ALHAMDULILLAH, meriah sungguh ‘raya’ demokrasi baru-baru ini terutama bagi pengundi baharu.
Telatah dan kerenah mereka dikongsi dalam pelbagai platform media sosial.
Pendek kata, mereka sungguh teruja dengan peluang yang diberikan.
Terujanya mereka sehinggakan ada yang salah faham bahawa dakwat yang dilekatkan di jari kiri adalah bertujuan untuk cap jari di kertas undi.
Namun, itu adalah pengalaman paling mahal dalam hidup mereka.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat lebih 21 juta pengundi yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berbanding hampir 15 juta pengundi pada PRU14.
Peningkatan jumlah pengundi yang mendadak itu disebabkan oleh pertambahan seramai 6.9 juta pengundi baharu berdaftar.
Merujuk kepada 6.9 juta pengundi baharu, sebanyak 77.83 peratus adalah kelompok berumur 21 hingga 50 tahun, 16.42 peratus berumur 18 hingga 20 tahun dan 5.74 peratus berumur 51 tahun ke atas.
Penambahan pengundi baharu berlaku kerana pendaftaran automatik pemilih baru berkuat kuasa pada akhir tahun lalu susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) untuk menurunkan umur pengundi dari 21 kepada 18 tahun oleh Dewan Rakyat.
Selain itu, komposisi pengundi baharu Melayu adalah sebanyak 59.73 peratus, Cina (24.63 peratus), India (7.6 peratus), Sabah dan Sarawak (6.83 peratus) dan lain-lain (1.35 peratus).
Sebetulnya, analisis data tersebut menunjukkan bahawa jika pendaftaran automatik masih tidak dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kebarangkalian kelompok umur pengundi 21 hingga 50 tahun tidak mendaftar untuk mengundi adalah tinggi.
Begitu juga dengan pengundi Melayu yang agak ‘malas’ mendaftar sebagai pengundi berbanding bangsa-bangsa lain. Persoalannya, kenapa hal demikian berlaku?
Sejujurnya, masih sedikit pengundi di Malaysia yang faham ilmu kenegaraan.
Impak daripada polemik yang berpanjangan dalam memilih Perdana Menteri Malaysia ke-10 menyerlahkan lagi ketidakfahaman rakyat berkaitan proses pembentukan kerajaan pasca PRU15.
Bagi mereka yang tidak faham, mengutuk dan menghina serta memberikan hujah-hujah dangkal menerusi media sosial membuktikan betapa rendahnya kefahaman mereka terhadap ilmu kenegaraan.
Tambahan pula, dengan peluang diberikan kepada pengundi baharu yang mencapai umur 18 tahun untuk mengundi, ilmu kenegaraan sangat penting didedahkan kepada mereka.
Yang jelas, mereka perlu diajar proses pembentukan negara menerusi pilihan raya sejajar dengan teras perlembagaan Malaysia iaitu Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Pada hemat saya, perkara utama yang perlu diketahui dalam ilmu kenegaraan ialah perbezaan jelas antara agenda parti politik dengan agenda pembentukan kerajaan.
Jika kita terlalu taksub dengan agenda parti, apabila berlaku ketidakcukupan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, tentunya memberi impak besar dalam pembentukan kerajaan.
Natijahnya, institusi Parlimen lama tergantung dan memberi kesan kepada pembentukan serta perjalanan dasar-dasar negara.
Pada masa sama, kepercayaan pelabur luar untuk melabur di negara kita amat rendah sekali.
Hakikatnya, kita masih belum mempunyai pahlawan yang budiman dalam memimpin negara.
Menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Falsafah Hidup - "Seorang pahlawan besar, bukan sahaja pahlawan pada waktu perang, juga pahlawan pada waktu damai. Selain gagah perkasa, kita pun mesti menjadi seorang budiman, seorang yang panjang fikiran.
"Seorang budiman sentiasa mendengar suara perasaannya sendiri, suara yang menyelinap di dalam hati sanubari. Dia mengerti bila dia mesti menurutkan rasa marah, di mana tempatnya mengambil kesempatan. Memaafkan kesalahan musuh yang telah menyerah dan mengaku, adalah kesenangan orang budiman."
Ingatlah, selagi rakyat tidak terdidik dengan ilmu kenegaraan, selagi itulah tingkah laku pengundi dan pemimpin tetap sama.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca