SHAH ALAM - Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berpandangan, negara masih belum bersedia untuk melaksanakan subsidi bersasar ekoran tidak mempunyai kerangka dan asas kepada data mikro rakyat terutamanya golongan sasar. Beliau... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berpandangan, negara masih belum bersedia untuk melaksanakan subsidi bersasar ekoran tidak mempunyai kerangka dan asas kepada data mikro rakyat terutamanya golongan sasar.

Beliau menjelaskan, data terperinci seperti jumlah perbelanjaan, lokasi tempat tinggal serta pendapatan setiap isi rumah diperlukan bagi memastikan subsidi yang dicadangkan dapat disalurkan tepat kepada kepada golongan berkenaan.

"Malaysia ada 33 juta rakyat, namun kita tiada data mikro mengenai mereka walaupun kini dikatakan era 'big data analytics'.

"Sepatutnya ada data untuk setiap isu rumah, bukan sahaja data tentang nombor telefon tetapi berapa pendapatan, tempat tinggal, berapa dan apa dibelanja, semua ini diperlukan agar dapat dikenal pasti siapa yang memerlukan dan paling penting, bagaimana nak salurkan bantuan.

"Kita tidak mahu bagi bantuan seperti di Amerika Syarikat yang beri stem makanan, (tetapi) kita nak masukkan (bantuan) melalui akaun digital dan mereka boleh gunakan menerusi telefon bimbit misalnya. Ini masih menjadi satu cabaran yang perlu diatasi," katanya pada program Sinar Live bertajuk 'Pengaruh Anwar dan kesan ekonomi' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Turut diundang menjadi panelis adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof manakala Fahiz Ariff bertindak sebagai hos.

Program Sinar Live bertajuk 'Pengaruh Anwar dan Kesan Ekonomi' menampilkan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof (kiri) bersama hos, Fahiz Ariff yang berlangsung di auditorium Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - Foto Sinar Harian RAFEQ REDZUAN

Dalam pada itu Barjoyai berpandangan, tempoh dua minggu yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada agensi kerajaan untuk menggubal pelaksanaan subsidi bersasar harus dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mengemukakan cadangan pertama yang boleh dilaksanakan.

"Kita sudah ada jawatankuasa khas bagi memantau kos sara hidup, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan sebagainya. Ini bermakna dari segi makanisme, kita telah cuba banyak (cara) tetapi bagaimana nak memastikan semua orang dapat faedah seperti yang dijangkakan.

"Saya tidak mengharapakan semua jabatan kerajaan boleh mengemukakan satu kaedah penyelesaian, setidaknya mereka dapat mengenal pasti apa yang perlu dilakukan, apa infrastruktur yang perlu disediakan (serta) bagaimana reformasi boleh dilakukan keatas semua jawatankuasa dan institusi ini," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca