MINGGU lalu menyaksikan negara berjaya keluar daripada kemelut politik pemerintahan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), seorang Perdana Menteri baharu telah mengangkat sumpah untuk... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu menyaksikan negara berjaya keluar daripada kemelut politik pemerintahan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), seorang Perdana Menteri baharu telah mengangkat sumpah untuk meneraju negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Perdana Menteri baharu bakal berada di bawah mikroskop rakyat untuk merungkai isu program pertahanan mega yang telah mencolok mata dan pemikiran rakyat.

Apa lagi sepanjang tahun ini, sebelum berlangsungnya dan ketika kempen PRU15, beliau merupakan individu yang kerap membangkitkan isu berkaitan.

Pada bulan Mac tahun ini, beliau menyuarakan kebimbangan kerana setiap kali bertanyakan soalan tentang Kementerian Pertahanan, ia ditolak dan digantikan dengan soalan berlainan menerusi sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Ini menurut beliau berlaku berulang kali sehingga rakyat tidak berpeluang mendapat penjelasan daripada Kementerian Pertahanan terutama mengenai program-program berkaitan perolehan aset dan kelengkapan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam sesi sedemikian antara alasan diberi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang melibatkan Kementerian Pertahanan ialah soalan beliau ‘tidak naik’ kerana menterinya 'not available' ketika itu dan akan diangkat pada masa akan datang.

Kekecewaan ini bukanlah satu perkara baharu kerana sejak dari tahun 2015 lagi, laporan Indeks Pencegahan Rasuah Pertahanan Kerajaan (GI 2015) oleh badan pemerhati antarabangsa, Transparency International – Malaysia (TI-M) telah memberikan markah 'D' secara keseluruhannya kepada kementerian tersebut dalam isu-isu ketelusan dan integriti pengurusan perolehan program-program berkaitan pertahanan.

Presiden badan pemerhati itu juga menyatakan kebanyakan pembelian senjata atau kelengkapan ATM oleh Kementerian Pertahanan yang dilakukan melalui rundingan terus meletakkan pembelian berisiko tinggi berkemungkinan mengakibatkan terjadinya rasuah.

Inilah mengapa laporan pembelian senjata dan kelengkapan oleh ATM perlu dibentangkan di Parlimen bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen membuat penelitian dan penilaian bagi memastikan tidak berlakunya rasuah ataupun terdapat rundingan terselindung antara pegawai yang terlibat dalam urusan pembelian dengan pihak pembekal.

Beliau memberitahu, pembentangan di Parlimen juga boleh memastikan proses perolehan dilakukan dengan telus mengelakkan kenaikan harga bagi tujuan memberi komisen melampau kepada orang tengah.

Gesaan ini malangnya hanya ‘masuk telinga kanan keluar telinga kiri’ oleh pihak-pihak yang berkaitan dan akibatnya amat jelas memudaratkan pertahanan negara apabila skandal program kapal tempur pesisir pantai atau Littoral Combat Ship (LCS) terbongkar.

Pada bulan Ogos tahun ini juga, Perdana Menteri yang dilantik turut menyentuh dan mencadangkan pelaksanaan fasa keenam projek LCS dihentikan susulan teguran oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Beliau bagaimanapun bersetuju agar lima fasa yang telah dimulakan pembinaannya diteruskan.

Dakwaan penyelewengan dan salah urus kewangan oleh kerajaan yang memerintah sebelum PRU15 semakin lantang beliau suarakan ketika kempen pilihan raya. Malah dalam satu siri jelajah negara beliau membuat kenyataan bahawa seorang pegawai berpangkat jeneral yang masih bertugas memberikan maklumat bahawa keadaan semakin parah.

Antara maklumat yang mengejutkan diberi ialah kekurangan atau ketiadaan peluru ketika membuat latihan menembak dan ada anggota terpaksa menggunakan wang saku sendiri untuk menempah pakaian seragam.

Apakah kelantangan Perdana Menteri yang baharu ketika berada di kerusi pembangkang dan ketika berkempen pada PRU15 hanya merupakan retorik politik semata-mata. Atau ia satu niat murni dengan iltizam mahu memecahkan budaya rasuah, penyelewengan dan kronisme yang telah sekian lama melanda proses perolehan pertahanan negara.

Perkara ini memerlukan sokongan padu daripada semua rakyat dan lebih kritikal daripada golongan ahli politik sendiri tanpa mengira di pihak mana mereka berada.

Malangnya walaupun Perdana Menteri baharu telah diperkenan oleh YDPA minggu lalu, politikus yang tidak dinobatkan untuk berkuasa terus memukul ‘gong’ untuk menggoncang kestabilan institusi politik negara.

Dengan pelbagai isu yang telah menyebabkan pertahanan negara kini boleh dianggap menjadi rapuh akibat kekurangan aset moden, mereka masih lantang menjadi ‘tukang karut’ yang hanya mahu menyelamatkan kedudukan politik masing-masing.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca