PADA Khamis, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menamatkan kegusaran politik negara pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara, Kuala... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Khamis, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menamatkan kegusaran politik negara pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Ia sekali gus menyelesaikan teka-teki selepas lima hari Parlimen berada dalam situasi tergantung berikutan PRU15 menyaksikan tiada mana-mana pihak berjaya mendapat majoriti 50 peratus daripada kerusi dipertandingkan.

Dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akhirnya mengumumkan sebuah kerajaan perpaduan berjaya terbentuk hasil kerjasama PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan yang terbaharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS), cabaran besar pastinya menanti beliau dalam mengemudi negara keluar daripada kemelut ekonomi dan politik.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Premium, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Emir Research Centre, DATUK DR RAIS HUSSIN MOHAMED ARIFF bagi menyelami cabaran besar dan langkah penyelesaian perlu dilaksanakan Anwar bagi memastikan kerajaan perpaduan baharu dibentuk bersifat kalis krisis dan efektif.

SINAR PREMIUM: Apa bentuk kerajaan perpaduan yang bakal diwujudkan Anwar dan berapa besar saiz kabinet yang ideal memandangkan PH sebelum ini berjanji untuk mengecilkan saiz kabinet kerajaan terdahulu?

RAIS HUSSIN: Saiz kabinet dalam pembentukan kerajaan perpaduan perlu bersesuaian dengan keutamaan dasar dan keperluan semasa.

Saiz kabinet terlalu besar hanya membazirkan wang cukai yang boleh disalurkan kepada tujuan lebih berguna dan bermakna.

Kita yakin bahawa kerajaan perpaduan yang diterajui PH akan memenuhi janji untuk mengecilkan saiz kabinet terdahulu sebagai komitmen terhadap agenda reformasi secara keseluruhannya.

Komposisi kabinet perlu seimbang dari segi kompetensi, penyertaan kaum dan keterangkuman wilayah.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kementerian tertentu adalah sensitif untuk sesetengah pihak seperti kewangan.

Oleh itu, semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh perlu prihatin dan mencapai persefahaman dalam pengagihan jawatan dan portfolio jemaah menteri.

Rais Hussin

SINAR PREMIUM: Apa cabaran besar yang bakal dihadapi Anwar sebagai Perdana Menteri untuk jangka masa pendek memandangkan pembentukan kerajaan perpaduan masih diselubungi kebimbangan situasi politik negara tidak stabil?

RAIS HUSSIN: Ada dua cabaran dasar jangka pendek perlu diberikan keutamaan iaitu perpaduan nasional yang agak membimbangkan dan keadaan terancam akibat permainan sentimen agama dan kaum yang sempit, serta kos sara hidup semakin tinggi.

Ia juga sebahagian daripada ekonomi perut, meliputi isu pengangguran dan guna tenaga bawah kapasiti, akses kepada milik rumah mampu, akses kepada pembelajaran berkualiti dan berdasarkan keperluan industri dan penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mampan.

Cabaran ketiga pula adalah jangka masa pertengahan hingga panjang iaitu reformasi institusi kerajaan dan pentadbiran.

Ini melibatkan mengukuhkan pemisahan dan pembahagian kuasa di antara cabang kerajaan, memperkasakan kedaulatan undang-undang dan sebagainya.

Jadi, Anwar sebagai Perdana Menteri perlu memberi perhatian terhadap menyatupadukan negara dan menangani isu berkaitan kos sara hidup, termasuk memastikan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi.

SINAR PREMIUM: Untuk cabaran jangka masa sederhana dan panjang, apa langkah-langkah terbaik yang harus dilaksanakan Anwar bagi menstabilkan kerajaan perpaduan sehingga penghujung penggal pentadbiran?

RAIS HUSSIN: Pertama, Perdana Menteri harus memberi jaminan bahawa beliau akan menjadi seorang pemimpin kerajaan yang mewakili semua pihak – Perdana Menteri untuk semua.

Beliau perlu menekankan dan menegaskan bahawa tiada yang akan terpinggir atau diketepikan untuk meredakan kegelisahan rakyat akibat polarisasi yang berlaku dan timbul kerana sentimen agama dan kaum dimainkan segelintir politikus.

Jadi, Perdana Menteri baharu mesti mengembalikan keyakinan rakyat terhadap perpaduan nasional dengan satu visi dan misi segar – yang akan menyemarakkan semangat bersatu padu dan membawa negara ke era dan zaman baharu.

Kedua, kerajaan baharu mesti membuat perancangan dan langkah kesiapsiagaan bagi menangani cabaran kos sara hidup.

Satu pelan tindakan perlu disiapkan dengan secepat mungkin bagi memastikan isu-isu seperti inflasi, penyusutan atau kemerosotan nilai matawang ringgit boleh diurus dalam masa terdekat atau jangka pendek dan dengan berkesan.

Pada masa sama, PH perlu menubuhkan satu jawatankuasa pemantauan janji manifesto bagi memantau perkembangan pelaksanaan janji manifesto supaya tawaran pilihan raya dikotakan dengan sepenuhnya.

Ini juga akan menguatkan keyakinan rakyat terhadap integriti dan keabsahan kerajaan baharu.

Ketiga, dalam jangka masa pertengahan hingga panjang, Perdana Menteri perlu melaksanakan inisiatif-inisiatif mereformasikan dan menambah baik peranan serta keberkesanan institusi kerajaan dan pentadbiran, termasuk membasmi amalan dan gejala rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

SINAR PREMIUM: Adakah wajar idea pembentukan kabinet baharu tanpa penyertaan DAP bagi meredakan sentimen agama dan perkauman yang kuat dimainkan ketika ini?

RAIS HUSSIN: Pembentukan kabinet baharu akan berlaku dengan perbincangan dan persetujuan bersama ahli-ahli komponen kerajaan perpaduan.

Siapa yang akan dilantik adalah hasil perbincangan dan persetujuan bersama ahli-ahli komponen kerajaan perpaduan.

Yang penting sekali adalah memastikan bahawa euforia daripada kemenangan dan keputusan muktamad Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 berdasarkan jumlah sokongan kepada gabungan terbesar tidak membawa kepada backlash daripada mana-mana pihak, terutama sekali kaum majoriti Melayu.

Jadi, kerajaan perpaduan perlu prihatin dalam hal ini dan sentiasa menggunakan hikmah serta memberi jaminan kepada semua pengundi bahawa kekhuatiran mereka berdasarkan isu agama dan kaum tidak akan berlaku.

SINAR PREMIUM: Apa asas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan untuk memperkenankan Anwar menjadi Perdana Menteri memandangkan Perikatan Nasional (PN) mendakwa mempunyai sokongan surat akuan bersumpah (SD) mencukupi sebelum ini?

RAIS HUSSIN: Pendirian Yang di-Pertuan Agong dalam mengambil masa bagi proses pelantikan Perdana Menteri adalah atas budi bicara dan kebijaksanaan Seri Paduka.

Sudah tentu Al-Sultan Abdullah dinasihatkan sebelum ini dengan mengambil kira keadaan atau situasi terkini.

Yang di-Pertuan Agong mengambil keputusan untuk tidak mengambil kira perakuan bersumpah (SD) kali ini berdasarkan undang-undang yang telah diluluskan Parlimen dan berkuat kuasa susulan itu, iaitu pindaan akta berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti dan juga pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, pendirian dan pendekatan Seri Paduka adalah sejajar dengan peruntukan Perlembagaan dan Akta Parlimen.

Klik di sini untuk terus membaca