SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan sebarang perolehan projek tanpa tender bertujuan mengelak lima implikasi negatif kepada negara.
Implikasi tersebut adalah ketirisan dan kebocoran wang melalui kos projek lebih mahal berbanding harga semasa, ekonomi monopoli yang boleh mempengaruhi harga pasaran serta amalan pilih kasih atau kronisme sehingga merugikan wang rakyat dan kerajaan.
Selain itu, ia dapat mengelak budaya menafikan hak syarikat atau kontraktor yang lebih kompeten dan stigma tidak baik terhadap tadbir urus kerajaan.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, projek tender terbuka adalah lebih telus dan harmoni kerana semua pihak mempunyai peluang serta hak yang sama untuk memenangi tender.
"Bagaimanapun, ia juga bergantung sejauh mana prestasi, kekuatan, pengalaman dan kewangan sesebuah syarikat.
"Sebaliknya, projek tanpa tender terbuka akan memberikan kesan buruk kepada kerajaan bukan sahaja dalam jangka masa pendek bahkan masa panjang,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujar Mohd Faisol, melalui pendekatan tender terbuka, nilai tadbir urus dan integriti kepimpinan kerajaan dalam membuat keputusan tidak akan dipersoal.
"Perlu tambah baik mekanisme perolehan tender sedia ada agar isu kronisme, ketirisan, kebocoran, manipulasi, penyelewengan dan penipuan dapat dielakkan.
"Malah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga boleh menjadi sebahagian anggota dalam pemilihan tender terbuka.
"Jika ini berjaya dilakukan, ia mampu menyelamatkan wang rakyat seterusnya pengurusan kewangan negara dapat dibelanjakan secara berhemah dengan mengutamakan projek yang mempunyai impak terhadap peningkatan sosioekonomi,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca