SHAH ALAM - Pada saat nama Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli disebut-sebut calon terbaik menggalas tugasan Menteri Kewangan atau Hal Ehwal Ekonomi, seorang pemimpin parti itu berpandangan Ahli Parlimen Pandan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pada saat nama Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli disebut-sebut calon terbaik menggalas tugasan Menteri Kewangan atau Hal Ehwal Ekonomi, seorang pemimpin parti itu berpandangan Ahli Parlimen Pandan berkenaan lebih sesuai memegang jawatan Menteri Pendidikan.

Pengerusi Pertubuhan Generasi Keadilan Malaysia, Yusmadi Yusoff berkata, cadangan pelantikan Rafizi memegang jawatan menteri kanan itu adalah wajar kerana beliau merupakan seorang ikon pendidikan berlatarbelakangkan seorang anak desa berjaya daripada keluarga berpendapatan rendah.

Jelas bekas Ahli Parlimen Balik Pulau itu, Rafizi mempunyai kemampuan besar mentransformasikan bidang pendidikan negara ke satu mercu tanda lebih tinggi, lebih-lebih lagi portfolio itu juga dijangka menjadi penentu kejayaan Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain bidang ekonomi.

"Saya fikir Rafizi lebih sesuai menjadi Menteri Pendidikan. Beliau mempunyai banyak idea mentransformasikan bidang pendidikan negara yang kini berdepan pelbagai masalah termasuk isu generasi pelajar keciciran selama dua tahun susulan pandemik Covid-19.

"Sebagai seorang anak desa berjaya, beliau memahami keperluan anak-anak penduduk luar bandar yang hendak berjaya dalam bidang pendidikan. Rafizi adalah calon terbaik menjaga portfolio sangat mencabar itu dan saya yakin beliau berkemampuan menjadi Bapa Reformasi Pendidikan suatu hari nanti," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

YUSMADI

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Rafizi yang disebut-sebut bakal menggalas portfolio Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kabinet Kerajaan Perpaduan yang bakal diumumkan senarainya oleh Anwar dalam masa terdekat.

Sebelum itu, ramai pihak menjangkakan Anwar sendiri akan menggalas jawatan Menteri Kewangan sambil dibantu bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam senarai pembentukan kabinet kerajaan baharu ini.

Bagi jawatan Menteri Pendidikan, nama-nama besar seperti Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad disebut-sebut sebagai calon, walaupun spekulasi kuat mengatakan PH sedang mempertimbangkan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Mengulas lanjut, Yusmadi turut berkeyakinan Rafizi mampu mengikut jejak langkah Anwar dengan memperkenalkan pelbagai dasar dan polisi baharu dalam sektor pendidikan negara bagi menjadikannya lebih mampan dan berdaya saing.

Ditambah dengan bantuan daripada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang lantang memperjuangkan program pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Rafizi mampu menjamin pelaksanaan silibus pendidikan inklusif kepada semua kaum.

ISHAM

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berpandangan saiz kabinet Kerajaan Perpaduan tidak wajar dikecilkan sehingga mencapai angka kurang daripada 25 portfolio.

Jelasnya, hal ini kerana langkah penggabungan terlalu banyak kementerian diuruskan seorang menteri dibimbangi akan memberi kuasa budi bicara yang terlalu besar kepada individu berkenaan.

"Hakikatnya, cadangan mengecilkan saiz kabinet kerajaan bukan sekadar isu mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan dan mempertingkatkan efisiensi menteri semata-mata.

"Tetapi kita perlu melihat dari aspek tidak memberikan kuasa budi bicara terlalu besar kepada seorang menteri dalam menguruskan banyak kementerian digabungkan. Saya bimbang amalan semak dan imbang dalam kerajaan tidak dapat dilaksanakan lebih efektif," tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca