ISU banjir menjadi bahan perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.Malah, ketika hari pengundian pada Sabtu lalu, gambar rakyat menderita beratur mengharungi banjir turut dimuat naik ramai... Klik di sini untuk terus membaca

ISU banjir menjadi bahan perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Malah, ketika hari pengundian pada Sabtu lalu, gambar rakyat menderita beratur mengharungi banjir turut dimuat naik ramai netizen.

Akibatnya, ramai melemparkan pelbagai pandangan dan ulasan. Penulis percaya kegagalan menangani tarikh pengundian PRU15 pada musim monsun sedikit sebanyak memberi impak terhadap prestasi parti tertentu.

Seingat penulis, perihal banjir 20 tahun dahulu biasanya hanya topik hangat di Pantai Timur atau utara Semenanjung. Namun, Lembah Klang kini turut menjadi ancaman banjir.

Misalnya ketika ini, setiap kali hujan berpanjangan, penduduk di Taman Sri Muda dan kawasan sekitar Shah Alam, Selangor gundah gulana memikirkan banjir kilat yang mungkin melanda.

Banjir disebut secara terang dalam surah ar-Ra’d (ayat 13:17) bermaksud: "ALLAH telah menurunkan air (hujan) daripada langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, maka arus itu membawa buih yang naik ke atas. Dan daripada apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu.

"Demikianlah ALLAH membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan batil. Ada pun buih itu akan hilang sebagai sesuatu yang tiada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah ALLAH membuat perumpamaan."

Justeru, bagi mengatasi persoalan banjir, penulis ingin mencadangkan Persamaan Permodelan Banjir atau Flood Modelling Equation (FME) yang tersirat dalam surah Ar-Ra’d ayat 17.

Pembangunan FME perlu diadun bersama enjin kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) untuk mengatasi masalah banjir.

FME perlu dibangunkan berasaskan faktor jumlah ketinggian air selamat disejajarkan dengan faktor jumlah ketinggian air laut, taburan hujan, isi padu air tersedia, takungan air sungai, tasik, kolam, perparitan, saliran dan longkang.

Faktor buangan sisa pepejal dan cecair, jumlah keseluruhan permukaan muka bumi sesuatu kawasan, kadar serapan air ke dalam tanah dan faktor luar jangka yang akan mengganggu kestabilan ketinggian air secara keseluruhan, juga perlu diperhatikan demi mengatasi masalah banjir.

FME sangat penting terhadap kajian Pembelajaran Mendalaman (Deep Learning) dan Pembelajaran Luasan (Broad Learning) bagi pembentukan Pembelajaran Sistem (System Learning) atau Pembelajaran Mesin (Machine Learning) dalam pembangunan Penyelesaian Krisis Banjir Enjin Model AI atau AI Model Engine Flood Crisis Solution.

Penulis percaya masalah banjir mampu diminimumkan sekira FME direalisasikan. Masalah perubahan iklim bakal menentukan pola kehidupan pada masa akan datang.

Generasi akan datang pasti menderita jika masalah ancaman banjir dan perubahan iklim tidak ditangani dengan bijak.

Secara jelas, kos untuk menyelesaikan krisis iklim memang menelan belanja besar. Penulis ingin mencadangkan empat cara untuk menangani masalah banjir.

Penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui atau Renewable Energy perlu dilaksanakan. Malaysia berupaya menjadi pengeluar Tenaga Boleh Diperbaharui untuk mengatasi jumlah perbelanjaan yang besar.

Seterusnya, pelbagai pihak perlu mengurangkan pelepasan pelbagai sisa di lapangan, sebagai contoh kebanyakan pelepasan karbon dioksida secara langsung sentiasa berlaku dalam kebanyakan proses pengeluaran bahan kimia asas.

Malaysia perlu merancang semula cara untuk beralih kepada proses tanpa atau rendah karbon dioksida.

Untuk itu, penanaman pokok besar boleh meneutralisasikan iklim persekitaran yang hampir kepada keadaan sediakala secara berkala.

Penulis juga mencadangkan kitar semula nilai atau recycling the values, yang perlu dipertimbangkan adalah kemampanan penilaian semula sisa pengeluaran.

Masyarakat perlu diberi pendedahan proses kitar semula bahan buangan termasuk usaha memastikan bahan bernilai digunakan lebih daripada sekali, selain perlu lebih mesra alam dan menjimatkan sisa dalam tempoh pantas.

Terakhir, semua pihak khususnya kerajaan berusaha untuk mengurangkan jejak karbon sendiri atau carbon footprint.

Rakyat perlu digalakkan membeli produk yang mempunyai jejak karbon berkurangan atau sifar bersih.

Kesimpulannya, penulis yakin masalah krisis alam sekitar termasuk isu banjir mesti ditangani sebagaimana disebut ALLAH SWT dalam surah Ar-Ra’d.

Sikap kurang peduli atau enggan menangani isu krisis alam sekitar, khususnya masalah banjir akan menyebabkan kita bakal menanggung kerugian besar.

Tanggal 19 November lalu dan isu banjir telah memberi satu perspektif yang perlu difikirkan secara serius.

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca