HAKIKATNYA, sifat sombong adalah berkait rapat dengan penyakit hati dan kecelaruan emosi seseorang individu. Selagi manusia berteraskan nafsu, selagi itulah sifat sombong akan kekal dalam diri.
Walaupun telah banyak pengajaran berkaitan dengan kesombongan, namun mereka tidak pernah serik untuk terus bersikap sombong kerana sikap tersebut melambangkan kehebatan, ketinggian dan kebesaran seseorang individu. Persoalannya, adakah perlu sombong untuk menjadi hebat?
Secara umumnya, terdapat pelbagai jenis kesombongan manusia. Ada yang sombong kerana cerdiknya, pangkat tinggi, banyaknya harta, kesempurnaan wajah, keturunan yang hebat dan ramai pengikut mereka.
Namun, jenis kesombongan yang paling teruk adalah kesombongan tidak mahu mendengar nasihat dan pandangan orang lain.
Menurut perspektif psikologi, kesombongan adalah sifat keyakinan diri yang melampau terhadap keupayaan dan pengetahuan yang ada dalam diri berbanding dengan orang lain.
Bagi mereka, orang lain mempunyai keupayaan yang rendah jika dibandingkan dengan dirinya. Secara teori, mereka bersikap sedemikian kerana menyembunyikan perasaan takut, tidak selamat dan kurang yakin untuk berdepan persekitaran.
Justeru, sebelum orang lain ‘tendang’ dirinya keluar, lebih baik dia ‘tendang’ orang lain dengan sikap kesombongan tersebut.
Sebetulnya, naratif perbincangan sikap sombong adalah sangat luas. Yang jelas, mereka yang bersikap sombong, bila tiba masanya akan ditundukkan keegoannya oleh ALLAH SWT.
Larangan menjauhi sikap sombong adalah sejajar dengan firman ALLAH SWT: "Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.” (Surah al-Israa’, 17:37).
Selain itu, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.” (Hadis Riwayat Muslim).
Berkaitan dengan keegoan yang ditundukkan oleh ALLAH SWT, izinkan saya berkongsi pengalaman bersama penghuni Pusat Koreksional, Jabatan Penjara Malaysia baru-baru ini.
Semasa pertemuan tersebut, saya telah bertanya soalan kepada penghuni Pusat Koreksional: "Adakah anda yakin tempat ini boleh mengubah akhlak dan perspektif anda tentang kehidupan?” Mereka tunduk dan terdiam dengan pertanyaan tersebut.
Bicara saya diteruskan lagi: "Tahukah anda bahawa sifat sombong anda sebelum ini telah ditundukkan oleh ALLAH SWT di tempat ini.
Jika sebelum ini, anda sangat angkuh dengan kehebatan diri, sangat pentingkan diri dan tidak mendengar nasihat ibu bapa, saudara-mara dan guru-guru, maka di sinilah tempatnya untuk merendahkan keegoan anda semua. Pada masa sama, menghalang anda semua bersikap sombong dengan lebih mudarat.”
Pendek kata, sikap sombong merentasi kepelbagaian watak manusia. Ada yang masih sombong, menjual barangan keperluan dengan harga mahal dan sorokkan barang.
Ada juga majikan yang begitu sombong dengan pekerjanya dan pelbagai jenis kesombongan lagi.
Ingatlah, kesombongan itu berkait dengan ketenangan jiwa. Menurut Dr Yusof Al-Qaradhawi menerusi bukunya Kemanisan Iman - "Tidak syak lagi bahawa ketenangan jiwa merupakan kebahagiaan. Akan tetapi, bagaimana jalan untuk mendapatkannya sekiranya ia merupakan suatu yang tidak terhasil dengan kecerdikan, tidak juga dengan ilmu, kesihatan, kekuatan, harta kekayaan, kemasyhuran dan kenamaan?
"Sesungguhnya ketenangan jiwa hanya ada satu sumber sahaja iaitu beriman kepada ALLAH dan hari akhirat dengan iman yang benar-benar mendalam serta tidak dicacatkan oleh keraguan dan dirosakkan dengan sifat munafik.”
Justeru, sebelum ditundukkan kerana sikap sombong, laksanakan tugas dengan amanah, jujur dan adanya rasa malu kepada ALLAH SWT.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca