SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan tidak timbul isu beliau dilantik ke jawatan kabinet atau tidak kerana ia adalah hak prerogatif Perdana Menteri.
Selain itu katanya, keputusan juga dibuat berdasarkan perbincangan dalaman parti.
"Saya rasa ini isu akademik (terima tawaran jawatan kabinet) sebab tidak ada tawaran. Jadi, jangan bincangkan isu tawaran kerana akhirnya saya akan rujuk keputusan parti.
"Dalam isu dicalonkan semula di Muar pun, saya biarkan parti yang putuskan. Kalau parti kata tak boleh, saya tak akan terima untuk bertanding di Muar tapi dibenarkan bertanding dan ‘kontrak’ di Muar akhirnya diperbaharui.
"Berkenaan isu dilantik ke kabinet atau tidak, saya kata pertama, itu adalah prerogatif Perdana Menteri dan kedua, ia adalah berdasarkan perbincangan dalaman parti.
"Tapi, prinsip saya tak akan tergadai iaitu daripada awal lagi saya katakan, jangan gugurkan (pendakwaan di mahkamah). Biar proses undang-undang itu berjalan kerana akhirnya kita ingin membina Malaysia yang bersih, beramanah dan berintegriti,” katanya ketika menjadi tetamu Sinar Live yang disiar secara langsung melalui platform media sosial Sinar Harian pada Khamis.
Ditanya tentang desakan sesetengah pihak agar kabinet baharu dielakkan daripada dianggotai beberapa pemimpin yang terpalit dengan kes mahkamah, beliau menjelaskan, ia adalah atas budi bicara Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Syed Saddiq menegaskan, kesnya akan terus berjalan dan tidak akan digugurkan kerana beliau ingin membersihkan namanya di dalam mahkamah.
"Bagi yang mengikuti kes saya, ia bukan berkenaan salah guna kuasa sebagai menteri, jawatan atau makan duit rakyat.
"Ia berkenaan prosedur operasi standard (SOP) pendanaan parti politik, yang mana parti Bersatu juga membuang saya kerana tidak ingin menyokong gerakan Langkah Sheraton. Ini adalah pendakwaan politik tapi rakyat juga menilai,” ujar beliau.
Tambahnya, sistem demokrasi perlu kalis rasuah, pemusatan kuasa perlu dikurangkan manakala institusi kehakiman dan parlimen perlu diperkasakan supaya ada sistem semak dan imbang.