BEIJING - Pihak berkuasa kesihatan dan beberapa bandar di China telah memberi isyarat untuk melonggarkan pendekatan ‘sifar Covid-19’ setelah berdepan siri protes secara meluas sejak awal minggu lalu. Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri,... Klik di sini untuk terus membaca

BEIJING - Pihak berkuasa kesihatan dan beberapa bandar di China telah memberi isyarat untuk melonggarkan pendekatan ‘sifar Covid-19’ setelah berdepan siri protes secara meluas sejak awal minggu lalu.

Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri, Sun Chunlan cuba meredakan kemarahan orang ramai dengan menyatakan ancaman varian Omicron sudah semakin berkurangan, selain kadar vaksinasi menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, perkembangan positif tersebut akan menyaksikan negara itu memasuki ‘fasa dan misi baharu’, namun beliau tidak menyebut tentang dasar ‘sifar Covid-19’ yang telah mengundang kemarahan penduduk di kebanyakan bandar utama termasuk Beijing, Shanghai dan Guangzhou yang dikenakan langkah lockdown selama beberapa minggu.

Chunlan mengeluarkan kenyataan itu selepas ibu kota mengumumkan ia akan menarik balik ujian harian Covid-19 yang diwajibkan terhadap seluruh penduduk dalam usaha untuk membendung penularan wabak tersebut.

Jurucakap Majlis Perbandaran Beijing memaklumkan warga emas, individu yang bekerja dari rumah, pelajar dan guru yang terlibat sesi persekolahan secara dalam talian serta mereka yang tidak kerap keluar rumah bakal dikecualikan daripada ‘ujian membosankan’ itu.

Langkah sama diumumkan pihak berkuasa di Guangzhou dan Chengdu selepas ia menyaksikan pertempuran ganas antara pihak berkuasa serta penunjuk perasaan yang berang dengan pelak-sanaan sekatan ketat tersebut.

Komuniti Cina di Melbourne mengadakan demonstrasi secara aman sebagai tanda sokongan terhadap protes di Beijing.

Selain itu, media tempatan melaporkan pihak berkuasa tempatan di Guangzhou dan Beijing juga merancang untuk membenarkan sebahagian kes positif menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Penganalisis ANZ Research melihat tindakan pemerintah yang mula akur dengan desakan orang ramai menunjukkan ia mungkin bersedia untuk mempertimbangkan langkah bagi menamatkan dasar sifar Covid-19 yang ketat.

Pada Khamis, China merekodkan 35,800 kes domestik dan kebanyakannya adalah asimptomatik.

Pelaksanaan sekatan ketat itu telah mencetuskan siri bantahan yang jarang berlaku di China, malah penunjuk perasaan dengan lantang turut mengutuk pemerintah.

Situasi protes luar biasa itu juga dikhuatiri mengembalikan semula tragedi berdarah di Dataran Tiananmen dan kawasan sekitarnya yang kekal menjadi sejarah hitam, berlaku kira-kira 33 tahun lalu.

Pemimpin protes Dataran Tiananmen pada 1989, Wang Dan yang pernah dipenjarakan dan kini hidup dalam buangan berpendapat, gerakan protes itu jelas membuktikan generasi muda sebenarnya bersikap tidak peduli dengan politik.

"Ia menunjukkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap pemerintah, sekali gus menyangkal mitos yang dipaparkan di media.

"Gelombang protes itu telah mendedahkan kebenaran dan hakikat sebenar bahawa terlalu banyak konflik antara masyarakat serta pemerintah,” katanya yang kini berada di Tokyo. Sumber Agensi/ AFP

Klik di sini untuk terus membaca