MEDAN sosio-siasah negara Malaysia yang terbahagi (divided nation) ini membuktikan sekali lagi bahawa rancangan insan berada di dalam kuasa ketetapan mutlak Tuhan. Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai dengan aman pada 19 November... Klik di sini untuk terus membaca

MEDAN sosio-siasah negara Malaysia yang terbahagi (divided nation) ini membuktikan sekali lagi bahawa rancangan insan berada di dalam kuasa ketetapan mutlak Tuhan.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai dengan aman pada 19 November 2022, dengan penuh suspens rakyat terpaksa menunggu dan melihat selama empat hari lagi telatah para politikus beraksi untuk menduduki Putrajaya.

Dengan kebijaksanaan dan ketegasan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu serta sahutan kerjasama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), maka terbentuklah kerajaan perpaduan. Majlis mengangkat sumpah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Negara berlangsung pada jam 5 petang Khamis, 24 November.

TIDAK AMBIL GAJI

Pada malamnya pula ketika sidang akhbar pertamanya sebagai Perdana Menteri, Anwar telah menegaskan bahawa kerajaan yang dibentuknya ialah sebuah kerajaan perpaduan. Bukan sahaja ini sikap keakurannya kepada titah Seri Paduka Baginda, ia merupakan satu pendekatan baharu dalam usaha memimpin negara. Anwar juga merupakan Perdana Menteri pertama yang tidak mengambil gaji.

Rakyat yang telah mengalami dua kerajaan sejak tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pada Mac 2020 berhak menerima kepimpinan segar yang diterajui oleh Kerajaan Perpaduan Anwar yang diawasi oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Pada hari-hari yang berikut ini rakyat mengharapkan pemilihan Timbalan Perdana Menteri serta jemaah menteri kabinet mencerminkan perpaduan rakyat, profesionalisme yang tinggi serta harapan baharu kepada negara dan generasi muda. Fasa perdamaian nasional (national reconciliation) dan usaha pengislahan baharu bermula. Perjuangan belum selesai.

Rakyat menunggu-nunggu sidang Parlimen pertama pada 19 Disember nanti apabila undi percaya kepada kerajaan Perdana Menteri akan diusulkan. Golongan pembangkang boleh melaksanakan semak dan imbang dengan pendekatan yang cerdik, berwawasan dan berpiawaian tinggi.

Selama 24 tahun, laungan reformasi hanya terhad kepada pinggiran negara. Kini laungan itu telah sampai ke pentas utama negara di Putrajaya.

Pertubuhan-pertubuhan utama yang terlibat dalam Reformasi September 1998 ini ialah ABIM dan JIM (Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia). Semasa itu saya ialah Timbalan Presiden JIM. Kedua-dua Presiden ABIM dan JIM dan ramai reformis telah ditahan di bawah undang-undang Akta Dalam Negeri (ISA) selama banyak hari dan minggu. Keluarga Anwar menunjukkan kebingkasan (resilience) yang tinggi dalam menjalani hayat sarat liku sejak September 1998 itu.

KEWASPADAAN

Saya adalah antara rakyat Malaysia yang bersyukur kerana Anwar yang saya kenali secara peribadi sejak tahun 1976 telah dilantik sebagai Perdana Menteri. Namun, tiada keseronokan tapi kewaspadaan tersemat dalam benak saya.

Beliau mestilah berjiwa besar (magnanimous) untuk menangani perpaduan negara kita. Selain bersifat telus dan inklusif, Anwar perlu mengusahakan kerahan berjimat cermat di samping menjadikan Malaysia menarik bagi pelabur asing. Inilah peluang bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diurus terus di bawah Parlimen - ini cadangan saya untuk kali ketiga dalam tahun ini di kolum ini. Beliau perlu juga mengawal para politikus Pakatan Harapan, supaya tidak menyinggung perasaan rakyat.

Ahli Parlimen, Tan Sri Dr Tan Chee Khoon (1919-1996) yang dikenali sebagai Mr Opposition telah menemubual Anwar pada hujung 1980-an.

Dr Chee Khoon yang membuat telahan dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris bahawa Anwar akan menjadi Perdana Menteri pada hujung kurun lepas meninggal dunia dua tahun sebelum ledakan reformasi sewaktu penyingkiran Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Takutnya Anwar kepada ALLAH SWT akan menyelamatkannya di dunia dan akhirat. Barakallahufik untuk Perdana Menteri yang baharu.

* Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom ialah psikiatris, penulis dan aktivis masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca