DALAM dua hari lepas, muncul suara yang cuba meyakinkan orang ramai bahawa kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) kerana beliau saja yang boleh memastikan keberlangsungan kerajaan baharu dengan sokongan 30 ahli Parlimen BN.
Kalau hujah ini benar, maka kerajaan Anwar bakal menghadapi dua cabaran besar berkaitan dengan nasib Zahid sendiri.
Pertama, UMNO akan mengadakan pemilihan parti dalam masa enam bulan dan tiada jaminan Zahid akan dapat mempertahankan jawatan presidennya.
Kedua, mungkin sebelum atau selepas pemilihan parti UMNO, mahkamah akan membuat keputusan atas 47 pendakwaan jenayah pecah perintah, rasuah dan pengubahan wang haram atas Zahid melibatkan sejumlah RM 124 juta kepunyaan Yayasan Akalbudi.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Zahid sendiri mengakui kekhuatiran tentang kes mahkamahnya kalau Barisan Nasional (BN) tidak menang besar.
Kalau keberlangsungan kerajaan Anwar bergantung kepada Zahid terus menjadi Presiden UMNO yang seterusnya memerlukan pelantikan beliau sebagai TPM, adakah ini bermaksud Zahid perlu dijaminkan kemenangannya dalam pemilihan parti dengan kuasa dan sumber TPM, dan seterusnya dijaminkan pembebasannya dalam kes Akalbudi?
Kalau perlantikan Zahid sebagai TPM adalah ‘ubat pahit yang diperlukan’ seperti yang dibela oleh calon bebas di Parlimen Batu, Tian Chua, apakah penggunaan sumber kerajaan untuk kempen pemilihan parti dan pengguguran dakwaan oleh Jabatan Peguam Negara juga mungkin jadi ubat tambahan?
Jurubela pelantikan Zahid sebagai TPM mungkin atau sengaja terlepas pandang, sekalipun Zahid berjaya memenangi pemilihan parti dan melepaskan dirinya daripada mahkamah, kerajaan baharu tidak akan dapat melepaskan diri daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk enam negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Tertinggal zaman juga fikirkan kelebihan penyandang boleh menjamin kemenangan. Terdapat ramai pengundi yang sedia menghukum ahli dan parti politik yang tidak beramanah. Juga ramai akar-umbi UMNO yang masih marah atas kekalahan parti dalam PRU15 dan inginkan pimpinan yang lebih bersih dan kuat.
Jika kedua-dua BN dan PH kalah teruk di PRN, maka kesannya bagaikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang membawa keretakan Kerajaan PH 1.0.
Pertimbangan yang betul-betul realis seharusnya bersasarkan kepada dua: pertama, pengukuhan konvensi pembentukan kerajaan atas rundingan antara parti dan bukan pengutipan surat akuan bersumpah.
Kedua, penawaran insentif yang cukup untuk UMNO setia bersama dalam kerajaan campuran pimpinan PH sehingga PRU16.
Untuk pertimbangan pertama, PH harus mementeraikan perjanjian bertulis dan diumumkan dengan semua rakan-rakan kongsi kerajaannya, bukan saja BN, tetapi juga Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan dan parti lain, sepertimana Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan PH.
Untuk pertimbangan kedua, UMNO perlu melihat masa depannya dalam merebut kembali kerusi daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bukan cuba merampas kubu kuat PH.
Ini seharusnya jelas untuk kebanyakan pemimpin UMNO. Sekalipun mereka pernah menentang Anwar dan PH, kebanyakan akan menyokong kerajaan PH sekiranya ia menjaminkan masa depan lebih baik untuk UMNO.
Penolakan atas pelantikan Zahid sebagai TPM, daripada mantan Menteri UMNO Tan Sri Rafidah Aziz; mantan strategis Tun Dr Mahathir, Datuk Kadir Jasin, sampailah badan masyarakat sivil seperti Bersih, bukanlah buta dengan realiti.
Sebaliknya mereka lebih cakna dengan realiti baharu bahawa tsunami sekarang boleh berlaku pada bila-bila masa dan ke arah mana-mana saja.
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway.
Klik di sini untuk terus membaca