SHAH ALAM - Rata-rata pelanggan mengakui masih sukar untuk mendapatkan bekalan telur ayam di kedai runcit dan pasar raya lebih-lebih lagi jika mahu membeli dalam kuantiti yang banyak. Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya dan kedai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rata-rata pelanggan mengakui masih sukar untuk mendapatkan bekalan telur ayam di kedai runcit dan pasar raya lebih-lebih lagi jika mahu membeli dalam kuantiti yang banyak.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar Shah Alam setakat jam 2 petang pada Isnin mendapati, kebanyakan kedai hanya mempunyai pek telur ayam yang mengandungi enam hingga 10 biji telur berbanding sepapan berisi 30 biji.

Penolong arkitek landskap, Fariza Hanim Mohd Jamil, 38, berkata, dia sudah cuba mencari bekalan di beberapa kedai namun hampa kerana sukar untuk mencari sepapan telur.

"Pek kecil memang ada di pasaran tapi memandangkan di rumah saya sekeluarga memang ambil protein telur setiap kali sarapan, jadi memang tidak cukup.

"Agak susah nak beli satu papan telur di kedai runcit atau pasar raya dan ia mudah habis lebih-lebih lagi selepas waktu bekerja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di salah sebuah pasar raya di sini pada Isnin.

Bagi penjawat awam, Siti Zainab Jamarizan, 35, masalah kekurangan bekalan telur ayam yang berlarutan sejak tiga minggu lepas masih tiada jalan penyelesaian.

"Sejak tiga minggu lepas memang susah nak dapatkan bekalan satu papan telur ayam. Ramai kata di media sosial bekalan sudah kembali pulih.

"Tetapi saya cari di beberapa pasar raya di sekitar sini pun masih tiada lagi bekalan papan telur ayam. Tinggal telur yang dijual dalam pek kecil dan harganya sedikit mahal," jelasnya.

Seorang peniaga makanan, Nor Hamika Yahya, 36, pula berkata, harga sepapan telur ayam bagi gred A ketika ini dijual pada harga lebih RM13 berbanding sekitar RM11 sebelum ini.

Menurutnya, kenaikan itu menyebabkan pengusaha kecil terutama peniaga makanan perlu menanggung sedikit kerugian kerana kebanyakan mereka tidak menaikkan harga jualan makanan.

"Bila dah dapat bekalan, mahal pula harganya. Sepatutnya harga telur ayam kembali kepada asal seperti mana sebelum ini (pandemik Covid-19 melanda)," katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Ahmad Zaidi Ismail, 33, berkata, telur ayam merupakan sumber makanan utama bagi rata-rata keluarga dan sepatutnya harganya tidak boleh membebankan rakyat.

"Bukan sahaja peniaga, tetapi keluarga golongan B40 akan terasa. Dulu telur mahal sebab kurang bekalan sekarang ada bekalan harga pula tidak stabil dan isu ini perlu diberikan perhatian," katanya.

Di KOTA BHARU, bekalan di kebanyakan kedai masih belum pulih dan hanya mempunyai telur omega yang harganya sedikit mahal.

Amalina menunjukkan telur jenis omega yang dijual di kedainya.

Seorang peniaga kedai runcit, Amalina Nordin, 29, berkata, sudah tiga minggu bekalan telur tidak diperoleh daripada pembekal.

"Banyak kali pergi ke kedai borong telur di Pasir Tumboh ini, semua beritahu telur habis dan ada pemborong tutup kedai serta tidak berniaga.

"Orang kata bekalan telur dah pulih tetapi di Kota Bharu ini masih tak ada telur, ada pun telur jenis omega, itu pun tidak banyak.

"Telur biasa boleh dapat daripada pemborong dengan harga RM11.50 sepapan tetapi telur omega ini terpaksa dijual sedikit-sedikit kerana terlalu mahal dan kuantiti pula tidak banyak,” katanya ketika ditemui di kedai runcit di Bandar Baharu Pasir Tumbuh, di sini, pada Isnin.

CATU JUALAN

Sementara itu di PEKAN, sebilangan peniaga kedai runcit di sekitar daerah ini mengakui masih berdepan masalah kekurangan bekalan telur yang berlarutan lebih dua bulan lalu.

Peniaga kedai runcit, Salmah Mohd Nordin, 55, berkata, mereka masih berdepan kekurangan stok telur.

"Susah sangat hendak dapat, kalau dapat pun sangat terhad sekitar dua atau tiga sarang (papan) sahaja. Tapi ada juga hari, saya tidak dapat langsung membeli telur untuk dijual.

"Ini paling kritikal saya dan peniaga runcit lain hadapi apabila sukar peroleh bekalan telur dan situasi sebegini menyukarkan saya untuk memenuhi keperluan pelanggan, " katanya Kampung Ubai di sini pada Isnin.

Ibu kepada empat anak itu memberitahu terpaksa mencatu jualan telur untuk pelanggan bagi membolehkan semua pelanggan dapat membelinya.

"Kalau tidak catu jualan kesian pembeli yang memerlukannya, terutama peniaga kedai makan. Jadi saya kena jual sikit supaya semua boleh rasa," luah Salmah lagi.

Mohd Sidek memaklumkan hanya sepapan telur diperolehi daripada pembekal.

Mohd Sidek Ahmad, 63 yang mengusahakan perniagaan makanan berkata, masih bingung untuk mencari stok bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Saya sudah 32 tahun berniaga, tiga bulan ini tempoh paling kritikal apabila sukar kami hendak dapat bekalan telur.

"Kalau dulu saya boleh beli banyak papan telur tanpa ada had, tapi kini hanya dua atau tiga papan sahaja. Bila tidak dapat banyak, jualan terganggu juga," jelasnya.

Di ALOR SETAR pula, peniaga, Mohamed Jasmin, 32, berkata, bekalan diterima berkurangan lebih 50 peratus berbanding kebiasaannya.

"Selalunya saya akan menempah 60 papan telur ayam dalam tempoh dua hari daripada pemborong, namun hanya menerima 20 papan telur ayam sahaja.

"Jumlah itu memang tidak cukup untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang," katanya yang berharap masalah kekurangan bekalan itu dapat diatasi segera.

Klik di sini untuk terus membaca