Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan memberi isyarat jelas untuk melancarkan serangan darat di utara Syria dan Iraq bagi menyasarkan kedudukan kumpulan Kurdish yang dipersalahkan atas insiden pengeboman di tengah Istanbul pada 13 November lalu.
Konflik terbaharu itu turut mencetuskan kebimbangan kepada negara antarabangsa terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, sekutu kuat Damsyik yang menggesa Ankara supaya bertenang.
Operasi ketenteraan itu dikhuatiri akan memburukkan lagi perang saudara yang berlarutan selama 11 tahun di Syria.
"Kami akan mengambil langkah yang sewajarnya berdasarkan keputusan bersama Kementerian Pertahanan.
"Ia tidak hanya terhad kepada operasi udara,” katanya ketika menaiki penerbangan pulang dari Qatar selepas menghadiri upacara pembukaan Piala Dunia FIFA 2022.
Kempen ketenteraan digelar Claw Sword itu dilancarkan seminggu selepas serangan bom di Istiklal Avenue yang turut meragut enam nyawa, manakala 81 yang lain cedera.
Turkiye menuding jari menyalahkan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan kumpulan militia Kurdish (YPG) di Syria bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut walaupun pejuang Kurdish menafikan tuduhan itu.
Ankara bagaimanapun berkeras dan tetap mengancam mahu melancarkan kempen ketenteraan berskala besar ke atas markas PKK di utara Syria.
Susulan ketegangan yang semakin meningkat, Erdogan berikrar untuk melindungi bahagian sempadan selatan negara itu dengan menubuhkan ‘zon selamat’ di Syria.
Difahamkan, Erdogan telah sekian lama mahu mewujudkan ‘zon selamat’ dengan kedalaman 30 kilometer di bahagian Syria selepas beliau berulang kali mengancam untuk melancarkan operasi ketenteraan baharu bagi mencapai matlamat itu.
Zon tersebut akan meliputi bandar Kobane atau Ayn al-Arab yang dirampas YPG pada 2015 dengan mendapat sokongan AS.
"Langkah penubuhan zon keselamatan di seberang sempadan negara ini juga dapat melindungi hak jutaan wanita dan kanak-kanak.
"Insya-ALLAH, kita akan siapkan zon tersebut merentasi dari barat ke timur secepat mungkin,” katanya.
PENDUDUK KETAKUTAN
Susulan ancaman serangan yang semakin meningkat, Iraq mengumumkan rancangan untuk menempatkan semula Pasukan Pengawal Persekutuan di sepanjang sempadan Iran dan Turkiye.
Menurut Baghdad, inisiatif itu akan diselaraskan bersama pemerintah wilayah Kurdistan dan Kementerian Peshmerga.
Ketika ini sempadan Kurdistan dikawal oleh Peshmerga iaitu Pasukan Tentera Kurdish yang mengikut arahan Kementerian Pertahanan Persekutuan Iraq.
Selain itu, Washington turut menyuarakan rasa bimbang terhadap serangan dron yang menyasarkan pangkalan digunakan bersama pasukan tentera AS dan Kurdish di timur laut Syria.
"Dua pejuang Angkatan Demokratik Syria (SDF) maut dalam kejadian serangan di pangkalan tentera di bandar al-Hasakah pada Selasa lalu. Kami terima maklumat bahawa terdapat risiko kepada anggota tentera AS,” kata Pusat Perintah AS (Centcom) dalam satu kenyataan.
Di bandar Kobane, penduduk kembali dicengkam ketakutan selepas wilayah itu pernah menjadi sasaran serangan kumpulan militan Daesh.
"Ancaman Daesh telah berakhir. Kini, Turkiye pula mahu musnahkan seluruh bandar. Situasi di Kobane sangat teruk.
"Kami tidak lagi boleh tidur pada waktu malam kerana bimbang bandar ini akan dibom pada bila-bila masa,” kata Nabo Jumaa Ramadan yang membuka pasar raya kecil di Kobane sekembalinya dari Lubnan pada 2019.
Jelasnya, Kobane adalah simbol kepada penduduk Kurdish kerana berjaya membebaskannya daripada cengkaman Daesh.
Seorang lagi penduduk, Amina Youssef, 65, kelihatan sugul sambil mengenang nasibnya.
"Kami takut dengan bom. Kami miskin dan tidak mempunyai harta atau tanah. Kami hanya ada rumah ini. Apa yang Turkiye mahu?” ujarnya dalam nada kesal.
Sherwan Hami, 39, yang kembali semula ke Kobane beberapa tahun lalu juga kecewa kerana ancaman keganasan yang masih belum reda.
"Kami sudah hidup dengan aman damai dan penduduk kembali bekerja. Tetapi kini berlaku perang baharu. Kita dihujani bom sekali lagi,” katanya. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca