SETELAH lebih seminggu Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditubuhkan, tumpuan 32 juta rakyat Malaysia kini terarah kepada bentuk Jemaah Menteri baharu yang dijangka dilantik awal bulan ini. Dengan... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH lebih seminggu Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditubuhkan, tumpuan 32 juta rakyat Malaysia kini terarah kepada bentuk Jemaah Menteri baharu yang dijangka dilantik awal bulan ini.

Dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengulangi komitmen memastikan pembentukan kabinet baharu adalah bersaiz kecil dan tidak berasaskan 'ganjaran politik', ramai pemerhati meramalkan jumlah portfolio kementerian bakal diwujudkan sekitar 20 hingga 25 buah sahaja.

Angka itu juga dijangka lebih relevan berbanding jumlah portfolio kementerian diwujudkan bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Keluarga Malaysia yang melibatkan 31 menteri, manakala kerajaan PH pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebanyak 27.

Lebih menarik, usaha pengecilan saiz kabinet Kerajaan Perpaduan ini dilihat lebih mencabar apabila Anwar dan PH menjanjikan pelantikan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada Semenanjung dan seorang mewakili Sabah dan Sarawak.

Berikutan itu, Sinar Premium cuba menyelami jenis kementerian sedia ada dijangka akan kekal berdiri sendiri, selain bentuk-bentuk kementerian yang sesuai digabungkan bagi mencapai angka magis 25 portfolio kementerian ideal.

Lima portfolio menteri kanan

Memandangkan jawatan TPM memerlukan dua individu dilantik itu memegang dua jawatan kabinet berbeza, beberapa penganalisis politik berpandangan sejumlah empat portfolio kementerian bertaraf kanan akan diwujudkan membabitkan kewangan, pertahanan, pendidikan dan dalam negeri (KDN).

Bagaimanapun, satu lagi portfolio kementerian kanan yang signifikan iaitu hal ehwal ekonomi dijangka menyaksikan portfolio itu yang pernah diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sebelum ini (Ekonomi), bakal digabungkan dengan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Selain itu, terdapat 11 lagi portfolio kementerian diunjurkan bakal berdiri sendiri seperti Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Pembangunan Luar Bandar; Kesihatan; Pengangkutan; Kementerian Luar; Kementerian Kerja Raya; Sumber Manusia; Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Belia dan Sukan; Wilayah Persekutuan dan Pelancongan.

"Menariknya, Anwar yang berpengalaman sebagai bekas TPM era pentadbiran kerajaan BN dahulu, pastinya akan mengurangkan jumlah kementerian di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada tiga sahaja iaitu Hal Ehwal Borneo, Hal Ehwal Agama serta Parlimen dan Undang-undang.

"Angka menteri di bawah JPM sewaktu kerajaan PN dan Keluarga Malaysia mencecah sehingga lima portfolio dan dilihat suatu bentuk pembaziran serta tidak wajar," ujar Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar pada Khamis.

Empat portfolio digabung

Bagi cadangan portfolio kementerian berkemungkinan digabungkan atas faktor pertindihan peranan atau inisiatif mempertingkatkan kecekapan menteri dilantik kelak, Hisommudin melihat langkah mewujudkan semula kementerian tenaga, teknologi, sains, perubahan iklim dan alam sekitar sewaktu kerajaan PH 1.0 adalah amat relevan.

Jelasnya, hal ini kerana keputusan memecahkan peranan portfolio kementerian berkenaan kepada tiga portfolio berbeza iaitu sains, teknologi dan inovasi; tenaga dan sumber asli serta air dan alam sekitar sewaktu kerajaan terdahulu dilihat sekadar memenuhi tuntutan pelantikan menteri daripada parti-parti yang membentuk kerajaan.

"Begitu juga dengan kementerian pendidikan dan kementerian pengajian tinggi yang dipisahkan, saya percaya Anwar akan kembali kepada bentuk portfolio asal pernah dipegang beliau sebelum dilantik sebagai TPM pada tahun 1993.

"Selain itu, bagi menangani isu kos sara hidup tinggi, rasionalisasi subsidi dan kenaikan harga barang, saya melihat keperluan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digabungkan.

"Dua kementerian itu sebenarnya sangat signifikan dalam menentukan asas huluan (downstream) dan hiliran (upstream) rantaian pengeluaran makanan dan barangan di negara ini.

"Pada masa sama, portfolio Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sewajarnya kembali diserapkan semula di bawah KPDNHEP," tegas Hisommudin lagi.

Selain cadangan gabungan Kementerian Pertanian dan KPDNHEP, dua lagi kementerian yang perlu digabungkan adalah wanita dan perpaduan.

Bagaimanapun, seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi cadangan pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan yang lebih radikal dan tidak berpandukan aras kewujudan portfolio sedia ada.

Bagi Pengerusi Pertubuhan Generasi Keadilan Malaysia, Yusmadi Yusoff, kabinet baharu Anwar tidak sewajarnya terlalu terikat dengan portfolio sedia ada, sebaliknya perlu berani bertranformasi mewujudkan kementerian baharu seiring dengan tuntutan perkembangan semasa.

Sebagai contoh, beliau mencadangkan beberapa kementerian seperti KPDNHEP, MITI, Komunikasi dan Multimedia digabungkan bagi membentuk sebuah kementerian ekonomi digital - platform ekonomi signifikan untuk masa hadapan negara.

"Selain itu, selaras hasrat Anwar mahu mengimbangi aspek karamah manusiawi dan alam sekitar, saya mencadangkan sebuah Kementerian Kemampanan dibentuk bagi menangani isu melangkaui kelestarian alam sekitar, sumber tenaga diperbaharui dan keseimbangan ekosistem bagi menguruskan konsep kemampanan negara.

"Saya juga melihat peri pentingnya satu kementerian undang-undang dan hak asasi manusia diwujudkan tanpa perlu diletakkan di bawah JPM. Ia perlu berdiri sendiri.

"Menteri undang-undang bakal dilantik juga tidak perlu lagi ditugaskan menjaga Parlimen kerana urusan itu biarlah diserahkan semula kepada Speaker Dewan Rakyat bagi menjamin kebebasan institusi berkenaan," tegas bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara itu.

CADANGAN SAIZ KABINET IDEAL KERAJAAN PERPADUAN:

Lima portfolio kementerian kanan:

1. Kementerian Kewangan

2. Kementerian Pertahanan

3. Kementerian Pendidikan (gabung dengan Kementerian Pengajian Tinggi),

4. Kementerian Dalam Negeri

5. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (gabung Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di bawah JPM dan MITI)

11 portfolio kementerian berdiri sendiri:

1. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

2. Kementerian Pembangunan Luar Bandar

3. Kementerian Kesihatan

4. Kementerian Pengangkutan

5. Kementerian Luar

6. Kementerian Kerja Raya

7. Kementerian Sumber Manusia

8. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

9. Kementerian Belia dan Sukan

10. Kementerian Wilayah Persekutuan

11. Kementerian Pelancongan

Tiga portfolio di bawah JPM:

1. Menteri Hal Ehwal Borneo

2. Menteri Hal Ehwal Agama

3. Menteri Undang-Undang

Kementerian-kementerian dijangka bergabung:

1. Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar - gabungan tiga portfolio iaitu Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga dan Sumber Asli; serta Air dan Alam Sekitar.

2. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digabungkan bagi membentuk sebuah kementerian menangani kos sara hidup rakyat.

3. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berkemungkinan kembali diserapkan semula di bawah KPDNHEP.

4. Kementerian Wanita, Pembangunan Keluarga dan Perpaduan (Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga bergabung dengan Kementerian Perpaduan).

- Dua cadangan kementerian baharu:

1. Kementerian Kemampanan

2. Kementerian Ekonomi Digital

Klik di sini untuk terus membaca