SEMINGGU selepas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, tumpuan lebih 32 juta rakyat Malaysia kini terarah kepada siapa yang bakal membarisi kabinetnya. Diketahui bahawa janji Anwar adalah untuk mengecilkan saiz... Klik di sini untuk terus membaca

SEMINGGU selepas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, tumpuan lebih 32 juta rakyat Malaysia kini terarah kepada siapa yang bakal membarisi kabinetnya.

Diketahui bahawa janji Anwar adalah untuk mengecilkan saiz kabinet kepada 25 orang berbanding kerajaan pimpinan terdahulu bagi mengurangkan perbelanjaan negara.

Pada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, masing-masing mempunyai 32 orang menteri.

Sementara sewaktu pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 bulan, beliau memiliki 27 orang menteri dengan penggabungan beberapa kementerian.

Kini timbul persoalan, mampukah hasrat Anwar terlaksana dan apa mekanisme terbaik untuk menjadikannya satu realiti.

Hal ini kerana Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu perlu berlaku adil terhadap Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan parti-parti kecil lain yang menyokong PH ketika ini.

ANIS

Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi mengakui, Anwar berdepan situasi sulit bagi membentuk kabinet bersaiz kecil apabila terpaksa mengambil kira penglibatan pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Bagi membolehkan pembentukan saiz kabinet kecil tercapai, Anwar perlu fokus terhadap rundingan dengan ketua parti-parti bagi mempersetujui kuota jawatan menteri dan kementerian yang diperuntukkan bagi setiap parti.

"Sebagai contoh, sekiranya DAP bersetuju untuk tidak dilantik bagi sebarang jawatan kementerian, kuota PH boleh diberikan kepada parti-parti lain sekali gus memudahkan pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan ini,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Hari ini juga bertiup kencang spekulasi mengatakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dijangka mengumumkan barisan kabinet baharu Kerajaan Perpaduan sebelum Jumaat.

Ini berikutan hantaran di akaun Facebook Istana Negara pada Selasa berserta beberapa keping gambar memaparkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Ahli Parlimen Tambun itu.

Mengulas lanjut, Anis Anwar berkata, dengan pengenalan Akta Anti Lompat Parti di mana ahli-ahli Dewan Rakyat akan bertindak secara kolektif sebagai blok parti berbanding secara individu sebelum ini, mungkin akan dapat memberi sedikit kelebihan kepada Anwar.

Anwar pada Selasa memberi tempoh dua minggu kepada agensi kerajaan untuk menggubal pelaksanaan subsidi bersasar. - Foto Bernama

Menurutnya, antara punca kabinet Muhyiddin dan Ismail Sabri sebelum ini bersaiz besar adalah kerana kedua-dua pemimpin itu perlu melayani ahli Parlimen secara individu bagi mengelak risiko sokongan ditarik.

"Dengan Akta Anti Lompat Parti, ahli Parlimen tidak lagi boleh bertindak secara individu dan sewenang-wenang menarik sokongan terhadap perdana menteri, ini kerana ia bercanggah dengan ketetapan parti selain berisiko untuk kehilangan kerusi.

"Dalam erti kata lain, Perdana Menteri sudah tidak perlu melayani ahli Parlimen seorang demi seorang untuk jawatan dalam kabinet, sebaliknya hanya perlu berunding dengan ketua parti dan ahli Parlimen akan menurut keputusan ketua parti,” katanya lagi.

Menyentuh pula tentang mekanisme terbaik untuk Perdana Menteri mengagihkan kuota kerusi kementerian bagi setiap parti, Anis Anwar berpandangan ia boleh dilakukan menerusi kaedah perkadaran.

"Setiap parti boleh diberikan jumlah kerusi menteri mengikut peratusan perwakilan mereka dalam blok kerajaan.

"Namun sekiranya Anwar masih gagal mencapai kesepakatan dari setiap parti, beliau boleh saja mengekalkan jumlah kementerian seperti sedia ada tetapi dengan mengurangkan separuh gaji menteri.

"Dengan mekanisme ini, Anwar mampu mengekalkan 70 ahli kabinet Menteri dan Timbalan Menteri dengan perbelanjaan yang bersamaan dengan 35 ahli kabinet,” jelasnya.

Menanti debaran siapa yang bakal mengisi Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Anis Anwar tidak melihat soal kabinet baharu Kerajaan Perpaduan dikatakan bakal mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri sebagai satu masalah terhadap pembentukan kabinet bersaiz kecil.

"Tidak menjadi masalah kerana orang sama boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri dan juga memegang portfolio kementerian," katanya lagi.

Ditanya kementerian kritikal perlu ada dalam kabinet Kerajaan Perpaduan ini, Anis Anwar berkata, mengambil kira pelbagai isu negara yang mendesak penyelesaian segera, sewajarnya kementerian sedia ada dikekalkan tetapi dengan penambahbaikan.

Katanya lagi, perubahan terhadap kementerian tidak boleh dilakukan secara drastik khususnya dari peringkat struktural.

"Perubahan drastik akan mengakibatkan implikasi kos dan kesan terhadap perjalanan urus tadbir dan bidang tugas.

"Selain itu, perubahan struktur kementerian secara kerap juga akan meletakkan penjawat awam dalam keadaan yang sukar dan keliru. Mereka perlu mengemas kini bidang tugas dan prosedur kerja mereka bagi setiap perubahan yang berlaku.

"Akhirnya, tujuan untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih efektif akan menjadi sebaliknya,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca