SHAH ALAM - Pada hari keempat menerajui negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada agensi kerajaan berkaitan untuk menggubal pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan dapat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pada hari keempat menerajui negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada agensi kerajaan berkaitan untuk menggubal pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan dapat menikmatinya dan pada masa sama mengurangkan beban kerajaan.

Persoalannya, bolehkah perkara itu dilakukan?

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, sudah tiba masanya subsidi bersasar dilaksanakan untuk memastikan hanya rakyat yang benar-benar layak menerima bantuan tersebut.

Syed Agil

"Subsidi bersasar ini akan memberikan lebih banyak imbuhan kepada golongan sasaran untuk memperbaiki taraf hidup.

"Jika kita bandingkan dengan golongan T20, mereka dah berupaya untuk membeli dan sepatutnya tidak dapat subsidi lagi daripada kerajaan,” katanya pada Rabu.

Menurutnya, Anwar perlu memastikan subsidi bersasar itu dapat direalisasikan dengan segera terutama dalam mempersiapkan rakyat menghadapi kemelesetan ekonomi tahun depan.

"Subsidi ini juga seharusnya tidak diberikan dalam bentuk tunai, sebaliknya pengelasan harga barang runcit, barangan keperluan dan sebagainya,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berkata, langkah memperkenalkan subsidi bersasar adalah terpuji namun perlu mengatasi beberapa perkara agar ia sampai kepada golongan sasar.

Awang Azman

"Tumpuan bukan sahaja perlu diberikan kepada B40 yang mengalami kos sara hidup yang tinggi tetapi juga menumpukan kepada golongan M40 yang turut terkesan.

"Jadi, mekanisme dan penilaian golongan sasaran itu perlu diberikan penekanan khusus,” jelas beliau.


KRONOLOGI ISU SUBSIDI BERSASAR


3 Februari 2017

Kerajaan akan mengguna pakai dua pendekatan baharu dalam mendekati rakyat iaitu subsidi bersasar dan interaksi tanpa protokol, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

28 November 2018

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mempertimbangkan mengadakan dry run atau ujian di beberapa negeri sebelum pelaksanaan mekanisme subsidi petrol bersasar sepenuhnya, kata Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

18 Julai 2022

Mekanisme sesuai bagi pelaksanaan subsidi bersasar sedang dirangka untuk memastikan peruntukan kerajaan dinikmati mereka yang benar-benar berhak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

30 Julai 2022

Pelaksanaan subsidi bersasar dijangka dapat memberi penjimatan sehingga RM20 bilion setahun kepada kerajaan, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

8 Ogos 2022

Keputusan memperkenalkan subsidi bersasar hanya akan dibuat setelah keadaan ekonomi mengizinkan iaitu apabila kadar inflasi dapat dikawal dengan baik, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

27 November 2022

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beri tempoh dua minggu untuk kementerian berkaitan menyiapkan kertas kerja berhubung pelbagai isu melibatkan subsidi untuk rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca