DATUK Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri baharu negara yang dilantik pada 24 November lalu merupakan seorang figura yang tidak asing lagi di Malaysia dan pentas dunia. Bahkan selepas selesai Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan... Klik di sini untuk terus membaca

DATUK Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri baharu negara yang dilantik pada 24 November lalu merupakan seorang figura yang tidak asing lagi di Malaysia dan pentas dunia.

Bahkan selepas selesai Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, beliau menerima panggilan telefon daripada pemimpin-pemimpin dunia. Antaranya termasuklah Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang mengucapkan tahniah di atas pelantikan berkenaan.

Malah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga menerima puluhan ucapan tahniah daripada pemimpin dunia lain di media sosial.

Pelantikan Anwar mendapat liputan dan perhatian dalam serta luar negara.

Suatu masa dahulu, sebelum berdepan dengan liku-liku politik terutamanya pemecatan dalam kabinet pada tahun 1998 dan dimasukkan ke dalam penjara, Anwar cukup disegani sebagai sosok hebat dalam bidang ekonomi.

Anwar pernah memegang jawatan Menteri Kewangan dari tahun 1991 sehingga 1998 dan dalam tempoh itu menyaksikan Euromoney menobatkan beliau sebagai empat Menteri Kewangan Terbaik manakala pada 1996, Asiamoney pula menamakannya sebagai Menteri Kewangan Terbaik.

Ketika krisis kewangan Asia pada 1997, Anwar menyokong prinsip pasaran bebas dan menekankan isu kedekatan perniagaan dan politik di Malaysia.

BURSA SAHAM NAIK

Dan selepas 24 tahun, sekembalinya beliau dalam kerajaan Malaysia selaku Perdana Menteri memberi satu petanda positif buat negara yang berdepan dengan tri krisis (ekonomi, kestabilan politik dan kesihatan) untuk kembali bangkit.

"Apabila Anwar berjaya mewujudkan kerajaan campuran dan stabil, kita boleh menjangkakan kadar kestabilan meningkat dan negara semakin kukuh. Dari situ, pelabur bertambah yakin untuk melabur di Malaysia.

"Susulan itu, ia dapat memberi gambaran kepada bursa-bursa saham di seluruh dunia bahawa keadaan politik di Malaysia makin stabil sekali gus meningkatkan nilai prospek ekonomi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Dasar dan Hal Ehwal Ekonomi Yayasan Malaysia (PEACE), Dr Zokhri Idris kepada Sinar Premium.Atas faktor ‘Anwar effect’, Bursa Malaysia yang diukur oleh penanda aras utama, FBM KLCI melonjak lebih 50 mata atau 3.48 peratus kepada 1,493.87 pada sesi dagangan petang selepas berita mengenai beliau dilantik sebagai Perdana Menteri diumumkan.

Sebelum ini, dilaporkan Bursa Malaysia menyaksikan kerugian kumulatif permodalan pasaran berjumlah RM7.32 bilion akibat reaksi mendadak pelabur terhadap pembentukan kerajaan yang masih tergantung.

Namun, Bursa Malaysia menuju ke lonjakan terbesar dalam tempoh dua tahun berikutan jangkaan berakhirnya kemelut politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

RINGGIT MENGUKUH

Pada Jumaat, mata wang tempatan juga terus menambah nilai kepada 4.4760/4810 berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) daripada penutupan Khamis pada 4.4910/5000.

Kepelbagaian dalam komponen parti kerajaan baharu ini juga kata Zokhri, dapat memberikan satu gambaran kepada pelabur-pelabur asing bahawa Anwar boleh mendapat keyakinan daripada kebanyakan parti.

Bagaimana perspektif pelabur atau mata wang luar melihat kepada prospek ekonomi Malaysia bukan hanya ditentukan oleh hubungan individu tetapi bergantung kepada situasi di dalam negara itu.

"Kayu ukur sama ada mata wang negara itu naik atau turun bukan disebabkan oleh pemimpin tetapi keadaan di dalam negara itu sendiri. Contohnya, biarpun Presiden Sri Lanka mempunyai hubungan yang baik dengan negara luar, nilai mereka tetap jatuh kerana mereka adalah negara yang berperang.

"Apabila Parlimen dibubarkan di Malaysia, saham secara semula jadi akan mula merudum lebih-lebih lagi apabila kita mempunyai Parlimen tergantung selepas PRU, namun akan meningkat semula selepas beliau dilantik.

"Tetapi di dalam kes Anwar, ia meningkat dengan ketara kerana kestabilan yang dibawa, di mana beliau berjaya mendapat sokongan daripada kebanyakan parti,” jelasnya.

JEMAAH MENTERI

Pun begitu, Zokhri berpandangan, jangka panjang ‘Anwar effect’ ini bergantung kepada jemaah menteri yang ditubuhkan dan keberkesanan Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula di Parlimen nanti.

"Kita lihat dahulu bagaimana kabinet yang bakal diwujudkan dan adakah pembentukkan kabinet Anwar boleh menjamin kestabilan atau tidak. Kabinet yang inklusif akan mengurangkan risiko sekiranya ada mana-mana parti menarik sokongan.

"Selepas itu, kita mesti melihat bagaimana kerajaan sekarang ini mengeluarkan bajet yang efektif untuk kemelesetan ekonomi dan kerajaan harus melakukan banyak rundingan dengan parti-parti lain termasuk Perikatan Nasional (PN) supaya bajet yang mereka bentangkan ini akan diluluskan,” ujarnya.

HUBUNGAN BAIK

Dalam pada itu, pakar ekonomi dari City University, Dr Abu Sofian Yaacob berkata, hubungan baik Anwar dengan pemimpin-pemimpin di luar negara akan memberi nilai positif kepada sektor pelaburan di Malaysia.

"Saya melihat ramai pemimpin di luar sana sudah lama menunggu Anwar menjadi Perdana Menteri untuk PRU ini. Apabila beliau dilantik secara rasmi, saya menjangkakan ada penambahan pelaburan pada masa akan datang.

"Anwar merupakan individu yang dihormati di peringkat antarabangsa dan ‘Anwar effect’ ini merupakan suatu faktor yang akan menarik lebih ramai lagi pelabur asing,” jelasnya.

Abu Sofian menambah, hasrat Erdogan untuk membuat lawatan ke Malaysia pada 9 hingga 11 Disember depan juga merupakan indikator yang positif dan akan meningkatkan lagi ekonomi negara dari pelbagai aspek.

"Sekiranya betul ada lawatan itu, ia merupakan indikator yang bagus kerana Anwar bakal membawa pelabur dari Turkiye, biarpun belum genap sebulan menjadi Perdana Menteri,” tambahnya.

Klik di sini untuk terus membaca