SHAH ALAM - Isu kekurangan bekalan telur ayam di pasaran sejak Oktober lalu masih lagi berlanjutan sehingga kini, kata Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Lee Yoon Yeau.
Ujarnya, isu telur ayam kembali pulih seperti yang dipaparkan di media sosial adalah tidak benar kerana beberapa kawasan masih lagi mengalami masalah sama.
"Itu bukan satu liputan yang betul. Media sosial yang mainkan isu ini, jadi kita tidak boleh komen.
"Hantaran di media sosial yang kata telur (ayam) sudah banyak di pasaran belum tentu sahih dan mungkin beberapa sahaja yang merasainya.
"Melainkan jika Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sendiri yang memaklumkannya, bukan hanya baca menerusi hantaran media sosial orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai beberapa hantaran di media sosial yang menyatakan baru-baru ini bekalan telur ayam mulai banyak di pasar raya.
Kata Yoon Yeau, kebanyakan ladang ternakan mula mengurangkan produktiviti pengeluaran ekoran kerugian yang dialami sejak tahun lalu disebabkan kenaikan harga dedak dan harga kawalan ayam.
"Tahun ini, (harga) dedak naik tinggi dan agak sukar dikawal kerana ia mengikut harga antarabangsa. Ini antara isu yang sukar dikawal oleh penternak," jelas beliau.
Justeru, beliau berkata, kabinet baharu yang bakal dibentuk perlu mencari penyelesaian ‘menang-menang’ yang tidak akan merugikan penternak mahupun rakyat.
CARI MEKANISME BAHARU SELESAI MASALAH
Sementara itu, Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) meminta kerajaan mencari mekanisme baharu bagi mengatasi kekurangan bekalan barangan keperluan asas seperti telur ayam.
Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, masalah kekurangan bekalan telur ayam di kedai runcit dan pasar raya di negeri ini didapati makin pulih namun masih tidak sepenuhnya.
Menurutnya, kuota bekalan telur ayam diberikan pembekal kepada peniaga didapati masih rendah dan terhad.
"Jika dahulu, bekalan telur ayam dihantar pembekal kira-kira 50 peratus daripada tempahan peniaga sahaja namun kini telah mencapai 70 peratus.
"Namun, bekalan telur ayam sepatutnya ada 100 peratus hingga 150 peratus demi memenuhi keperluan pengguna, namun Cake nampak masalah kekurangan bekalan makin pulih," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mohamad Yusrizal berkata, bekalan telur ayam sepatutnya berada dalam keadaan sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Yusrizal berkata, industri makanan memerlukan perubahan dan transformasi untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
"Jadi, kami harap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melihat semula sistem-sistem perdagangan dalam negara yang dikhuatiri ada ketirisan dan kekurangan hingga menyebabkan harga barangan naik melambung.
"Antara lain dengan menghapuskan sistem monopoli bagi sesetengah barang yang menyebabkan berlakunya kenaikan harga barang keperluan ini,"katanya.
"Kita tunggu dalam dua minggu lagi kerana semalam (Ahad) pegawai-pegawai KPDNHEP dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali maklumkan telah mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Jadi selepas ini, kita tunggu pula kerajaan baharu untuk mesyuarat dengan pemain industri dan lihat apa cadangan kerajaan untuk mengatasi isu ini,” menurutnya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Johor, Lau Ka Leng berkata, tempoh masa diperlukan untuk bekalan telur ayam kembali stabil di pasaran.
"Setakat ini bekalan sudah beransur pulih, tetapi permintaan pasaran tempatan cukup tinggi.
"Sebelum ini, penternak berdepan isu wabak dan penyakit ayam penelur. Wabak ini tidak sebabkan ayam mati tetapi peratus telur ayam berkurangan setiap hari.
"Namun wabak ini sudah diatasi dan bekalan telur ayam semakin stabil," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Untuk rekod, secara purata negara memerlukan antara 30 hingga 31 juta biji telur sehari yang dikeluarkan oleh 1,500 penternak seluruh negara.
Dalam pada itu, Ka Leng menafikan dakwaan kononnya kekurangan telur ayam di pasaran adalah akibat tindakan sabotaj penternak yang menyorokkan bekalan itu.
Jelasnya, tuduhan itu tidak berasas kerana tindakan menyimpan telur di gudang hanya merugikan penternak disebabkan telur ayam tidak boleh disimpan lama.
"Jangka hayat telur tidak lama, kalau disimpan akan rosak dan hanya akan rugikan kami.
"Berbanding ayam segar boleh disejuk beku, telur jika disimpan dalam peti sejuk lebih seminggu pun akan rosak," katanya yang turut menasihatkan pengguna agar tidak membuat pembelian panik ketika bekalan telur sedang mula pulih.