Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah diketahui. Proses demokrasi yang diraikan secara berkala sudah dilaksanakan oleh warga yang bertanggungjawab ke atas sistem pemilihan kerajaan. Apakah yang boleh dipelajari daripada PRU15?
Beberapa perkara mengambil tempat dalam konteks PRU15, antaranya lahir empat gabungan besar iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Masing-masing pernah ada dalam kerajaan, apa nasib beberapa gabungan dan calon Perdana Menteri yang diangkat sepanjang kempen PRU15?
PRU15 juga melihat pencalonan baharu, pengguguran dan perpindahan parti. Jumlah bertanding meningkat sehingga 945 orang untuk 222 kerusi Parlimen. Selepas ini wajar dibaik pulih defisit kepercayaan dan keyakinan ke atas tokoh politik.
Kematangan terserlah jika menjadi contoh dan diteladani kerana yang diperlukan generasi hari ini adalah kepimpinan yang memahami keperluan, kemahuan serta cita rasa mereka.
Ungkapan yang mempertikaikan kemampuan wanita perlu dihentikan dan hormati mereka sebagai antara penyumbang utama kepada proses demokrasi. Begitu juga perbuatan yang melangkaui nilai keagamaan.
Pembunuhan karakter bukan sahaja berlaku inter-parti tetapi juga intra-parti dan kepimpinan tertinggi parti, seolah-olah PRU adalah pemilihan parti.
Serangan ke atas parti sendiri ada impaknya sehingga membawa kepada keterhakisan sokongan, sedangkan ia bukan pemilihan parti.
Persepsi dan mengurus emosi penting, maka pendekatan alam maya dengan aplikasi seperti TikTok, Instagram, Facebook, Youtube serta WhatsApp digunakan sepenuhnya untuk menghampiri pengundi atas pagar, yang muda dan remaja.
Ia menyebabkan ceramah besar dan aktiviti luaran dingin. Barangkali, cuaca juga mempengaruhi keputusan.
Pasca PRU15 perlu berhati-hati dengan pembongkaran skandal yang tiada bukti sahih, bertujuan meraih simpati dan menang bertanding semata-mata.
Tumpuan berlebihan juga diberikan ke atas kajian sikap. Pihak yang kerap menaikkan populariti pemimpin tertentu terus diberikan ruang untuk menyalurkan maklumat yang menimbulkan kesangsian.
Selepas berakhirnya PRU15, kepercayaan perlu dibina semula, dirangka daripada gerak kerja dan tindakan, boleh membawa hasil akhir yang memberangsangkan.
Ia boleh dilakukan dengan mengikat setiap perincian manifesto dalam perancangan agensi dan kementerian supaya dapat direalisasikan serta tidak kekal hanya sebagai cebisan satu dokumen PRU.
Rancang untuk menang. Persengketaan politik mesti segera dihentikan. Perdamaian politik dan gencatan politik dilakukan segera. Progresif boleh menjadi kunci penggerak politik baharu.
Keazaman politik melangkaui fahaman politik amalan sendiri perlu dikompromi.
Agenda ‘merakyatkan kepimpinan’ boleh dimulakan dengan kesediaan untuk bergerak ke arah kestabilan politik, merancakkan ekonomi, strategi dan intervensi mengurangkan bebanan kos sara hidup.
Jalankan tanggungjawab dengan berasaskan akhlak dan akidah serta sistem pendidikan yang mesra pelajar dan pendidik.
Kesemuanya perlu merentasi aspek etnik, persempadanan negeri, kelas dan gender. Pendekatan pelbagai dimensi boleh diambil untuk mengatasi masalah rakyat.
Komunikasi, kandungan yang bernas dan komprehensif boleh mengukuhkan daya saing, meningkatkan kesejahteraan serta memperkuatkan kerukunan. Agenda ‘Malaysia Gemilang’ boleh dijadikan sebagai gagasan bagi memperbaiki, membaik pulih dan memberi nafas baharu kepada bumi ini.
Perdana Menteri dan Jemaah Menteri perlu menjadikan mekanisme eksekutif sebagai suluhan kepada Malaysia baharu dengan pengisian ke atas sistem penyampaian ampuh bersama di bawah satu kepimpinan, satu pasukan serta satu matlamat.
Saiz yang kecil tetapi padat dengan kualiti, kepakaran dan kewibawaan serta dihormati. Ingatlah, ukuran 100 hari akan menyusul selepas ini.
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca