SANTIAGO - Ia mungkin salah satu tempat paling kering di muka bumi, apatah lagi landskap asing dan ‘kejam’ menjadikannya sukar untuk didiami oleh manusia.
Namun, Gurun Atacama di utara Chile adalah ekosistem unik dan rapuh dengan pakar menyatakan ia sedang diancam oleh timbunan sampah yang dibuang dari serata dunia.
Saban tahun, ‘gunung-gunung’ baharu akan terbentuk di Atacama hasil lambakan puluhan ribu baju dan pakaian yang tidak terjual dari benua Asia, Eropah dan Amerika.
Malah, gurun itu menjadi ‘persinggahan terakhir’ ribuan kasut, tayar kenderaan dan kereta yang dilupuskan, sekali gus menyebabkan panorama Atacama kelihatan seperti babak filem Mad Max.
"Kami bukan lagi menjadi tempat pembuangan sampah tempatan, malah sudah bertukar menjadi zon pembuangan sisa pepejal dunia.
"Situasi di sini semakin buruk,” kata Datuk Bandar Alto Hospicio, Patricio Ferreira.
Selain menjadi tapak pelupusan sampah, persekitaran Atacama dengan dataran garam yang luas juga telah berubah gara-gara aktiviti perlombongan tembaga serta litium yang dijalankan secara intensif dan tidak terkawal.
Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Endemic Roots berkata, kebanyakan orang melihat Atacama sebagai kawasan tandus yang tidak membawa apa-apa makna.
"Gurun Atacama sejak sekian lama menjadi mangsa dan dieksploitasi untuk kepentingan serta keuntungan pihak tertentu,” kata ketua Endemic Roots, Carmen Serrano.
Kurang kesedaran global
Chile telah lama menjadi hab pakaian terpakai dan tidak terjual dari seluruh dunia.
Didorong oleh selera penduduk dunia yang tidak pernah puas terhadap fesyen menyaksikan lebih 46,000 tan pakaian terpakai tiba di pelabuhan zon perdagangan bebas Iquique di Alto Hospicio setiap tahun.
Namun hanya sekitar 20,000 tan saja yang terjual, menyebabkan lebihan 39,000 tan pakaian berakhir di Atacama kerana tiada pihak mahu menuntut atau bertanggungjawab ke atas lebihan pakaian-pakaian tersebut.
Lebih parah, lambakan pakaian dibuang di Atacama mengandungi bahan kimia dan mengambil masa sehingga 200 tahun untuk terbiodegradasi.
Aktivis alam sekitar berkata, situasi itu mencemarkan tanah, udara dan air bawah tanah.
Malah, timbunan pakaian terpakai ada kalanya terbakar dengan sendiri.
"Baju-baju ini dibuat daripada bahan mudah terbakar dan ia menghasilkan asap toksik.
"Perkara ini mengundang bahaya kepada kesihatan orang ramai,” kata peguam dan aktivis, Paulin Silva.
Atas kesedaran itu, beliau telah memfailkan aduan di mahkamah mengenai kerosakan yang disebabkan timbunan sampah dan puluhan ribu pakaian yang dibuang di Atacama. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca