DALAM tempoh lebih 63 tahun Malaysia mendepani sebanyak 15 kali pilihan raya umum, inilah kali kedua politik negara berdepan situasi paling gawat selepas kali pertama tahun 1969.
Walaupun pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Barisan Nasional (BN) tumbang selepas 60 tahun memerintah, tetapi peralihan kuasa berlangsung dengan teratur apabila Pakatan Harapan (PH) menang sekurang-kurangnya 121 kerusi sebelum beberapa ahli Parlimen UMNO melompat parti.
Tetapi kali ini skrip PRU15 ternyata berbeza. Pagi Subuh tanggal 20 November, papan skor PRU15 menyaksikan tiada parti melepasi angka keramat majoriti mudah 112.
Maka sejak itu, berlaku percaturan demi percaturan antara parti PH yang menang 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 73 kerusi.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada awalnya menyatakan sokongan kepada PN, namun ia masih belum membolehkan PN mencapai angka 112.
Maka, perebutan ketika itu tidak lain dan tidak bukan, ahli Parlimen BN seramai 30 orang. BN pecah kepada dua kem ketika itu dengan satu kem mahu menyokong PH manakala satu lagi kumpulan mahu menyebelahi PN.
Namun, dengan kemunculan kelompok ketiga dan idea BN tidak perlu menyokong sesiapa dan kekal menjadi pembangkang, keadaan semakin rumit.
Masuk hari kedua, perhatian rakyat Malaysia dan seluruh dunia mula terarah kepada Istana Negara.
Ia adalah krisis yang perlu diselesaikan payung rakyat iaitu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kebuntuan antara parti menyebabkan Agong pada awalnya menitahkan PH dan PN bersama-sama berdamai dan bekerjasama untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.
Jika ia terjadi, maka kerajaan perpaduan PH PN GPS GRS sangat kuat apabila memiliki 184 kerusi daripada keseluruhan 221 kerusi dipertandingkan.
Bagaimana PN menolak titah tersebut difahamkan atas faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengepalai Putrajaya kerana PH adalah blok yang menang paling banyak kerusi.
Penolakan itu akhirnya membawa kepada titah Agong untuk supaya blok BN memberi sokongan kepada PH untuk menyatakan sokongan menyertai kerajaan perpaduan dan mengakhiri krisis politik Malaysia.
Selain itu, Seri Paduka Baginda turut mengadakan Persidangan Khas Raja-Raja Melayu bagi mendapatkan pandangan tentang penubuhan kerajaan baharu dengan Anwar diangkat sebagai PM ke-10.
Walaupun ada yang mungkin bergembira dengan pelantikan Anwar dan mungkin kurang bersetuju, tetapi bayangkan apa yang akan terjadi jika kemelut ini tidak ditamatkan Seri Paduka Baginda. Sampai bila Malaysia akan berdepan dengan situasi Parlimen tergantung dan pergeseran antara parti.
"Seri Paduka Baginda mempamerkan kebijaksanaan tinggi dalam menyelesaikan kemelut Parlimen tergantung dengan memainkan peranan secara objektif, adil dan saksama serta memberi ruang kepada gabungan terlibat (PH dan PN) untuk membuktikan kepadanya siapa mempunyai sokongan terbanyak.
"Dan pelantikan Anwar dibuat hanya setelah Seri Paduka Baginda yakin bahawa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri.
"Hal ini menunjukkan Seri Paduka Baginda telah menunjukkan budi bicara dan kebijaksanaan dalam melaksanakan sebaiknya tanggungjawab melantik perdana menteri sepertimana diperuntukkan dalam Perlembagaan mengikut Perkara 43, (2) (a), " ujar Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Menurut Nik Ahmad Kamal lagi, tindakan segera Yang di-Pertuan Agong menyelesaikan situasi Parlimen tergantung juga adalah penting untuk survival negara sama ada daripada segi politik dan ekonomi.
"Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menyelesaikan situasi Parlimen tergantung adalah kritikal untuk memastikan kestabilan politik, kelancaran urusan pentadbiran negara dan mengekalkan minat pelabur luar untuk terus berurus niaga di negara ini,” ujarnya.
Keabsahan di Parlimen
Ditanya adakah tindakan awal Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu Anwar mengemukakan bukti keabsahan sebagai Perdana Menteri seolah-olah membelakangkan kebijaksanaan dan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Nik Ahmad Kamal berkata, ia boleh dianggap sebagai cabaran politik.
"Saya anggap ia bukan membelakangkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sebaliknya sekadar cabaran politik yang biasa dilakukan mana-mana parti yang tidak mendapat sokongan majoriti.
"Dan pada saya cabaran itu telah disambut oleh Anwar dengan kenyataan bahawa kerajaan sendiri akan mengadakan undi percaya pada sidang Parlimen 19 Disember bagi memuktamadkan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Muhyiddin pada Jumaat mengatakan PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen.
"Demi untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia untuk merintis bentuk-bentuk kerjasama yang lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Bukan kali pertama
Mengimbas sepanjang tempoh menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 sejak tahun 2019 hingga kini, ini bukan kali pertama Seri Paduka Baginda dihadapkan dengan cabaran menyelesaikan pelbagai krisis negara.
Peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari 2020 rentetan kejatuhan PH akibat Langkah Sheraton menyaksikan Seri Paduka Baginda memanggil 222 ahli Parlimen bagi memilih perdana menteri seterusnya.
Hasil representasi kesemua ahli Parlimen terbabit berjaya meyakinkan Seri Paduka Baginda bahawa Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 29 Februari 2020.
Seterusnya, pemerintahan Seri Paduka Baginda juga dihadapkan dengan cabaran getir pandemik Covid-19 yang menular ganas dua tahun lalu.
Ketika itu, Seri Paduka Baginda banyak memberi titah agar kerajaan melakukan usaha terbaik bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat tidak dikompromi akibat virus maut tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca