SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera mencari solusi terbaik dalam membantu rakyat menghadapi masalah peningkatan kos sara hidup.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, peningkatan kos sara hidup itu amat membebankan rakyat dan pihaknya juga menerima banyak kes orang ramai yang seolah-olah putus asa untuk meneruskan hidup.
"Kesusahan itu amat menekan rakyat dan yang datang kepada kami ada yang bercerai, mahu bunuh diri dan sebagainya. Ada yang kita selamatkan bagi bantuan dan sebagainya.
"Ini sesuatu yang amat menakutkan dan satu usaha segera perlu diambil untuk mengatasi keadaan ini sebelum ia bertambah parah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan Sinar Live bertajuk Kos Sara Hidup: Kabinet Baru Boleh Diharap? yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.
Nadzim berkata, rakyat juga perlu bersama mencari penyelesaian untuk menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar.
"Sekarang ini yang paling kita risau dan bincangkan adalah krisis makanan dan harga barang naik. Jadi, apa kita nak buat? Adakah kita tunggu juga kerajaan? Sebab kita tahu impaknya bahawa di seluruh dunia ada masalah.
"Salah kita juga kerana kita selalu amalkan beli tetapi tidak produce (mengeluarkan) sendiri dan perkara ini sudah lama berlaku.
"Saya biasa pergi ke pasar Chow Kit, beli sayur. Saya tanya kepada peniaga sayur daripada mana sayur tersebut dan mereka kata daripada Indonesia, Vietnam dan sebagainya.
"Semua sayur ini kita boleh tanam di sini tetapi kenapa kita tidak buat? Sebab kita amalkan sifat tidak kisah dan lebih selesa membeli daripada luar. Apabila harga mahal, kita terpaksa beli juga. Jadi perkara ini kita kena ubah," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca