SEMINGGU sudah berlalu, teka-teki siapa Perdana Menteri ke-10 sudah terjawab apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik untuk mengisi jawatan itu selepas lima hari krisis Parlimen tergantung. Dari penjara ke... Klik di sini untuk terus membaca

SEMINGGU sudah berlalu, teka-teki siapa Perdana Menteri ke-10 sudah terjawab apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik untuk mengisi jawatan itu selepas lima hari krisis Parlimen tergantung.

Dari penjara ke Putrajaya, siapa sangka ketua pembangkang itu akhirnya menamatkan badi gelaran ‘PM-tepi’ selama 24 tahun yang sering dimomok kepada beliau.

Fokus rakyat Malaysia dan dunia kini, selepas 24 tahun 'menunggu' berada di puncak kuasa, bagaimanakah reformasi yang mahu dilakukan Anwar. Ini kerana banyak dalam ucapan dan kenyataan beliau selama 24 tahun, Anwar menekankan mengenai isu-isu rakyat marhaen, meningkatkan ekonomi dan mereformasi pentadbiran negara.

Persoalannya, selepas seminggu adakah Anwar memasuki gelanggang pentadbiran negara dengan langkah yang baik atau langkah sumbang?

Anwar angkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis. - Foto Bernama

SAMBUTAN PEMIMPIN DUNIA

Nama Anwar tidak asing di persada dunia apabila beliau sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan pemimpin-pemimpin luar sama ada di Turkiye, Indonesia, negara Arab, Amerika Syarikat, Eropah dan lain-lain.

Apabila berita pelantikannya sebagai Perdana Menteri disahkan, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi antara pemimpin dunia pertama yang menghubungi beliau bagi menyampaikan ucapan tahniah.

Ini diikuti dengan dengan panggilan telefon Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang diterima Anwar sewaktu sedang mengadakan sidang media bersama ratusan wakil pemberita luar dan dalam negara.

Terdapat juga desas-desus mengatakan bahawa Presiden Turkiye itu menyatakan hasrat untuk membuat lawatan ke Malaysia pada 9 hingga 11 Disember bagi tujuan perdagangan.

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah (tiga, kiri) berangkat pulang sambil diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) di Seri Perdana dalam lawatan khas baginda ke Malaysia pada Isnin. Turut berangkat Pengiran Muda ‘Abdul Mateen (kiri).Ini merupakan pertemuan sulung baginda dengan Anwar yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov lepas.

--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA


Selain itu, ucapan tahniah juga mencurah-curah diterima Anwar termasuk daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi; Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese; Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony J Blinken dan Pemimpin Buddha, Dalai Lama.

Paling menarik pada hari kelima pentadbirannya, Anwar menerima kunjungan ketua negara pertama iaitu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah yang mengucap tahniah secara bersemuka dengan beliau.

Lawatan khas itu nampak istimewa, apabila difahamkan kali terakhir Sultan Hassanal Bolkiah ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Brunei Darussalam.

Selain berstatus jiran paling dekat, hubungan Malaysia-Brunei adalah sangat penting kerana negara itu adalah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia pada 2021 dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM8.03 bilion (AS$1.94 bilion).

Pada beberapa hari pertama ini dengan sambutan luar biasa pemimpin dunia, Anwar telah memberikan gambaran kepada rakyat bahawa beliau seorang pemimpin yang mampu menarik pelbagai pelabur asing ke Malaysia sekali gus meningkatkan prospek ekonomi.

MEMENANGI HATI PENJAWAT AWAM

Pada 25 November, pada pagi Jumaat, bermulalah tugas Anwar sebagai Perdana Menteri di pejabatnya, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya dengan mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan.

Beliau yang segak berbaju Melayu lengkap bersamping, selain memakai capal itu tiba di sana seawal jam 9.52 pagi.

Apa yang mencuit hati rakyat adalah sifat santai Anwar yang berkaki ayam selepas menanggalkan capal yang dipakainya semasa mesyuarat sedang dijalankan.

Pada Jumaat, mata wang tempatan juga terus mengukuh kepada 4.4760/4810 berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) daripada penutupan Khamis pada 4.4910/5000.

Pakar ekonomi berpandangan, kepelbagaian dalam komponen parti kerajaan baharu yang akan dibentuk dapat memberikan satu gambaran kepada pelabur-pelabur asing bahawa Anwar boleh mendapat keyakinan daripada kebanyakan parti.

Anwar sekali lagi mengadakan mesyuarat dan pertemuan dengan pegawai tinggi kerajaan menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) 2022.

Dengan notis singkat dan diadakan pada hari Ahad, ia bagaikan satu 'ujian' Anwar kepada pegawai tinggi kerajaan.

Mesyuarat itu berlangsung baik dengan kehadiran Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus serta pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Anwar (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Bangunan Perdana Putra pada Ahad. - Foto Bernama

Pada sidang media selepas itu, Anwar memberi pujian dan kredit kepada pegawai tinggi penjawat awam yang komited bermesyuarat pada hari cuti hujung minggu.

"Satu permulaan membanggakan saya kerana semua kementerian, Ketua Pengarah, Ketua Setiausaha (KSU) dan Gabenor Bank Negara hadir walaupun ini adalah hari minggu.

"Saya zahirkan kebanggaan saya sikap penjawat awam yang sering kali tidak dihargai masyarakat selama ini,” kata Anwar yang dilihat memberi moral dan semangat kepada pegawai kerajaan.

Pada hari Selasa 22 November, Anwar meneruskan hubungan baik dengan kakitangan awam menerusi Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dalam ucapannya kepada warga JPM, Anwar memberi penekanan tentang penting semua kakitangan awam bersama-sama dalam membina negara.

"Tidak mungkin saya berjaya sekiranya tonggak perkhidmatan awam ini tidak sepenuhnya bersama saya.

"Saya merayu supaya bersama-sama dalam minat, semangat untuk membawa islah, perubahan ke arah kebaikan.

"Saya harap saudara bekerja dan hormati disiplin jika saudara lihat ada kelonggaran, kecuaian sebelumnya itu sejarah lampau," kata Anwar dalam perhimpunan itu.

HUBUNGAN BAIK DENGAN ISTANA

Selain mengukuhkan ukhuwah antarabangsa, dalam beberapa hari pelantikannya juga, Anwar dilihat mempunyai hubungan baik dengan pihak istana.

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menerima menghadap Perdana Menteri ke-10 itu pada hari Sabtu.

Sehari kemudian, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Anwar di sebuah lokasi di Kuala Lumpur.

JIMAT CERMAT DAN LAWAN RASUAH

Lebih dua dekad bergelar pemimpin blok pembangkang kecuali pada ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan selama 22 bulan, Anwar memang cukup dikenali sebagai pengkritik tegar amalan boros, salah pengurusan kewangan, rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran kerajaan.

Pada 24 November apabila disahkan sebagai PM ke-10 Malaysia, maka Anwar perlu mengota dan menunjukkan segala apa yang dikritik dan dipertikaikan beliau selama ini.

Maka tidak hairanlah antara pengumuman awal yang dibuat Anwar sebaik memasuki Putrajaya adalah tidak menerima gaji sebagai Perdana Menteri.

"Saya telah umumkan bahawa langkah pertama untuk memulihkan keyakinan rakyat supaya tidak melihat menteri tanpa kira parti, agama.

"Saya memilih untuk menolak gaji Perdana Menteri,” ujarnya dalam sidang media selepas mengangkat sumpah.

Bagaimanapun tidak dipastikan berapa lama atau tempoh beliau tidak akan mengambil gaji PM. Difahamkan gaji pokok dan elaun seorang Perdana Menteri Malaysia boleh mencecah sehingga RM80,000 sebulan. (Anwar turut pernah menyebut angka ini dalam satu kempennya)

"Saya tidak akan mengambil gaji sebagai perdana menteri kerana saya malu mengambil gaji RM80,000 ketika Orang Asli di kampung yang saya kunjungi sukar mendapatkan RM400 sebulan," kata Anwar sebelum ini.

Selain menolak gaji, Anwar turut menolak daripada menggunakan Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk kegunaan rasmi Perdana Menteri sebelum beliau memasuki pejabat.

Difahamkan Mercedes S600 boleh mencecah harga antara RM1.3 juta hingga RM2 juta bergantung kepada spesifikasinya.

Anwar ketika memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra, di sini. - Foto Bernama

Tidak ketinggalan beliau juga menolak daripada pihak kerajaan melakukan ubah suai pejabatnya serta kementerian-kementerian lain.

Malah, dengan janji untuk berjimat cermat beliau turut menekankan mengenai pengecilan saiz kabinet berbanding sebelum ini. Pembentukan saiz kabinet yang besar dikaitkan dengan belanja yang semakin besar.

Pada zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing mempunyai 32 orang menteri.

Sementara sewaktu pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 bulan, beliau memiliki 27 orang menteri dengan penggabungan beberapa kementerian.

Tidak ketinggalan pada Selasa, Anwar mengumumkan satu lagi penegasan yang mungkin menjadi titik tolak besar dalam pengurusan tender dan projek kerajaan.

Dengan tiada lagi projek secara terus atau semua projek mestilah ditender secara terbuka, ia mungkin menyukarkan projek diberi kepada kroni, sanak saudara pada harga tak masuk akal.

Selain, mengurangkan kejadian rasuah yang boleh berlaku apabila ahli politik dan penjawat menerima duit kopi daripada kelulusan projek itu.

Klik di sini untuk terus membaca