Daripada perbualan media sosial dalam hal-hal menyentuh ekonomi pasca pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Khamis lalu, harga petrol, tol lebuh raya dan prestasi pasaran saham adalah antara yang popular. Prestasi... Klik di sini untuk terus membaca

Daripada perbualan media sosial dalam hal-hal menyentuh ekonomi pasca pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Khamis lalu, harga petrol, tol lebuh raya dan prestasi pasaran saham adalah antara yang popular.

Prestasi pasaran saham dan kadar tukaran mata wang dibahaskan oleh mereka lebih berpengetahuan mengenai ekonomi, manakala yang mengharapkan pengurangan harga petrol serta tol lebuh raya adalah pengguna biasa.

Pasaran saham dan mata wang adalah dua komponen ekonomi paling pantas bertindak balas terhadap perkembangan politik sesebuah negara.

Apabila perniagaan mingguan di Bursa Malaysia dibuka pada Isnin, selepas PRU15, ia jatuh dan kemudian mendatar akibat Parlimen tergantung serta kelambatan melantik Perdana Menteri. Pasaran bimbang hal lebih buruk mungkin berlaku.

Namun, apabila Anwar diumumkan sebagai Perdana Menteri, Indeks Bursa Malaysia naik daripada 1,432.30 mata pada pembukaan hari Isnin kepada 1,501.88 mata pada penutup hari Khamis.

Bagaimanapun, ia hanyalah reaksi spontan jangka pendek. Pada Jumaat, Bursa Malaysia ditutup satu peratus lebih rendah daripada Khamis akibat pengambilan keuntungan. Adalah perkara biasa apabila harga naik, pelabur akan jual bagi mendapat keuntungan. Ringgit pula naik ke paras tertinggi dalam masa tiga bulan berbanding dolar Amerika.

Amat penting dan mendesak bagi Perdana Menteri mengambil tindakan menenangkan pasaran kewangan khasnya dan rakyat, amnya.

Disebabkan Anwar sudah lama tidak berada dalam pentadbiran negara dan jarang membincangkan hal ekonomi, orang ramai serta pelabur tentulah hendak tahu pemikiran dan pengetahuan beliau mengenai ekonomi.

Kali terakhir Anwar terlibat secara langsung dalam pengurusan ekonomi dan kewangan negara pada 1990-an ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan.

Menurut ahli ekonomi dan penyelidikan, Dr Muhammed Abdul Khalid, apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran buat kali pertama pada 2018, tindakan terawal adalah menenangkan pasaran kewangan.

Dr Muhammed yang menjadi Penasihat Ekonomi Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebaik sahaja mengangkat sumpah, Dr Mahathir meminta Kementerian Kewangan dan Bank Negara memberi taklimat kedudukan kewangan kerajaan serta negara.

Pertemuan diadakan dengan ketua-ketua pegawai eksekutif tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi meminta kerjasama agar tidak menjual saham milik mereka walaupun harga naik. Jika mereka jual untuk keuntungan, harga akan jatuh semula.

Ia disusuli ucapan Perdana Menteri kepada pengurus tabung pelaburan dan penganalisis pasaran bagi memberi jaminan serta galakan kepada mereka.

Pemilihan Menteri Kewangan sangat penting. Anwar tidak boleh mengambil jawatan itu kerana bertentangan dengan dasar PH bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan kedua.

Seelok-eloknya calon Menteri Kewangan biarlah dalam kalangan ahli Parlimen. Tolak sebelah calon dari luar kerana pengalaman kita dengan ramai Menteri Kewangan daripada sektor swasta - ramai daripada mereka tidak perform, malah sangat hambar.

Perdana Menteri wajib siasat dan memperhalusi latar belakang mereka, khususnya yang pernah menjadi Menteri Kewangan II dalam kerajaan dahulu.

Secara peribadi, kali terakhir saya bercakap mengenai ekonomi dan kewangan dengan Anwar ialah di Amerika Syarikat, tidak berapa lama sebelum beliau disingkirkan daripada kerajaan dan UMNO pada 1 September 1998.

Ketika itu beliau ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa yang beribu pejabat di Washington DC.

Kesimpulannya, setelah mencuba tanpa jemu sejak menyertai politik arus perdana melalui UMNO pada 1982, Anwar akhirnya menjadi Perdana Menteri 40 tahun kemudian.

Jika beliau mempunyai aspirasi tinggi untuk Malaysia sebagai Perdana Menteri, rakyat juga mempunyai harapan tinggi terhadap beliau bagi memperbaiki keadaan ekonomi yang teruk dilanda pandemik dan pergolakan ekonomi antarabangsa. Atas dasar itu, Anwar tidak boleh gagal. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca