Politik Malaysia sungguh mengagumkan dan sangat tersirat seperti peribahasa Melayu, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR)... Klik di sini untuk terus membaca

Politik Malaysia sungguh mengagumkan dan sangat tersirat seperti peribahasa Melayu, air yang tenang jangan disangka tiada buaya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat majoriti membentuk kerajaan Persekutuan.

Keputusan itu bertentangan dengan sebahagian besar pasukan penyelidik yang menyatakan BN akan mengekalkan kedudukannya walaupun berdepan gelombang besar skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kali ini, PRU15 menyaksikan kejutan hampir sama. Walaupun majoriti penganalisis politik dan pasukan penyelidik meramalkan tiada parti mendapat majoriti mudah, namun tiada sesiapa antara mereka memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) menjadi antara parti yang memenangi banyak kerusi.

Penyelidikan, kajian dan analisis semuanya menunjukkan ia adalah pertarungan antara BN dan PH.

Namun, tsunami pengundi Melayu yang jelas menolak kepimpinan BN terkait rasuah telah memberi kemenangan besar kepada PN.

PH yang disokong lebih 90 peratus pengundi bukan bumiputera telah menang 82 kerusi, PN meraih 73 kerusi, diikuti BN (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM), masing-masing mendapat satu kerusi serta dua calon Bebas menang kerusi Parlimen.

Apa yang terjadi kemudiannya adalah sejarah. Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti 115 ahli Parlimen, namun sokongan itu kemudiannya terlerai satu demi satu.

Yang di-Pertuan Agong mengesyorkan penubuhan kerajaan perpaduan dan mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Terdapat pelbagai gosip politik dan cerita-cerita belakang tabir yang tidak sesuai dihidangkan kepada umum, namun sebahagiannya ditulis oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dalam catatannya bertajuk ‘Selamat Tinggal UMNO’. Kisah itu akan menjadi kajian sains politik menarik pada masa hadapan.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik Anwar sebagai Perdana Menteri adalah mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan dan tidak sewajarnya dipertikaikan.

Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan tidak memerlukan Yang di-Pertuan Agong mendapatkan angka majoriti secara tuntas sebelum melantik seorang Perdana Menteri.

Perkara 43 (2) (a) menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat lain.

Perkataan pada ‘hematnya mungkin’ itu telah memberi satu keluasan kepada Seri Paduka Baginda untuk melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat menjadi Perdana Menteri.

Sama ada Anwar akan mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, hanya akan dibuktikan melalui undian-undian di Dewan Rakyat pada masa hadapan.

Bagaimanapun, kebimbangan terbesar sekarang adalah usaha untuk mematikan demokrasi negara ini dengan cara memaksa semua parti menyertai kerajaan dan menuduh pihak yang tidak bersetuju dengan syor penubuhan kerajaan perpaduan sebagai penderhaka.

Al-Sultan Abdullah sebagai Raja Berperlembagaan tidak harus dikaitkan dengan usaha mana-mana pihak mengukuhkan kedudukan politik mereka melebihi pelantikan Perdana Menteri.

Dalam sistem politik negara ini, kebebasan ahli-ahli Parlimen membuat keputusan adalah dijamin Perlembagaan Persekutuan. Jika mereka memilih berada di pihak pembangkang, ia adalah satu pilihan perlu diraikan kerana sistem demokrasi tanpa pembangkang adalah satu sistem yang korup.

Terdapat juga cadangan untuk mengadakan perjanjian yang mengikat parti-parti politik daripada menjatuhkan Perdana Menteri sehingga tamat penggal akan datang.

Ia juga akan membuka laluan kepada pemimpin yang dilantik bertindak sewenang-wenangnya kerana tiada kebimbangan akan dijatuhkan.

Memberi kuasa kepada Perdana Menteri sehingga tamat lima tahun, bakal sama seperti memberi kuasa mutlak kepada beliau.

Seperti kata sejarawan British, Lord Acton - "Power tends to corrupt, absolute power corrupts absolutely.”Ahli-ahli Parlimen telah dipilih untuk menjaga kepentingan pengundi mereka, bukan kepentingan elit politik. Mereka harus ada ruang menggunakan hak tersebut tanpa campur tangan dan tekanan mana-mana pihak.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca