SEMASA saya menulis lirik lagu Malaysia Bersih yang kemudiannya lagu tersebut dipilih menjadi lagu tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun 2019, saya mulakan lagu itu dengan menyatakan harapan untuk melihat Malaysia terus berjaya.
Saya pasti itulah hasrat dan harapan semua rakyat Malaysia.
Bukan setakat berjaya sahaja, malah harapan kita juga moga negara ini kekal merdeka. Amanah bangsa kita pikul bersama untuk jadikan rakyat Malaysia hidup aman dan bahagia.
Kita harus ingat bahawa asal budaya kita mementingkan budi pekerti mulia serta menjadikan amanah dan kejujuran sebagai amalan kita.
Budaya dan amalan hidup rakyat inilah yang perlu kita jaga kerana legasinya sangat bermakna yang boleh menjadikan kita bangsa dihormati di dunia.
Kini setelah hampir 12 hari rakyat di negara ini selesai menjalankan tanggungjawab keluar mengundi dan seorang Perdana Menteri telah pun dilantik, masanya sudah tiba untuk kita bina semula negara tercinta ini.
Kita harus bina semula dengan mengambil kira permasalahan ekonomi yang dihadapi rakyat.
Kos sara hidup yang semakin meruncing. Peluang pekerjaan yang membuat ramai daripada kita jadi pusing. Nilai mata wang kita terus membuat kita pening.
Pun begitu kita harus bersyukur dengan beberapa petanda awal yang baik untuk negara.
Pasaran saham memberi reaksi yang positif setelah Yang di-Pertuan Agong melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 negara.
Tahniah saya ucapkan kepada Perdana Menteri. Moga terus diberi kesihatan, ketabahan dan kebijaksanaan untuk menggalas tanggungjawab memimpin Malaysia.
Dalam kenyataan media yang pertama sebagai Perdana Menteri, beliau beriltizam untuk terus melawan rasuah serta penyelewengan secara serius dan habis-habisan dengan menggerakkan agenda reformasi tata kelola pemerintahan.
Usaha dan komitmen ini harus kita puji dan beri sokongan serta bantuan. Kita semua harus satukan hati dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa demi ibu pertiwi yang kita cintai.
Mustahil untuk kita membaik pulih ekonomi negara sekiranya rasuah terus bermaharajalela.
Tidak mungkin kita dapat memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam sekiranya ada penyelewengan.
Mana mungkin rakyat dapat dibantu kalau masih ada ketirisan. Perpaduan negara akan terus terancam sekiranya sistem governans yang sepatutnya menentukan ketelusan dan akauntabiliti dalam ekuiti semua bangsa disalahgunakan.
Untuk Malaysia terus disanjungi, keutuhan jiwa rakyatnya dengan berpaksi kepada integriti yang tersemat di dalam hati sanubari setiap seorang daripada kita harus diterjemahkan menjadi amalan serta pakaian harian kita semua.
Ini bukan lagi masanya untuk kita beretorik dan berpolitik. Ini juga bukan masanya untuk kita berkempen. Ini adalah masa untuk menjadikan Malaysia hebat semula.
Untuk kita capai semua ini, rakyat harus cepat menepis sebarang dakyah dan usaha mana-mana pihak yang terus memainkan sentimen perkauman dalam negara untuk kepentingan diri mereka dan puak-puak mereka.
Pada saya ini adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab. Mereka sanggup memporak-perandakan negara hanya untuk memenuhi nafsu peribadi.
Sebab itu semua rakyat yang cintakan keamanan dan kemakmuran harus menolak dakyah bahaya ini.
Keselamatan dan keamanan negara harus diberi keutamaan oleh semua. Negara yang kucar kacir dan dikuasai oleh perasuah tidak akan membawa pelabur asing datang ke negara kita.
Sebab itu kita harus bersatu hati dan membulatkan tekad, demi masa depan anak cucu kita, tidak kira agama dan bangsa, kita semua harus bekerjasama.
Media sosial hari ini memberi ruang kepada semua menjadi pemberita dan penganalisis politik negara. Semua pihak mempunyai pendapat, kita harus menghormati.
Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tetapi perdebatan di media sosial haruslah berpaksikan fakta dan tidak terlalu emosi.
Kita harus bertanggungjawab atas setiap apa yang kita komentarkan. Asalkan jangan sampai ia boleh menimbulkan kemarahan antara kaum, atau menghina mana-mana pihak.
Kematangan fikiran kita semua diperlukan pada waktu ini. Semua rakyat Malaysia perlu berjiwa besar demi kelangsungan dan kebaikan negara dan rakyat jelata di dalamnya.
Ketepikan apa juga persengketaan dan perbalahan daripada sudut ideologi politik.
Ini masanya untuk kita bersama dalam satu ideologi untuk memakmurkan dan mensejahterakan Malaysia.
Semoga harapan dan usaha kita ini diberkati Yang Maha Esa.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca