HIDUP ini untuk berubah. Ia bukan setakat perubahan fizikal, daripada muda menjadi tua, daripada berambut lebat menjadi jarang-jarang atau daripada tidak cantik menjadi cantik – misalnya dengan bantuan produk kilo dari seberang sempadan tetapi juga pelbagai bentuk perubahan lain termasuk melibatkan mental dan jiwa raga.
Perubahan juga tidak hanya berlaku disebabkan oleh kita, si empunya diri. Batu di tepi jalan sebagai contoh, memang tidak boleh bergerak tetapi lambat-laun ia tetap akan berubah. Kalau bukan oleh manusia, tentu sahaja oleh iklim dan cuaca.
Kesimpulannya perubahan perkara tidak boleh dielak. Ia sesuatu yang kita terima sebagai hakikat. Tetapi ironinya, sikap kita terhadap perubahan agak pelik. Kita seakan-akan sentiasa bersedia untuk menghadapi perubahan yang menguntungkan kita.
Misalnya, jika tiba-tiba beroleh rezeki terpijak, kita akan berseronok suka sehingga lupa soal terima kasih dan syukur kepada-Nya. Sebaliknya, apabila terjadi perubahan-perubahan tidak kena dengan hati dan selera, sikap kita akan berbeza sama sekali.
Akan ada yang panik, menggelabah, malah tidak kurang muncung dan murung. Kita seolah-olah lupa pada sesuatu yang telah kita terima sebagai hakikat tadi.
Perubahan berlaku kerana banyak sebab. Contohnya, kerana penyakit, teknologi dan politik. Kita telah rasa sendiri bagaimana penangan penyakit terhadap kehidupan kita semasa era pandemik.
Sepanjang fasa itu, hidup kita menjadi hampir 90 peratus berbeza daripada kehidupan sebelumnya. Bayangkanlah, bersalam pun tidak boleh, apatah lagi berpeluk dan berlaga pipi.
Mengenangnya pun sudah memadai untuk menyebabkan kita tidak sanggup melaluinya sekali lagi walaupun tindak-tanduk dan perbuatan kita sekarang ini mempunyai tanda-tanda akan membawa kita kembali ke arah itu.
Saya katakan begitu kerana sekarang ini orang sudah kembali tidak mempedulikan jarak dan mereka yang masih memakai pelitup muka sudah sering dijadikan bahan lawak.
Teknologi seperti yang kita tahu adalah penyumbang paling besar terhadap perubahan corak kehidupan. Tidak perlu rasanya diulas kembali satu persatu. Memadai jika dikatakan, sama ada anda atau saya atau mereka, kita semua akan perlahan-lahan hilang warasnya jika terpaksa berpisah separuh hari daripada telefon pintar masing-masing – penyakit yang dahulunya tidak pernah ada dan tidak pernah dibayangkan oleh manusia.
PEMIKIRAN LAMA
Dan dalam dunia di mana politik berperanan besar sebagai pencorak kehidupan, perubahan hidup kita juga sering dipengaruhi olehnya. Apa juga keputusan politik akan ada kesannya terhadap kehidupan.
Yang membezakannya hanyalah kecil atau besarnya kesan tersebut. Tidak kira apa faktor penyebabnya, perubahan itu terutama bersifat negatif perlu diuruskan dengan baik. Jika tidak, ia mungkin mempercepatkan tarikh kunjungan anda ke klinik atau hospital.
Untuk mengelak terjadi hal sedemikian, perkara pertama patut anda buat ialah sentiasa menyediakan pelan bagi menghadapi perubahan. Tanyakan pada diri, kalau berlaku perubahan dalam keluarga, apa tindakan anda?
Bagaimana dengan perubahan di tempat kerja? Bagaimana jika tiba-tiba terjadi peperangan? Bagaimana jika anda mendapat jiran baharu yang mulutnya macam puaka baru terlepas daripada kurungan?
Bagaimana kalau begitu, bagaimana kalau begini? Bagi setiap soalan, sediakan beberapa jawapan, kemudian ‘bermain-mainlah’ dengan jawapan itu di fikiran anda supaya jika perubahan tersebut benar-benar terjadi, otak anda secara spontan akan mengusulkan langkah yang perlu diambil.
Bingkaikan semula pemikiran anda. Keluar daripada kotak pemikiran lama dan cubalah bina bingkai baharu. Cari dengan sebanyak-banyaknya kesan positif yang dibawa oleh perubahan-perubahan itu dan abaikan semua bisikan negatif.
Berpeganglah pada satu kenyataan bahawa di sebalik setiap sesuatu yang buruk, pasti ada kebaikan terselindung. Cari yang terselindung itu, sebanyak yang mungkin.
Sesuatu perubahan negatif selalunya menjadi malapetaka bukan disebabkan oleh kesan dibawa perubahan tersebut tetapi sikap kita sendiri yang enggan berubah.
Jadi, jika mahu tenang menempuh perubahan, maka berubahlah. Ingatlah, keindahan kehidupan bukan terletak pada bagaimana kita cuba mengubah keadaan tetapi bagaimana kita menyesuaikan diri dengannya.
Kalau telah jatuh miskin pun masih hendak hisap curut dari Havanna yang harganya sekotak hampir sama mahal dengan seekor lembu pawah, sudah tentulah hidup jadi kacau-bilau dan tidak tentu arah...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai seorang setiausaha politik dan juga bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca