SHAH ALAM - Peruntukan pendidikan di bawah Kerajaan Perpaduan wajar ditingkatkan agar dapat menampung kos yang bakal meningkat.Tokoh Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, kerajaan perlu memberi perhatian untuk menyediakan keperluan pendidikan negara ke arah digital dan lebih moden, khususnya untuk di kawasan luar bandar dan pedalaman Borneo.
Beliau berkata, insentif di bawah bajet yang telah diumumkan kerajaan terdahulu dijangka memerlukan dana tambahan sejajar dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat.
Meskipun begitu, beliau mengakui ia memerlukan belanja yang besar dan langkah itu perlu dimulakan secara berperingkat agar pelajar-pelajar di negara ini tidak ketinggalan tanpa mengira lokaliti.
"Perbelanjaan untuk alat elektronik dan digital ini agak besar. Tinggal lagi mahu tak mahu, kita kena mulakan.
"Sebenarnya kita sudah ada makmal-makmal komputer tapi perkembangan sekarang ini pesat. Selepas tiga ke lima tahun, komputer yang ada perlu ditukar.
"Daripada segi luar bandar dan pedalaman pula terutamanya di Sabah dan Sarawak, kawasan pedalaman dan pulau-pulau kecil masih memerlukan peruntukan pendidikan yang besar seperti infrastruktur, bilik darjah, perabot, rumah guru dan juga peralatan-peralatan,” katanya kepada Sinar Ahad.Tegas beliau, peruntukan lebih besar juga diperlukan untuk memenuhi keperluan logistik bagi pendidikan luar bandar berbanding dalam bandar.
"Ini juga perlu disediakan kerana para pelajar yang tinggal di luar bandar juga perlu mendapat pembelaan sama seperti rakan-rakan mereka yang berada di kawasan bandar.
"Peluang pendidikan yang sama rata perlu diberikan kepada anak-anak kita yang tidak mengikut lokaliti walaupun perbelanjaannya besar,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, kerajaan juga disaran menambah insentif latihan pemandu bas secara percuma di bawah bajet Kerajaan Perpaduan demi memenuhi kekurangan pekerja industri itu yang semakin meruncing.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, permintaan bagi pekerjaan pemandu bas dan lori agak tinggi namun berdepan kekangan disebabkan pemohon tidak mempunyai lesen sah.
Menurutnya, kos bagi mendapatkan lesen Kelas E memerlukan dana sekurang-kurangnya RM5,000 menyebabkan ramai yang tidak mampu mendapatkannya.
"Kita kekurangan pemandu bas dan lori setiap tahun disebabkan terdapat pemandu yang sudah lanjut usia tidak lagi meneruskan pekerjaan ini.
"Selain itu, ramai pemandu di Melaka dan Johor lebih berminat untuk bekerja di Singapura disebabkan pertukaran mata wang yang lebih tinggi.
"Saya harap latihan percuma untuk pemandu bas dan lori ini dimasukkan ke dalam insentif bajet bawah Kerajaan Perpaduan memandangnya perkara berkenaan sudah diusulkan kepada kepimpinan sebelum ini, namun tiada hasil,” katanya kepada Sinar Ahad.
Mohamad Ashfar berkata, kebolehan memandu kenderaan berat juga merupakan satu kemahiran yang perlu diberi perhatian.
"Banyak syarikat bas tidak dapat menawarkan operasi sepenuhnya disebabkan masalah kekurangan pemandu. Ia akan memberi masalah kepada pengguna dan menjejaskan sistem pengangkutan awam negara,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca