PRESIDEN Halimah Yacob menjadi individu terpilih di Asia Tenggara apabila berada pada kedudukan ke-33 dalam senarai 500 individu Islam paling berpengaruh di dunia seperti diterbitkan Kajian Strategik Diraja Islam bagi tahun 2023. Kedudukan... Klik di sini untuk terus membaca

PRESIDEN Halimah Yacob menjadi individu terpilih di Asia Tenggara apabila berada pada kedudukan ke-33 dalam senarai 500 individu Islam paling berpengaruh di dunia seperti diterbitkan Kajian Strategik Diraja Islam bagi tahun 2023.

Kedudukan beliau tidak jauh di belakang Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang baru-baru ini menduduki tempat ke-13 oleh Most The Muslim 500: The World's 500 Most Influential Muslims 2022.

HIDUP SUSAH

Halimah dilahirkan pada 23 Ogos 1954 di Queen Street, Singapura. Bapanya berketurunan India-Muslim manakala ibunya orang tempatan.

Ketika berusia lapan tahun, bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung dan beliau bersama empat adik-beradik lain dijaga ibunya yang sangat miskin ketika itu.

Demi kelangsungan hidup, Halimah membantu ibunya menjual nasi padang di luar bangunan Politeknik Singapura yang kini Bangunan Bestway bagi menampung kehidupan mereka.

Halimah, 68, mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Cina dan Sekolah Perempuan Tanjung Katong sebelum meneruskan pengajian di Universiti Singapura di mana beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada 1978.

Halimah juga pernah menerima kunjungan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada1981, Halimah dipanggil berkhidmat di Pejabat Peguam Singapura.

Beliau turut menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2001 dan dianugerahkan Doktor Falsafah Undang-Undang oleh NUS pada 7 Julai 2016.

Halimah berkahwin dengan Mohamed Abdullah Alhabshe yang berketurunan Arab dan dikurniakan lima cahaya mata.

SERTAI POLITIK

Ketika mula memasuki bidang pekerjaan, Halimah berkhidmat sebagai pegawai undang-undang di Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan menjadi pengarah di jabatan perkhidmatan guamannya pada 1992.

Pada 1999, beliau dilantik sebagai Pengarah Institut Pengajian Buruh Singapura atau kini dikenali sebagai Institut Pengajian Buruh Ong Teng Cheong.

Berbekalkan pengalaman luas dalam undang-undang, Halimah menyertai bidang politik pada 2001 yang ketika itu dipilih sebagai Ahli Parlimen (MP) bagi Kawasan Perwakilan Kumpulan Jurong (GRC).

Selepas pilihan raya 2011, Halimah dilantik menjadi Menteri Pembangunan Komuniti, Belia dan Sukan.

Selepas rombakan kabinet pada November 2012, beliau diberi tanggungjawab sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Pada Januari 2015, Halimah telah diserap masuk ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Parti Tindakan Rakyat (PAP), sebuah badan pembuat keputusan tertinggi parti itu.

Semasa pilihan raya pada tahun sama, Halimah menjadi calon minoriti tunggal yang mewakili PAP bertanding di GRC.

Pejuang demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi (kiri) bergambar dengan Halimah di Istana Presiden, Singapura.

Kejayaan demi kejayaan dan sumbangan besar Halimah kepada masyarakat Melayu Singapura menyebabkan beliau dilantik menjadi Presiden wanita pertama dan Presiden kelapan Singapura pada 14 September 2017 yang disokong Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Walaupun begitu, selepas mengangkat sumpah sebagai presiden, beliau dan keluarganya dikatakan masih menetap di pangsapuri Lembaga Pembanguan dan Perumahan (HDB), di Yishun yang turut dikawal rapi.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri mengarahkan beliau menetap di kediaman rasmi di Istana Singapura atas faktor keselamatan.

Sebagai mengiktiraf sumbangannya, Halimah pernah menerima beberapa anugerah seperti Anugerah Pencapaian (2001), Anugerah Wanita Terbaik Dunia (2003), dan Anugerah Wiranita AWARE (2011).

Selain itu, beliau pernah dilantik dalam Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (2014). - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca