BIARPUN Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun ujian sebenarnya adalah... Klik di sini untuk terus membaca

BIARPUN Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun ujian sebenarnya adalah untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan yang stabil bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kunci utama kestabilan politik dan kerajaan perpaduan bakal dibentuk Presiden PKR berkenaan sudah pastinya bergantung kepada kesepakatan dan kerjasama antara barisan kabinet kecil yang akan diumumkan Anwar tidak lama lagi.

Berikutan itu, Anwar mestilah membentuk kabinet yang terdiri daripada pemimpin parti gabungan yang membentuk kerajaan perpaduan atau kerajaan rakyat dipimpinnya.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, Ahli Parlimen Tambun berkenaan juga tidak boleh mendabik dada dan mengaku kerajaan campuran berkenaan adalah kerajaan PH 2.0.

Beliau berkata, Anwar perlu menerapkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kerajaan campuran berkenaan, bukannya beliau atau PH bertindak dan membuat keputusan secara bersendirian tanpa membabitkan pemimpin parti gabungan lain.

"Biarpun PH mempunyai sokongan ahli Parlimen teramai namun Anwar dan partinya tidak boleh membuat keputusan sendirian jika Presiden PKR itu mahu jangka hayat kerajaan perpaduan pimpinannya bertahan lama sehingga tamat penggal Parlimen ke-15, lima tahun lagi.

"Jika Anwar dan PH gagal berbuat demikian jangka hayat kerajaan pimpinannya mungkin tidak mampu bertahan lama dan akan dijatuhkan oleh parti atau pemimpin gabungan kerajaan perpaduan itu sendiri dalam tempoh beberapa tahun lagi," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Ditanya mengenai jangka hayat kerajaan perpaduan dianggotai PH dan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai ideologi berbeza, Mazlan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ia mampu bertahan lama kerana kelompok pengundi mereka adalah berlainan.

Beliau berkata, kerajaan perpaduan pimpinan Anwar mampu bertahan lama jika semua pemimpin dan parti menganggotai pakatan itu saling bekerjasama dan bertolak ansur seperti di Kanada.

"Di Kanada sekarang pun wujud kerjasama antara Parti Liberal Demokratik (PLD) dan New Democratic Party (NDP) pun saling bekerjasama kerana gagal mendapat majoriti mudah 170 kerusi Parlimen.

"Jadi parti gabungan dalam kerajaan perpaduan di Malaysia terutama PH dan BN juga perlu berbuat demikian jika mereka mahu menguasai Putrajaya dan kekal lama," katanya.

Tambahan pula, Mazlan berkata, kerjasama dalam kerajaan perpaduan antara PH dan BN terbentuk kesan daripada kegagalan mereka memenangi kerusi melebihi majoriti mudah dalam PRU15 lalu.

"Kepimpinan BN sudah dapat membaca jika mereka bergabungan dengan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keadaan UMNO akan menjadi lebih parah pada masa depan.

"Ini kerana Pas dan Bersatu adalah saingan utama UMNO di kerusi majoriti Melayu kerana masing-masing akan berebut untuk mendapat sokongan dan undi paling banyak, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta PRU16 nanti.

"Jadi jalan paling selamat ialah mereka terpaksa bergabung dengan PH yang kurang mendapat sokongan orang Melayu sekali gus menguntungkan BN kerana bakal mendapat sokongan undi bukan Melayu dan Melayu.

"Malah, saya meramalkan jika BN dan PH bekerjamasa mereka bakal merampas kembali negeri dikuasai PN seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam PRN akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Mazlan tidak menolak kemungkinan wujud perjanjian tertentu antara Anwar dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi bagi membolehkan BN menyertai kerajaan perpaduan terbabit termasuklah menjadikan salah seorang pemimpin BN dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kelak.

"Saya tidak boleh memberikan gambaran tepat mengenai siapa pemimpin UMNO bakal menjadi sebahagian anggota kabinet kerajaan pimpinan Anwar kerana tidak mengetahui butiran perjanjian antara kedua-dua belah pihak.

"Kita tidak boleh membuat andaian bahawa Anwar akan membebaskan Presiden UMNO daripada kes mahkamah dihadapinya kerana tidak mempunyai bukti dan butiran perjanjian mereka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca