Tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri pada Khamis lalu. Terimalah keputusan itu kerana ia dilakukan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa. Pasti ada yang tidak berpuas hati tetapi bukan... Klik di sini untuk terus membaca

Tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri pada Khamis lalu. Terimalah keputusan itu kerana ia dilakukan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa. Pasti ada yang tidak berpuas hati tetapi bukan masanya kini untuk terus berantakan merebut kuasa. Kini tiba masanya untuk memajukan negara.

Saya berharap dengan pengalaman dimiliki, Anwar mampu mengotakan janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) atau manifesto gabungan kerajaan yang lain.

Sebagai Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), sebuah badan bukan kerajaan, PPMM akan terus kekal menjadi sebuah NGO bersifat apolitical membantu kerajaan yang mendapat mandat sah daripada rakyat.

PPMM akan memberi pandangan, teguran dan kritikan berdasarkan prinsip keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang tanpa mengira parti mana menjadi kerajaan.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pun, PPMM telah memberi kerjasama dan membantu kerajaan Persekutuan serta agensi-agensi di bawah kerajaan negeri seperti Selangor, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Perak yang diketuai oleh parti berlainan.

Hal sama akan diteruskan selepas PRU15 sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri. PPMM berharap Perdana Menteri akan meneruskan kelangsungan kedudukan istimewa agama Islam, orang Melayu dan Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah, PPMM juga merayu agar kedudukan itu diperkukuhkan supaya kekhuatiran yang bermain di minda masyarakat Islam dapat dipadamkan.

PPMM menyeru setiap rakyat supaya membiarkan proses demokrasi berjalan lancar dan tidak membuat sebarang persepsi awal terhadap kerajaan yang dibentuk. Berilah masa untuk mereka menzahirkan kepada rakyat pelbagai perkara yang dijanjikan dan tidak perlu terburu-buru membuat pelbagai dakwaan tidak berasas.

Yang penting, kita kekalkan keamanan negara bagi membolehkan kerajaan mentadbir dengan baik. Negara perlu mampu bersaing dengan negara lain, khususnya negara jiran yang sudah jauh ke hadapan dalam banyak aspek.

Kedaulatan watan juga perlu dititik beratkan supaya kita tidak diceroboh secara fizikal atau secara maya dalam aspek pemikiran, pegangan dan tindakan.

Kita memang terkenal berpolitik hampir 24 jam sehari. Seolah-olah tidak ada cara lain memajukan negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan memperkasakan teknokrat yang dapat memainkan peranan penting membangun negara.

Seperkara lagi saya ingin usulkan, jika di Dewan Rakyat dipenuhi ahli-ahli politik yang menang pilihan raya, sewajarnya Dewan Negara dilantik keahliannya daripada kalangan individu berwibawa, pemimpin masyarakat sivil, teknokrat, agamawan dan budayawan agar perbahasan tidak terlalu condong ke arah politik semata-mata.

Jika ia berlaku, perbahasan di Dewan Negara pasti lebih ilmiah, praktikal dan tidak dibayangi oleh naratif politik sahaja.

Kekhuatiran rakyat awam beragama Islam adalah kelangsungan kehidupan beragama terjejas khususnya apabila dinilai dengan neraca hak asasi manusia. Menjadi tanggungjawab kerajaan mempertahankan kehidupan beragama orang Islam, sejajar dengan sumpah rabbani Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan, antara lain memelihara agama Islam setiap masa.

Rakyat dan ahli politik perlu anjakan paradigma. Mereka harus sedar memiliki kuasa bukanlah suatu tasyrifan (kemuliaan) tetapi taklifan (kebertanggung jawaban) kepada negara. Jika hakikat itu diinsafi, negara akan terselamat daripada mara bahaya.

Apa yang saya ingin zahirkan ialah Malaysia perlukan perubahan dalam pelaksanaan sistem pemerintahan. Kita akur Yang di-Pertuan Agong ialah eksekutif sebenar bagi Persekutuan, Jemaah Menteri hanya menjalankan fungsi eksekutif Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Hakikat itu perlu ditegaskan dan diberikan makna yang sebenar.

Moga ada sinar perubahan di Malaysia. Kita perlu tahu membezakan cahaya daripada kegelapan. Terbukti sudah dua kali PRU tetapi kemelut politik kuasa dan kepimpinan masih meruncing. Kita perlu beralih daripada politik kuasa kepada politik khidmat negara.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca