SHAH ALAM - Subsidi boleh dirasionalisasikan semula apabila gaji dan upah rakyat Malaysia kembali meningkat berbanding kenaikan inflasi. Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli berkata, pemberian subsidi menerusi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Subsidi boleh dirasionalisasikan semula apabila gaji dan upah rakyat Malaysia kembali meningkat berbanding kenaikan inflasi.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli berkata, pemberian subsidi menerusi mekanisme itu mampu mengekang kenaikan harga barang yang tidak terkawal serta mengelakkan kesan jangka panjang terhadap prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Pembukaan ekonomi kita agak lambat. Oleh itu, pertumbuhan KDNK tidak tumbuh dengan baik seperti yang sepatutnya disebabkan penularan pandemik Covid-19.

"Sebab itu kerajaan perlu pastikan pertumbuhan KDNK 2022 adalah yang terbaik sejak pandemik. Jika tidak, akan ada kesan jangka panjang terhadap KDNK dan kestabilan sosial.

"Apabila negara dilanda pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, gaji rakyat Malaysia secara agregat telah turun disebabkan kadar pengangguran yang tinggi.

"Apabila kadar pengangguran turun, harga barangan akan naik. Inflasi dunia memudaratkan lagi masalah ini apabila harga barangan naik lebih tinggi daripada kenaikan gaji dan upah, ini bermaksud kerajaan perlu memberikan subsidi yang tinggi supaya kenaikan harga masih terkawal,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun ujarnya, kerajaan perlu memperincikan dan menyediakan mekanisme yang jelas sebelum pelaksanaan subsidi bersasar.

Jelas beliau, subsidi bersasar juga bermakna harga barangan akan terdiri daripada harga pasaran sebenar dan yang disubsidi.

"Apabila melibatkan dua peringkat harga yang berbeza, pengguna boleh salah guna produk bersubsidi untuk kepentingan sendiri. Ini mungkin menyukarkan pentadbiran kerajaan kerana kita perlu pastikan siapa golongan yang layak menerimanya.

"Misalnya nak beri subsidi kepada golongan berpendapatan rendah (B40), kita perlu kenal pasti siapa dan di mana tempat tinggal mereka, golongan sederhana M40 yang bekerja di bandar besar juga mungkin ada masalah kos sara hidup dan memerlukan subsidi. Takrif pendapatan isi rumah pun ada masalahnya tersendiri.

"Idea subsidi bersasar ini masih tidak jelas sejak pentadbiran sebelum ini lagi. Kita tidak seharusnya bincang perkara ini melalui lensa 'kaya lawan miskin' dan sebaliknya. Mungkin kita perlu membincangkan lagi mekanisme yang paling sesuai untuk laksanakan perkara ini,” katanya.

Carta menunjukkan anggaran agihan penggunaan subsidi petrol tahun 2022.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, subsidi perlu dirasionalisasikan bagi tujuan memfokuskan bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, selain menambah baik perbelanjaan fiskal kerajaan.

Menurutnya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, golongan B40 membelanjakan sekitar RM165 sebulan untuk petrol bersubsidi, manakala M40 dan T20 menggunakan RM350 hingga RM450 sebulan.

"Kebanyakan perbelanjaan bahan api misalnya RON95 banyak diberikan kepada golongan M40 dan T20, maknanya mereka telah menikmati subsidi yang lebih berbanding B40,” katanya.

Kementerian Kewangan sebelum ini dipetik berkata perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi 2022 setakat ini diunjur berjumlah RM77.3 bilion, yang terbesar dalam sejarah negara.

Unjuran itu meliputi subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) berjumlah RM37.3 bilion; minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion).Tambah Muhammad Daaniyall, subsidi bersasar itu mampu memberikan penjimatan terhadap perbelanjaan kerajaan.

"Penjimatan itu boleh disalurkan semula kepada ekonomi terutama peniaga dan pengeluar agar mereka dapat mengekalkan proses pengeluaran dan menghasilkan produk dengan harga kompetitif untuk pasaran,” ujarnya.

Bekas timbalan menteri bimbang wujud kelompongan

Yamani Hafez Musa

Sementara itu, Bekas Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Yamani Hafez Musa menyifatkan pelaksanaan subsidi bersasar boleh menyebabkan kelompongan atau disalahgunakan pihak yang tidak layak.

Beliau berkata, mekanisme untuk melakukan langkah itu juga dilihat agak mencabar namun usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengkaji dan memperhalusinya patut dipuji.

"Langkah melaksanakan mekanisme subsidi bersasar ini agak mencabar. Kita risau jika ada kelompongan atau disalahgunakan mereka yang tidak layak.

"Oleh itu, kita minta tempoh enam bulan untuk lihat kaedah subsidi ini disalurkan dengan lancar. Saya fikir Perdana Menteri mahu mengkaji itu bagus sebab sekarang ini pun idea sedia ada boleh ditambah baik.

"Namun jika Anwar kata 'dua langkah' terus jadi, itu perlu lihat dari segi kemampuan kerajaan untuk meneruskan subsidi secara keseluruhan,” katanya.

Tambah Yamani, subsidi ini lebih menumpukan kepada orang yang betul-betul layak agar ia tidak menjadi inisiatif bantuan yang tidak adil.

"Kita mahu ia saksama. Sekarang ini fokusnya adalah memberi semua orang manfaat termasuk mereka yang mampu,” ujarnya.

Pada 27 November lalu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan tempoh selama dua minggu kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji dan melihat implikasi jika subsidi bersasar dilaksanakan melibatkan beberapa keperluan utama rakyat negara ini.

Menurutnya, buat masa ini beberapa subsidi yang dilaksanakan seperti minyak dan tarif elektrik dimanfaatkan oleh semua rakyat termasuk golongan kaya dan industri besar.

Justeru, jawatankuasa berkenaan akan berbincang dengan pihak industri, sektor swasta dan pelabur yang berminat supaya mereka faham bahawa subsidi yang dilaksanakan kini bertujuan untuk meringankan beban rakyat.


KOS SUBSIDI NEGARA


Petrol

- RM37.3 bilion

Minyak masak

- RM4 bilion

Tepung & elektrik

- RM9.7 bilion

Klik di sini untuk terus membaca