KEBELAKANGAN ini banyak ulasan tentang ramalan 2023 bakal menjadi detik sukar warga dunia. Di Malaysia, rakyat bertukar pandangan membahaskan senario tahun depan. Ada membangkitkan persoalan subsidi sepatutnya dinikmati warga marhaen, turut dikecapi golongan kayangan.
Penulis teringat WhatsApp sahabat lama dari Johor Bahru yang menghantar sekeping gambar warga Singapura sedang mengisi minyak RON95 untuk kenderaan mewahnya. Soalannya cukup ringkas, bagaimana kerajaan boleh mengatasi masalah itu. Subsidi bersasar mesti dinikmati golongan tertentu, bukan golongan kayangan.
Lantaran itu, penulis mencadangkan sudah sampai masanya kerajaan mempunyai sistem Model Bukti Konsep Masa Nyata atau Real-Time Proof-of-Concept Model (RTPCM) bagi membangunkan kepakaran teknologi bersasar tahap tinggi.
Ia boleh dilaksanakan secara Latihan Berasaskan Projek Sebenar atau Real Project-Based Training (RPBT) dan Latihan Kemahiran Tailor-Made atau Tailor-Made Skills Training (TMST). Sebagai permulaan, semua pegawai kerajaan di kementerian tertentu dilibatkan dalam program mod penyelidikan gunaan atau applied research mode.
Pegawai kerajaan mesti turun padang melaksanakan kerja lapangan dengan mengkaji, menyelidik, membangun dan mengaplikasikan sistem penyelesaian berteknologi kendiri secara pembelajaran mendalam (deep learning), pembelajaran meluas (broad learning) dan pembelajaran mantap (robust learning) yang mampu menelusuri (browsing) dan merakiti (rafting) isu serta penyelesaian terperinci.
Dalam hal itu, sistem outsourcing tidak lagi sesuai dengan konsep pe-ngurusan kerajaan ketika ini. Kerajaan juga harus memastikan subbidang pengkomputeran berkuasa tinggi menjana lebih banyak pekerjaan di jabatan kerajaan dan industri. Subbidang seperti sains data, robotik dan pengurusan teknologi maklumat mesti dikuasai.
Negara mesti melahirkan lebih ramai juruteknik, jurutera teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengurus perhubungan dan ekonomi penjagaan pelanggan bagi memastikan kaedah subsidi bersasar dapat dikawal.
Berdasarkan laporan kajian tentang teknologi dan inovasi di negara-negara Eropah oleh United Nation 2022, bilangan pakar ICT Kesatuan Eropah (EU) meningkat 50.5 peratus bermula 2012 hingga 2022.
Pada 2022, 80.9 peratus golongan lelaki telah bekerja sebagai pakar ICT di EU berbanding 19.1 peratus wanita. Daripada jumlah tersebut, dianggarkan 64.5 peratus pakar ICT di EU telah menamatkan pendidikan kemahiran peringkat profesional. Ia membuktikan EU tahu kepentingan ICT dalam melaksanakan kaedah bersasar.
Pada masa sama, aplikasi perisian dan sistem enjin kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) juga mesti sudah dikuasai secara mantap. Menjelang 2023, 71 peratus anak muda perlu menguasai kemahiran digital asas.
Kerajaan juga mesti menggalakkan bidang Proses Robotik Automasi (PRA) yang berkisar tentang perisian pengkomputeran dan automasi. Saintis Data Raya (big data) dan jurutera robotik automasi perlu diketengahkan.
Secara harfiah, PRA ialah penggunaan perisian untuk mengautomasikan proses perniagaan dan pengurusan seperti mentafsir aplikasi, memproses transaksi, berurusan dengan data dan soal jawab. Antara cabang super komputer yang mesti dikuasai ialah teknologi Peranti Pintar dan Datafikasi yang mampu mengubah sebahagian besar tatacara kehidupan seharian kepada peranti atau perisian yang dikuasakan data sahih.
Penulis percaya AI akan memainkan peranan sangat penting dalam kaedah pelaksanaan subsidi bersasar. AI berkait rapat dengan keunggulan pengecaman imej dan pertuturan, aplikasi navigasi, pembantu peribadi telefon pintar, perkongsian perjalanan dan banyak lagi.
Begitu juga Teknologi Realiti Lanjutan atau Extended Reality (ER) yang mensimulasikan realiti daripada Realiti Maya dan Realiti Ditambah kepada Realiti Campuran. Amanah Digital atau Digital Trust, Genomik dan Penyelesaian Tenaga Baharu juga memainkan peranan besar dalam pelaksanaan kaedah subsidi bersasar.
Penulis percaya Malaysia perlu mengubah dasar sains, teknologi dan inovasi (STI) jika mahu melihat pelaksanaan kaedah subsidi bersasar mencapai realiti yang ditetapkan.
Malaysia mesti membina ketinggian kemahiran perindustrian digital yang teguh dan membangunkan teknologi kendiri bagi membolehkan semua agenda Bajet 2023, khususnya subsidi bersasar dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak berlaku ketirisan.
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca