah melalui suatu proses yang amat berliku kerana prinsip yang kuat. Beliau memilih perjalanan yang sukar dari jalan mudah.

"Saya percaya beliau akan menjadi perdana menteri yang berkualiti dengan latar belakangnya. Syabas dan tahniah,” katanya.

PH belum bincang pembentukan kabinet

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, masih tiada perbincangan mengenai pembentukan kabinet melibatkan parti gabungan Pakatan Harapan (PH) setelah Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri pada Khamis.

"Saya tidak ada apa-apa maklumat (mengenai pembentukan kabinet), kalau ada saya akan kongsi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Saifuddin Nasution Ismail

Sebelum ini, Anwar memaklumkan beliau akan melaksanakan pembentukan saiz kabinet yang lebih kecil berbanding semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden PKR itu berkata, pihaknya juga akan mengusulkan supaya gaji menteri dalam kabinet kerajaan perpaduan dikurangkan ekoran perkembangan situasi ekonomi kini.

Beliau juga akan merujuk kepada setiap gabungan yang bersetuju membentuk kerajaan perpaduan untuk senarai calon menteri kabinet mereka.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Adam Adli Abd Halim berkata, pembentukan kabinet melibatkan kerajaan perpaduan pasti akan mengambil sedikit masa.

Adam Adli

Apatah lagi katanya, presiden parti tersebut baru sahaja memulakan tugasnya di Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat pagi.

"Sekarang ini pun, Perdana Menteri baru sahaja masuk pejabat beliau tidak sampai 24 jam, jadi tunggu sahajalah.

"Beliau (Anwar) mesti ada banyak perkara yang ingin diuruskan, jadi pembentukan kabinet pasti akan ambil masa,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca