SHAH ALAM - Keputusan yang dibuat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) adalah perkara lebih penting dan utama berbanding proses pelantikan oleh perdana menteri, kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof. Sehubungan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan yang dibuat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) adalah perkara lebih penting dan utama berbanding proses pelantikan oleh perdana menteri, kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, adalah lebih baik keputusan yang dibuat oleh JAC itu diperketatkan lagi.

"Bagi saya, apa yang lebih penting ialah keputusan JAC itu sendiri. Adakah ia seharusnya mengikat atau hanya sekadar menjadi penasihat, atau syor kepada perdana menteri sahaja? Lebih baik kalau ia diperketatkan.

"Keputusan JAC hendaklah ‘mengikat’ perdana menteri. Apabila disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Raja-Raja, keputusan JAC yang mengambil tempat, bukan keputusan perdana menteri,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohamad Ariff yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, sekiranya melihat kepada formula terkini mengenai pelantikan lima ahli JAC oleh perdana menteri, perkara itu adalah selepas mengambil kira pendapat daripada Majlis Peguam, Majlis Peguam Sarawak dan Majlis Peguam Sabah.

"Di situ ada sedikit perlindungan bahawa perdana menteri tidak mempunyai kuasa sewenang-wenangnya.

"Tetapi kalau kita nak buat perubahan, mungkin boleh jadikan suatu keperluan iaitu antara orang yang akan dilantik itu hendaklah masing-masing seorang daripada Majlis Peguam, Majlis Peguam Sabah dan Majlis Peguam Sarawak.

"Yang dua lagi mungkin diambil dalam kalangan orang-orang yang disebut dalam akta iaitu berwibawa, berintegriti dan sebagainya,” jelas beliau.

Tambahnya, satu institusi atau seseorang yang membuat pemilihan ahli JAC juga perlu ada dengan kawalan-kawalan tertentu.

"Dalam struktur akta ini iaitu JAC, perdana menteri mempunyai tempat. Sekiranya kalau bukan perdana menteri, siapa lagi? Susah juga nak cari satu badan yang bebas,” ujarnya.

Mohamad Ariff juga tidak bersetuju tentang pelantikan ahli JAC dibuat Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

"Saya ingat tidak sesuai. Dari segi penilaian, adakah seorang Yang Berhormat (YB) mempunyai kepakaran sama ada hakim A, hakim B atau hakim C lebih layak. Mereka bukan semestinya membaca penghakiman yang ditulis oleh hakim.

"Isu-isu begini penting, bukan hendak dilihat dari segi pandangan kasar sahaja, tetapi meneliti lebih lanjut tentang kepakaran dan kebolehan mereka sebagai hakimi,” katanya.

Syor Majlis Raja-Raja wajib diperhalusi, disegerakan

Sementara itu, syor Majlis Raja-Raja agar pelantikan lima daripada sembilan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak lagi dibuat oleh Perdana Menteri, wajib diperhalusi dan diangkat secepat mungkin.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, cadangan itu menunjukkan Majlis Raja-Raja sangat prihatin dengan isu pengasingan kuasa.

"Saya sangat bersetuju dan berharap cadangan berkenaan dapat diangkat secepat mungkin khususnya apabila dikongsikan tentang pelantikan hakim. Siap ada cadangan lagi bagaimana ia boleh menjadi adil.

"Sebab itu saya rasakan wajib diperhalusi kerana ia melibatkan reformasi institusi, menunjukkan baginda sangat prihatin dengan isu pengasingan kuasa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menjadi tetamu Sinar Live di Kompleks Karangkraf di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berhubung cadangan tersebut ketika baginda mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Rabu.

Ketika ini, JAC mempunyai sembilan anggota keahlian iaitu empat ahli merupakan hakim yang sedang memegang jawatan terkanan, manakala lima lagi ahlinya dilantik Perdana Menteri.

KRITERIA PEMILIHAN AHLI JAC

Pemilihan calon hendaklah mengambil kira antara lain, kriteria yang berikut:

1. Integriti, kompetensi dan pengalaman.

2. Objektif, tidak berat sebelah, adil dan peribadi moral yang baik.

3. Ketegasan, kebolehan membuat penghakiman tepat pada masanya dan kemahiran yang baik dalam penulisan undang-undang.

4.Kerajinan dan kebolehan untuk menguruskan kes dengan baik.

5. Kesihatan fizikal dan mental.

- Seseorang calon layak bagi pemilihan jika dia memenuhi kehendak di bawah Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan.

- Seseorang yang merupakan hakim atau pesuruhjaya kehakiman yang sedang berkhidmat tidak boleh dilantik jika dia mempunyai tiga penghakiman atau lebih yang belum selesai atau alasan penghakiman yang belum ditulis yang terlewat 60 hari atau lebih dari tarikh penghakiman atau alasan penghakiman itu disifatkan cukup tempoh.

*Sumber: Laman web rasmi

Klik di sini untuk terus membaca