CIANJUR - Pasukan penyelamat Indonesia semakin kesuntukan masa untuk mencari dan menarik keluar mangsa yang terperangkap dalam runtuhan gempa bumi di daerah Cianjur, Jawa Barat, lima hari selepas bencana itu melanda. Malah, operasi mencari... Klik di sini untuk terus membaca

CIANJUR - Pasukan penyelamat Indonesia semakin kesuntukan masa untuk mencari dan menarik keluar mangsa yang terperangkap dalam runtuhan gempa bumi di daerah Cianjur, Jawa Barat, lima hari selepas bencana itu melanda.

Malah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) berdepan kesukaran ekoran gegaran susulan dan hujan di kawasan pergunungan di daerah itu.

Angka rasmi kematian akibat gempa bumi bermagnitud 5.6 itu mencatat hampir 300 orang dengan pihak berkuasa berkata angka korban dijangka meningkat dari masa ke masa.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Save the Children yang berpangkalan di London, gempa bumi di Cianjur mengorbankan berpuluh-puluh murid sekolah kerana gegaran berlaku semasa sesi persekolahan sedang berlangsung.

Berdasarkan data yang dikumpul setakat 5 petang (waktu tempatan) pada Khamis, sekurang-kurangnya 2,043 orang cedera dan 61,908 lagi ditempatkan di pusat perlindungan selepas 56,320 rumah rosak.

Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Suharyanto berkata, ramai yang belum menerima bantuan dan hampir 5,000 sukarelawan dikerahkan untuk membantu mengagihkan bekalan makanan serta keperluan lain.

Katanya, pengagihan bantuan bertambah baik apabila sekatan jalan raya semakin berkurangan.

Ahmad Ashikin (dua dari kiri) tidak dapat menahan kesedihan selepas mengetahui anak perempuannya, Ashika Nur Fauziah terkorban dalam kejadian gempa bumi di Cugenang.

Mereka yang terselamat, termasuk warga emas dan kanak-kanak berkumpul di dalam khemah tentera yang terletak agak jauh dari kampung yang terjejas dan juga beratur untuk mendapatkan bantuan daripada sukarelawan.

Di kampung Sukamanah, penduduk berkata mereka terpaksa mencatu makanan dan kekurangan bekalan untuk kanak-kanak, termasuk ubat-ubatan, lampin dan susu.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo (Jokowi) melawat tapak gempa bumi untuk kali kedua pada Khamis.

Beliau berkata, operasi memindahkan orang ramai dan mengagihkan bantuan adalah menjadi keutamaan.

Dalam pada itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) pula memaklumkan bahawa gegaran susulan dijangka stabil dalam tempoh minggu depan.

Namun agensi itu memberi amaran tanah runtuh dan banjir diramal berlaku ketika ribut petir diramal melanda rantau itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca