SHAH ALAM - Semua pihak diminta berhenti menyebarkan provokasi sama ada dalam bentuk audio, video, gambar mahupun berita palsu yang mengapi-apikan kebencian terhadap pemimpin, institusi raja serta agama dan kaum lain kerana ia boleh menjerumuskan negara ke dalam sengketa yang tiada kesudahan.
Sebaliknya dengan berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) dan terbentuk Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang harus mula bekerja untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara.
Penganalisis politik merangkap Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir berkata, tindakan provokasi tidak mendatangkan sebarang manfaat malah memberi kesan negatif terhadap kestabilan politik, sosial dan ekonomi.
"Sedangkan kita sepatutnya memberi fokus bagaimana hendak pastikan kerajaan sekarang stabil dan didukung oleh rakyat ketika pemimpin politik daripada pelbagai blok telah bersetuju untuk jalinkan kerjasama,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujar beliau, rakyat sepatutnya memberi sokongan dan cadangan kepada kerajaan untuk memajukan semula pembinaan negara.
"Fokus haruslah kepada kos sara hidup, inflasi, peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi negara dan langkah-langkah untuk menarik pelabur asing.
"Jadi saya fikir, kabinet yang akan dibentuk Perdana Menteri nanti harus diberi sokongan.
"Rekonsiliasi nasional haruslah menjadi agenda utama kita sesuai dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang telah direstui oleh Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.
Pensyarah Program Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu, Dr Zaharul Abdullah pula berkata, komen-komen yang dilontarkan di media sosial perlu berasas, konstruktif, serta tidak bertentangan dengan undang-undang sedia ada.
Ulas Zaharul, rakyat perlu meninggalkan persaingan politik kepartian yang telah selesai dalam PRU15 lalu dan mara ke depan bersama-sama kerajaan bagi membina negara yang lebih baik.
"Tentunya komen-komen yang negatif ini memberikan impak kepada hubungan antara kaum.
"Dalam konteks ini, kerajaan harus mengawal naratif yang cenderung kepada populisme Melayu dan memanfaatkan kekuatan parti-parti komponen untuk melahirkan naratif arus perdana yang menekankan kekuatan masyarakat pelbagai kaum dan bangsa yang bersatu padu serta menolak politik perkauman dan pandangan agama yang sempit,” kata Zaharul.
Jelasnya, kawalan terhadap naratif dan perdamaian ideologi serta agenda gabungan-gabungan politik itu penting bagi meningkatkan lagi kestabilan kerajaan.
"Kerajaan yang stabil dan dasar yang tidak berubah-ubah ini penting untuk menarik pelaburan sama ada domestik mahupun pelabur antarabangsa,” ujar beliau.
Sementara itu, masyarakat dinasihatkan jangan mudah terpengaruh dengan propaganda dan sentimen perkauman yang tular di media sosial.
Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, orang ramai harus menerima dan berlapang dada terhadap titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca-PRU15.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti menjunjung titah dan niat murni Seri Paduka yang mahu dasar perdamaian sebagai usaha memulihkan negara yang sebelum ini sedikit kucar-kacir akibat kemelut politik.
"Pembentukan Kerajaan Perpaduan sudah tentu tujuannya adalah untuk memulihkan negara. Apabila semangat berdamai itu diangkat dalam masyarakat, maka perlu diperbanyak perkara yang menyatupadukan rakyat dan kurangkan atau kalau boleh tiada langsung sentimen yang boleh memecahbelahkan kita.
"Apabila dibangkitkan semula Peristiwa 13 Mei 1969, secara tidak langsung akan membangkitkan kemarahan antara kaum sedangkan peristiwa itu sudah menjadi lipatan sejarah. Kalau tujuannya untuk menakut-nakutkan (antara kaum), saya kira ia satu tindakan yang tidak wajar," katanya kepada Sinar Harian.
Kok Seong berkata, sudah tiba masanya masyarakat membuka lembaran baharu dengan mengangkat semangat perdamaian dan mengelakkan anasir perkauman.
Jelasnya, walaupun Perikatan Nasional (PN) menolak untuk menyertai kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu dikira tepat bagi menyuburkan Demokrasi Berparlimen ekoran adanya kuasa semak dan imbang.
Klik di sini untuk terus membaca