PERKATAAN ‘cerakin’ maksudnya menyelidik atau menyiasat sesuatu perkara, ‘dampak’ pula bermaksud kesan yang ketara sama ada positif atau negatif.
Dua perkataan bahasa Melayu ini mungkin jarang didengar tetapi itulah diksi yang dipilih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu sidang akhbar baru-baru ini, yang membuatkan ramai orang tertanya-tanya maksudnya.
Agak mengagumkan apabila sosok yang sering mempopularkan perkataan-perkataan ‘rare’ ini bukanlah para sasterawan atau profesor bahasa tetapi Anwar sendiri.
Beliau melontarkan kalimat-kalimat yang sedap didengar, satu negara membelek kamus kerananya. Twitter dan TikTok jadi riuh-rendah dengan bermacam-macam ulasan.
Anwar, lulusan Pengajian Melayu daripada Universiti Malaya sebenarnya tidak lagi asing dalam penggunaan istilah-istilah seperti itu.
Sewaktu menjadi menteri dan timbalan perdana menteri suatu masa dahulu, ada sahaja perkataan baharu yang beliau popularkan. Salah satunya ialah ‘wacana’ yang masih sohor sampai sekarang.
Dalam soal bahasa, hanya orang yang rajin membaca boleh ada perbendaharaan kata yang banyak dan bombastik. Dengan membaca, banyak perkataan yang tidak lazim akan ditemui. Istilah-istilah seperti cerakin, madani, hadhari, cakna dan dasawarsa bukan baru digunakan dua tiga hari lepas. Ia sudah ada berpuluh tahun sebelum Putrajaya terbina.
Secara umum, dalam kebanyakan bahasa di dunia, mengingati 1,000 hingga 3,000 perkataan sudah memadai untuk kita sekadar berbual hal-hal yang mudah. Untuk fasih pula, perlukan antara 10,000 hingga 30,000 perkataan, menurut FluentU, platform pembelajaran pelbagai bahasa asing secara online.
Bagaimanapun, jumlah sebenar perkataan yang direkod untuk sesuatu bahasa ibunda pastilah lebih tinggi lagi. Bahasa Inggeris sahaja ada sehingga 65,000 perkataan. Kamus Dewan Edisi Keempat sendiri mempunyai sekitar 82,900 kata tetapi yang digunakan sehari-hari tidak sampai separuh.
Maka tidak hairanlah kalau banyak perkataan tidak kita ketahui atau akan dilupakan selama-lamanya jika tiada usaha mempopularkannya kembali.
Berdasarkan rekod Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), terdapat lebih 7,000 bahasa di dunia sekarang. Dalam kesemua bahasa itu, badan dunia tersebut menjangkakan lebih separuh berisiko lenyap sebelum berakhirnya abad ini.
Bahasa Melayu mungkin tidak akan pupus tetapi beribu-ribu kosa katanya semakin dilupakan kerana tidak digunakan dalam pertuturan harian. Itu belum lagi dialek dan loghat di negeri-negeri di Malaysia yang langsung tidak difahami generasi muda.
Ramai anak muda di Selangor dan Perak misalnya, tidak tahu berbahasa Jawa atau Banjar walaupun ibu bapa mereka berketurunan Jawa dan Banjar tulen.
Di Negeri Sembilan, istilah-istilah klasik dialek ‘nogori’ seperti belolah (berlari), dobush (terlepas), joghan (serik), locun (basah kuyup) dan banyak lagi tinggal generasi lama sahaja yang menuturkannya. Generasi Z bahkan cuma tahu ‘cakap KL’.
Penguasaan bahasa juga adalah salah satu faktor yang menjadikan tokoh-tokoh politik hebat berpidato. Ramai pemimpin dalam sejarah dunia merupakan pemidato bertaraf jagoan. Antaranya Winston Churchill, Nelson Mandela, John F Kennedy dan Adolf Hitler.
Begitu hebatnya, ucapan mereka dikatakan bisa membuatkan rakyat terpegun sehingga terlupa seketika akan perut yang kosong.
Presiden pertama Indonesia, Sukarno contohnya, terkenal dengan pemilihan diksi dan gaya retorikanya. Beliau mempunyai bahasa tubuh, suara khas dan ucapan yang padu serta meyakinkan. Pengaruh pidatonya bahkan melebar ke negara kita.
Menurut cerita, dialog ‘demokrasi terpimpin’ dalam filem Tiga Abdul merupakan sindiran Allahyarham Tan Sri P Ramlee terhadap Sukarno yang memperkenalkan istilah tersebut bagi merujuk kepada gaya pemerintahannya.
Tambahan pula, ketika filem itu dikeluarkan pada tahun 1964, isu konfrontasi Malaysia-Indonesia sedang hangat berlangsung.
Pemidato yang hebat mampu memukau, menaikkan semangat dan mengubah pandangan rakyat. Tinggal lagi, pemimpin yang hebat bukan sekadar pandai bercakap dengan bait-bait yang tersusun indah. Mereka harus menyelami dan merasai denyut nadi rakyat.
* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca