PADA bulan terakhir penulis menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC), satu lagi lawatan ke wilayah lain telah dianjurkan. Kali ini, lawatan sangat berbeza situasinya dengan tempat penulis menginap iaitu di Beijing... Klik di sini untuk terus membaca

PADA bulan terakhir penulis menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC), satu lagi lawatan ke wilayah lain telah dianjurkan.

Kali ini, lawatan sangat berbeza situasinya dengan tempat penulis menginap iaitu di Beijing atau wilayah-wilayah lain yang dikunjungi sebelumnya. Penulis dan wartawan Asia Pasifik yang lain diberi peluang untuk mengunjungi wilayah Yunnan yang mana majoriti kawasannya adalah luar bandar dan pedalaman.

Dalam fikiran, luar bandar di China mungkin berbeza dan lebih maju berbanding luar bandar di Malaysia.

Namun, setelah empat jam penerbangan ditambah dengan empat jam di dalam bas, kelihatannya agak sama. Malahan ada kawasan yang lebih teruk daripada itu.

Menurut pemandu pelancong, Yunnan merupakan sebuah wilayah yang ‘terkurung’ di barat daya China. Ia meliputi kira-kira 394,000 kilometer persegi bersamaan hanya 4.1 peratus daripada keseluruhan China.

Bagi penduduknya pula, Yunnan mempunyai populasi sehingga 50 juta yang mana menduduki tangga ke-12 populasi terbanyak di China.

Lebih menarik, kepelbagaian etnik Yunnan tiada tandingan di wilayah lain. Ia mempunyai etnik terbanyak di tanah besar China. Selain orang Han, terdapat 25 kumpulan etnik minoriti dengan populasi lebih 6,000 orang.

Ini termasuk 15 etnik eksklusif Yunnan iaitu Hani, Bai, Dai, Lisu, Va, Lahu, Naxi, Jingpo, Blang, Achang, Pumi, Deang, Nu, Jinuo dan Derung. Satu daripada tiga penduduk Yunnan adalah etnik golongan minoriti.

Yunnan juga berfungsi sebagai pintu masuk China ke negara-negara Asia Tenggara dan Selatan. Ini kerana Yunnan bersempadan dengan tiga negara iaitu Myanmar, Vietnam dan Laos.

Ia juga mempunyai akses langsung ke Thailand dan Kemboja melalui Sungai Lancang-Mekong, selain terletak di kawasan berhampiran negara seperti Malaysia, Singapura, India dan Bangladesh.

Kini, di Yunnan terdapat 16 bandar besar di bawah bidang kuasanya. Wilayah ini mentadbir 129 daerah dan 1,565 perbandaran.

‘YUNNAN BERWARNA-WARNI’

Wilayah ini terkenal sebagai ‘Yunnan Berwarna-warni’. Ini diiktiraf kerana mempunyai kepelbagaian bentuk muka bumi, topografi, iklim, spesies biologi, sumber mineral, etnik, budaya rakyat, agama dan bentuk ekonomi.

Sebagai wilayah tanah tinggi yang bergunung-ganang, 94 peratus Yunnan diliputi oleh pergunungan dan dataran tinggi.

Oleh itu, ramai antara mereka yang menetap di atas gunung meskipun agak sukar untuk ke kawasan lain ataupun mendapat infrastruktur yang terbaik.

Yunnan juga terkenal dengan landskap tanah tinggi yang unik, pemandangan tropika dan subtropika yang glamor di kawasan sempadan dan budaya etnik berwarna-warni.

"Namun begitu, wilayah ini merupakan antara tempat yang paling kurang didatangi pelancong. Mungkin disebabkan faktor geografinya yang membuatkan orang tidak tertarik untuk datang.

"Bukan sahaja pelancong asing, malahan penduduk China juga kurang datang ke sini,” tambah pemandu pelancong berkenaan.

Perkara tersebut sememangnya terbukti apabila penulis berada di dalam bas, kiri dan kanan penulis hanya gunung sahaja.

Jarang sekali jumpa kawasan perumahan. Jalan juga dalam keadaan yang lancar. Tidak berlaku kesesakan kerana kurang pengguna.

Meskipun begitu, wilayah ini sangat kaya dengan sumber semula jadi dan mempunyai kepelbagaian hidupan tumbuhan terbesar di China.

Bayangkan, daripada kira-kira 30,000 spesies tumbuhan di China, wilayah ini sahaja mempunyai lebih kurang 17,000 spesies.

Ia termasuklah buah-buahan, sayur-sayuran dan juga tumbuhan bagi perubatan tradisional.

Dalam masa sama, wilayah ini juga merupakan tempat kelahiran teh. Yunnan kawasan pertama di mana manusia mengetahui teh boleh menyenangkan dan menyihatkan tubuh badan seseorang.

Setelah tiba di lapangan terbang Kunming, penulis diminta untuk menaiki bas ke destinasi lain iaitu Wenshan, kira-kira sekitar 310 kilometer mengambil masa sehingga empat jam.

Namun begitu, perjalanan panjang tersebut tidak terasa bosan oleh kerana pemandangan gunung-ganang yang indah. Tidak henti-henti para wartawan merakam memori tersebut.

SANCHI

Wenshan yang mana penduduknya mencecah 3.5 juta meliputi kawasan seluas 31,456 kilometer persegi dan separuh daripadanya adalah bentuk muka bumi karst.

Ia juga merupakan salah satu landskap karst yang terkenal di dunia. Karst adalah daerah yang terdiri atas batuan kapur yang berpori sehingga air dipermukaan tanah selalu merembes dan mengalir ke dalam tanah.

Tanaman sanchi menjadi sumber ekonomi Wenshan.

Menariknya, lebih 50 peratus penduduknya di situ adalah etnik minoriti. Penulis berkesempatan untuk melawat kawasan yang didiami oleh golongan minoriti ini.

Setelah tiba, pelbagai pakaian, tarian tradisional yang dihidangkan. Teringat pula apabila penulis pernah melawat ke Sarawak pada tahun 2014. Pakaiannya agak sama.

Jika di Beijing, kita hanya akan nampak penduduk tempatan memakai Cheongsam, namun di Wenshan, pelbagai pakaian yang disarung.

Wenshan juga terkenal dengan aktiviti bercucuk tanam. Sepanjang perjalanan, kelihatan pelbagai buah-buahan, sayur-sayuran dan juga sanchi ataupun panax notoginseng.

Ia merupakan satu tanaman untuk kesihatan yang mana mampu merawat masalah kardiovaskular dan juga tekanan darah.

"Tumbuhan ini telah diusahakan sejak 3,000 tahun dahulu. Pada awalnya memang agak susah. namun sekarang, Weshan amat terkenal dengan tumbuhan ini,” kata pemilik kebun itu.

Semasa lawatan di kampung lain yang mana sumber pendapatannya melalui tanaman buah-buahan, penduduk berkata bahawa mereka kini menggunakan teknologi untuk meraih pendapatan.

"Kalau dahulu, saya hanya boleh peroleh sekitar RMB4,700 (RM3,000) sahaja. Namun sekarang, apabila jual secara dalam talian, mampu meraih sekitar RMB18,000 (RM11,493).

"Kami boleh berniaga secara dalam talian kerana kerajaan banyak membantu. Iaitu membina jalan yang lebih efektif. Sebelum ini, jalan sangat teruk menyebabkan kami sukar untuk ke mana-mana,” kata salah seorang penduduk.

* Nazrin Zulkafli ialah wartawan Sinar Harian yang kini sedang menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) di Beijing, China.

Klik di sini untuk terus membaca