SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat mempertimbangkan lebih banyak kuota ahli kabinet untuk Barisan Nasional (BN) selain jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet baharu Kerajaan Perpaduan yang bakal... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat mempertimbangkan lebih banyak kuota ahli kabinet untuk Barisan Nasional (BN) selain jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet baharu Kerajaan Perpaduan yang bakal dibentuk.

Menurut Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakob, selaku parti dengan jumlah kerusi Parlimen kedua terbanyak selepas Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sekarang, wajar sekiranya BN mendapat lebih kuota berbanding parti lain.

"BN ada 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan Sabah (Warisan) tiga, jadi wajar sekiranya BN dapat lebih kuota untuk membarisi jemaah kabinet yang baharu,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Terdahulu Anwar yang juga Pengerusi PH dikhabarkan akan melantik dua Timbalan Perdana Menteri bagi melengkapi kabinet bersaiz kecil beliau, seramai 25 orang. Jawatan tersebut dijangka diberikan kepada BN khususnya UMNO dan GPS.

Ramai berteka-teki komposisi kabinet Kerajaan Perpaduan diketuai Anwar.

Dalam pada itu, Mustapha turut menyambut baik sekiranya BN-UMNO diberi peluang mengetuai mana-mana kementerian kritikal seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri.

"BN-UMNO mempunyai ramai tokoh berpengalaman luas dalam selok-belok menguruskan hal ehwal kementerian yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh Anwar bagi mengepalai mana-mana kementerian kanan yang sesuai.

"Pada akhirnya, intipati Kerajaan Perpaduan adalah memilih mereka yang benar-benar layak dan mempunyai kredibiliti untuk melaksanakan amanah tugas, bukan sekadar ‘Tom, Dick and Harry’ atau mana-mana orang yang tidak mempunyai kemahiran dan kemampuan untuk menyelesaikan pelbagai masalah rakyat,” katanya.

Tambah Mustapha, mengambil contoh usul saiz kabinet kecil yang diusahakan Anwar, beliau yakin Ahli Parlimen Tambun itu mempunyai strategi tersendiri bagi mempamer kelainan dan pembaharuan dalam barisan kabinet beliau berbanding pentadbiran terdahulu,

Dalam pada itu, berdasarkan perkembangan semasa, Anwar dijangka membuat pengumuman kabinet beliau petang ini.

Klik di sini untuk terus membaca