PADA Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar mengumumkan beliau akan menyelesaikan pembentukan Jemaah Menteri kerajaan yang dipimpinnya dalam tempoh beberapa hari lagi. Anwar yang juga Pengerusi Pakatan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar mengumumkan beliau akan menyelesaikan pembentukan Jemaah Menteri kerajaan yang dipimpinnya dalam tempoh beberapa hari lagi.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dengan tegas menyatakan pembentukan kabinet baharu yang pastinya bersaiz kecil tidak akan dibuat berasaskan pemberian ‘ganjaran’ secara berlebihan kepada parti-parti menyokong beliau.

Secara dasarnya, kenyataan Ahli Parlimen Tambun itu memberi isyarat jelas barisan menteri kabinet kerajaan baharu itu dipilih berasaskan kriteria kualiti, kredibiliti dan integriti pemimpin dilantik kelak.

Umum mengetahui pembentukan kerajaan perpaduan dipimpin Anwar tidak akan tercapai sekiranya PH tidak mendapat sokongan daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan) dan beberapa parti kecil lain pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Justeru, cabaran terbesar Anwar dalam membentuk satu barisan Jemaah Menteri mantap pastinya terletak di atas pertimbangan mengimbangi keperluan memenuhi tuntutan parti-parti yang menyokong kerajaan beliau dengan kehendak rakyat yang mahu melihat barisan kabinet baharu bersih, cekap dan berkelayakan.

Hakikatnya, dilema Anwar dalam pelantikan barisan kabinet baharu sudah bermula dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Dengan PH sudah menjanjikan kuota pelantikan dua TPM kepada BN dan GPS, tumpuan kini terarah kepada siapa pemimpin yang bakal mengisi jawatan berkenaan daripada BN.

Dengan akar umbi UMNO mendesak jawatan itu diserahkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang terpalit kes mahkamah, sebilangan pemimpin PH pula menyuarakan keperluan pelantikan menteri kabinet dalam kalangan mereka yang tiada kes rasuah.

NISBAH MENTERI IKUT PARTI

Selain Ahmad Zahid, antara pemimpin lain dalam kerajaan campuran baharu ini yang terlibat kes mahkamah ialah Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sudah pasti Anwar berdepan kesukaran membuat justifikasi terbaik susulan Ahmad Zahid merupakan Presiden parti serta memainkan peranan besar memujuk 30 ahli Parlimen BN dan GPS untuk menyokong PH membentuk kerajaan baharu.

"Dari soal hierarki parti, Ahmad Zahid lebih layak. Tetapi saya fikir Ahmad Zahid perlu berjiwa besar untuk memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sekiranya UMNO-BN mahu kembali bangkit pada PRU16.

"Untuk GPS, pilihan bagi jawatan TPM adalah jelas iaitu bekas Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof sebagaimana dimaklumkan oleh sumber dalam parti gabungan itu sendiri,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar kepada Sinar Premium.

Secara umumnya, sebilangan pemerhati politik berpandangan komposisi pelantikan jawatan menteri kabinet mengikut parti secara ideal adalah berasaskan jumlah kerusi Parlimen dimenangi parti masing-masing pada PRU15.

Oleh itu, PH yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) wajar diberikan 12 jawatan menteri, diikuti enam portfolio untuk BN, GPS (empat menteri) dan tiga lagi kuota menteri untuk GRS, Warisan dan lain-lain parti kecil.

Disebabkan saiz kabinet baharu dijangka mencapai angka 25 orang dan terhad, maka peluang nama-nama besar yang kalah pada PRU15 dalam PH dan BN untuk dilantik menjadi menteri atas kuota pelantikan Ahli Dewan Negara amat tipis

"Terdapat lima lagi portfolio kementerian yang perlu diisi Anwar dengan pemimpin tepat bagi memastikan agenda reformasi dilaungkan beliau dalam institusi pentadbiran negara dapat direalisasikan sepenuhnya.

"Lima kementerian kritikal itu merangkumi Kewangan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pertahanan, Pendidikan dan tiga kementerian yang berperanan penting dalam menangani isu kos sara hidup tinggi didepani rakyat ketika ini iaitu Pertanian, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal pengguna serta Sumber Manusia,” ujar bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

ANTARA ANWAR, RAFIZI, JOHARI

Bagi portfolio Kementerian Kewangan, Hisommudin melihat terdapat keperluan untuk Anwar sendiri memegang jawatan berkenaan sambil dibantu oleh bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani daripada BN.

"Namun sekiranya Anwar ingin fokus kepada jawatan PM, Rafizi selaku Timbalan Presiden PKR adalah calon terbaik menggalas tanggungjawab itu.

"Idea Guan Eng kembali memegang jawatan itu tidak sesuai kerana status kes mahkamah serta kontroversi pelantikan beliau sewaktu pentadbiran kerajaan PH dahulu,” jelas Hisommudin.

Untuk portfolio Kementerian Dalam Negeri, Pendidikan dan Pertahanan, Hisommudin dan Charles berkongsi pandangan sama dalam melihat tiga kementerian kritikal ini dijangka akan dipegang pemimpin kanan daripada PH dan BN.

Bagi Hisommudin, Mohamad atau Tok Mat mungkin paling layak dipilih sebagai Menteri Dalam Negeri.

Jawatan Menteri Pendidikan pula mungkin menjadi pilihan di antara Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad atau Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

"Untuk jawatan Menteri Pertahanan, saya fikir Presiden Amanah, Mohamad Sabu mungkin tidak dikekalkan dan digantikan dengan portfolio lebih sesuai seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

"Individu seperti Naib Presiden Amanah, Adly Zahari atau Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mungkin menjadi pertimbangan bagi jawatan itu,” ujar Hisommudin lagi.

Charles pula menjangkakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin akan dilantik semula memegang jawatan Menteri Pengangkutan, Undang-Undang dan Alam Sekitar.

Hisommudin berpendapat pemimpin BN yang setia dengan Ahmad Zahid seperti Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan akan turut dipertimbangkan untuk memegang jawatan menteri.

"Bagi pemimpin kanan GPS seperti Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nantha Linggi dan Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri, dua pemimpin itu dijangka dipilih memegang jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

"Bagi pemimpin GRS, Warisan dan parti-parti kecil lain termasuk calon Bebas menyokong Anwar, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mungkin akan diberikan portfolio Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Yang pasti, barisan kabinet kerajaan perpaduan ini kemungkinan besar tidak akan disertai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein serta mana-mana pemimpin MCA dan MIC.

"Ini kerana masalah dalaman UMNO-BN yang memperlihatkan kelompok ini tidak menyokong institusi Presiden UMNO dan Pengerusi BN,” tegas Hisommudin lagi.

Klik di sini untuk terus membaca