RAKYAT Malaysia menghasilkan kira-kira 37,890 tan sisa setiap hari dengan sekurang-kurangnya 1.17 kilogram (kg) dijana bagi setiap individu. Dengan anggaran pertumbuhan populasi 2.4 peratus atau 600,000 orang setiap tahun (sejak 1994),... Klik di sini untuk terus membaca

RAKYAT Malaysia menghasilkan kira-kira 37,890 tan sisa setiap hari dengan sekurang-kurangnya 1.17 kilogram (kg) dijana bagi setiap individu.

Dengan anggaran pertumbuhan populasi 2.4 peratus atau 600,000 orang setiap tahun (sejak 1994), lebih banyak sampah akan dihasilkan, seterusnya mengurangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan mentaliti masyarakat yang memandang mudah kepada kempen 'kitar semula' yang dua kali dilancarkan pada 1993 dan 2000 dibuktikan dengan peratusan kitar semula yang masih rendah, sekitar empat puluh lima peratus.

Angka ini amat jauh daripada sasaran kitar semula di negara maju seperti Jepun yang mencecah 70 peratus.

Hakikatnya, 2.3 juta tan barang boleh kitar semula dengan anggaran nilai mencecah RM900 juta, dibuang ke tapak pelupusan sampah di Malaysia setiap tahun.

Rentetan itu, masalah dan kesan pembuangan sisa domestik masih terus berpanjangan.

Masalah berkaitan sisa ini semakin bertambah memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru sahaja berlalu.

Menjadi kelaziman, setiap kali berlakunya pilihan raya pasti melibatkan percetakan poster, risalah, kain rentang dan yang tidak betul bukan sahaja berakhir dengan pemandangan yang menyakitkan mata, malah setiap parti perlu membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk melakukan penyelenggaraan bahan berkaitan.

Persoalannya, bagaimana bahan berkenaan diuruskan selepas hari mengundi dan berakhirnya pilihan raya?

Menurut laporan tahunan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) 2018, pada PRU14, hasil kutipan sisa pepejal meningkat kepada 269,042 tan pada Mei 2018 berbanding 250,266 tan pada April 2018.

Pertambahan sisa pepejal meningkat apabila selesainya mana-mana pilihan raya kerana kebanyakan bahan kempen yang digunakan itu hanyalah bersifat sementara.

Merujuk kepada perkara tersebut, cara terbaik untuk mengurangkan pembaziran sewaktu pilihan raya ialah dengan mengguna semula bahan kempen berkenaan selepas berakhir pilihan raya.

Kebiasaannya bahan kempen tersebut akan dikutip kembali dan disimpan di dalam stor untuk kegunaan pilihan raya seterusnya ataupun pemilihan parti.

Bahan kempen yang rosak antaranya akibat vandalisme akan dihantar ke tapak pelupusan sampah, manakala bahan yang masih elok tetapi tidak boleh digunakan dalam jangka masa panjang akan dihantar ke pusat kitar semula.

Hakikatnya, bukan semua bahan berkempen akan berakhir di tapak pelupusan sampah dan pusat kitar semula.

Merujuk akhbar Berita Harian, bagi baju yang dicetak nama calon, ianya boleh disumbangkan kepada golongan memerlukan seperti gelandangan dan rumah kebajikan untuk dipakai ataupun digunakan untuk tujuan lain.

Bagi sepanduk dan kain rentang pula, para peniaga gerai boleh memanafaatkannya dengan dijadikan sebagai penghadang matahari dan alas meja.

Malah, poster calon yang bertanding boleh dikumpulkan untuk menutupi tingkap kaca di rumah sebagai pelindung daripada sinaran matahari terik pada waktu siang.

Sekiranya bahan kempen tidak dapat disimpan untuk kempen pada masa akan datang, bahan tersebut boleh diolah secara kreatif, antaranya menjadi beg guna semula yang boleh disumbangkan kepada kedai tempatan untuk digunakan oleh pengguna bagi mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna.

Bahan berkenaan juga boleh dijahit untuk menjadi kain pengelap. Tidak dapat disangkal, proses kitar semula adalah penentu kepada masa depan lebih baik bagi mengelakkan pencemaran dan menjejaskan kehidupan generasi akan datang.

Justeru, di masa hadapan penggunaan media digital dalam menyebarluas maklumat, poster, risalah dan bendera parti dalam bentuk digital di laman sesawang boleh mengurangkan percetakan menggunakan kertas.

Calon sebenarnya boleh menggunakan kuasa media sosial untuk menyampaikan mesej mereka dengan cara yang kreatif seperti video dan infografik yang interaktif.

Pengurusan bahan pilihan raya merupakan tanggungjawab setiap parti yang bertanding bagi mengurangkan sisa yang dibuang ke tapak pelupusan kerana ia boleh mengakibatkan pencemaran udara akibat pembakaran terbuka serta pencemaran sungai dan laut akibat pembuangan secara berleluasa.

Maka, adalah sangat penting untuk menguruskan bahan tersebut secara lestari, khususnya dalam mendukung agenda kelestarian selaras dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi mengelakkan alam sekitar dicemari dan dimusnahkan akibat tindakan tidak lestari dalam pengurusan sisa pilihan raya!

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca