AKHIRNYA, sah Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.Itu pun selepas lima hari menunggu apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti yang memperoleh majoriti mudah 112 bagi... Klik di sini untuk terus membaca

AKHIRNYA, sah Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Itu pun selepas lima hari menunggu apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti yang memperoleh majoriti mudah 112 bagi membentuk kerajaan.

Bukan mudah untuk menentukan siapa Perdana Menteri kerana ia pertama kali negara menyaksikan keputusan Parlimen tergantung berlaku.

Kedudukan kerusi yang terpecah antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), dua pakatan yang memperoleh kerusi terbanyak PRU15 membawa kepada kemelut tersebut.

Syukurlah kebijaksanaan dan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menerusi Majlis Raja-Raja telah menyelamatkan keadaan serta memelihara keutuhan Perlembagaan.

Perkenaan daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap penyelesaian secara kerajaan perpaduan akhirnya merungkai permasalahan.

Menarik kerana ia telah selesai secara aman dan demokratik. Ia sekali gus mengesampingkan aspek perlantikan Perdana Menteri yang lazimnya mengikut kerangka majoriti dari sisi politik kepartian berbanding mengikut lunas perundangan yang dipasak menerusi prinsip keluhuran Perlembagaan.

Dari satu segi, pelantikan Perdana Menteri telah selesai. Cabaran terbesar seterusnya tentulah menghidupkan kerajaan perpaduan tersebut.

Dengan penyertaan tiga gabungan utama yang membentuknya – PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) – kepimpinan Anwar sememangnya ditagih bagi menghidupkannya.

Pertama, Anwar perlu memastikan kerajaan perpaduan mampu bekerjasama dengan baik dan berkesan. Ia setelah di peringkat awal, ramai yang meramalkan kerjasama antara tiga parti tersebut sukar berlaku.

Apa formula dan format yang bakal dikemukakan beliau bagi memastikan kerajaan perpaduan lancar dan bertahan sehingga habis mandat amat dinantikan.

Kedua, pembentukan kabinet. Ia menjadi lebih penting selepas pelantikan Perdana Menteri itu sendiri. Pertama, kabinet bakal menentukan bagaimana kesemua parti yang membentuk kerajaan perpaduan diwakili secara individu dan wilayah.

Kedua, keperluan Perdana Menteri untuk membentuk pasukan mantap, di samping mengawal saiz kabinet, sesuatu yang sukar dilakukan dalam kerajaan yang bersifat gabungan.

Ketiga, memastikan kerajaan perpaduan fokus kepada agenda pengukuhan ekonomi melalui dasar dan kebijakan yang kompak di sebalik kepelbagaian ideologi serta pegangan politik.

Di peringkat awal, semua pihak perlu segera melakukan gencatan politik dengan mengorbankan ego dan kepentingan strategik masing-masing untuk bergerak sebagai sebuah pasukan bagi tujuan tersebut.

Keempat, mengurangkan pergeseran parti yang berpotensi menggugat kerjasama. Keperluan untuk mengurus permasalahan antara parti bergantung kepada penawaran dan komitmen yang dimuktamadkan ketika membentuk kerjasama.

Apakah tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri, komitmen berkenaan MA63 dan kompromi-kompromi lain mahu mencegah hal tersebut atau apakah akan ada perkembangan selanjutnya selepas ini?

Terakhir, memenuhi janji kerajaan untuk melawan rasuah dan penyelewengan secara serius melalui agenda reformasi serta pemerkasaan institusi.

Hal itu antara yang paling dituntut, mengambil kira suara umum rakyat di kotak undi pada Sabtu lalu berat berkehendakan dengan menolak parti terkait dengan hal tersebut.

Dengan BN menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, sudah tentu hal-hal yang pernah dibangkitkan PH menyentuh isu rasuah dan skandal penyelewengan akan diikuti rapat oleh rakyat serta parti pembangkang.

Malah, hal itu mungkin menjadi cabaran terbesar kepimpinan Anwar di peringkat awal sebagai Perdana Menteri.

Apa pun, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Anwar atas lantikan tersebut. Semoga beliau diberikan segala kekuatan untuk menggalas tanggungjawab memimpin dan membangunkan rakyat serta tanah air.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca