DALAM disiplin Sains Politik, demokrasi berparlimen juga dikaitkan dengan istilah kerajaan kabinet (cabinet government). Lazimnya, kerajaan kabinet merujuk kepada kepentingan menteri kabinet membuat keputusan bersama sebagai sebuah pasukan... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM disiplin Sains Politik, demokrasi berparlimen juga dikaitkan dengan istilah kerajaan kabinet (cabinet government). Lazimnya, kerajaan kabinet merujuk kepada kepentingan menteri kabinet membuat keputusan bersama sebagai sebuah pasukan terhadap portfolio kementerian masing-masing.

Melaluinya, menteri-menteri kabinet mungkin mempunyai pandangan atau pendapat berbeza, namun di akhirnya mereka tertakluk kepada keputusan yang diputuskan oleh kabinet secara konsensus berdasarkan prinsip tanggungjawab kolektif (collective responsibility).

Prinsip tanggungjawab kolektif inilah yang mengikat setiap menteri dengan keputusan kabinet, walaupun mereka tidak terlibat dalam perbincangan membuat keputusan. Ia bagi memastikan menteri dan kerajaan bertindak sebagai satu unit yang boleh ditanya serta dipertanggungjawabkan oleh Parlimen.

Justeru, pembentukan kabinet akan lebih mudah jika parti memperoleh majoriti pada pilihan raya. Namun, ia akan bermasalah sekiranya tiada parti memperoleh majoriti mudah diperlukan bagi membentuk kabinet seperti yang berlaku di negara kita ketika ini.

Dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan (atau campuran) yang menggabungkan beberapa blok parti, pembentukan kabinet sememangnya satu tugas yang sulit.

Mengapa sulit? Pertama, proses membentuknya memerlukan banyak perundingan bagi memastikan semua pertimbangan diambil kira agar pihak membentuk gabungan itu mendapat sesuatu secara pro rata. Dengan saiz kabinet yang dijangka kecil atau sederhana, hal itu menjadi lebih mencabar.

Kedua, ia perlu dibentuk dalam kalangan pemimpin berkebolehan, berwibawa dan ada integriti tanpa perlu mengikut hierarki parti seperti selalu. Dalam hal ini, anggota kabinet harus merangkumi pelbagai kepakaran dengan mengambil kira rekod prestasi, latar belakang pendidikan, kelayakan profesional dan persepsi umum terhadap mereka.

Dengan komposisi gabungan sedemikian, barangkali sukar untuk mencari siapa dalam kalangan parti tertentu mereka yang benar-benar memenuhi semua kriteria tersebut. Sungguhpun begitu kabinet tetap perlu dibentuk.

Hakikat bahawa ia adalah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk melalui kerjasama antara parti, dahulunya ber-musuhan sepatutnya menjadi nota kaki sejarah sahaja.

Soalnya, bagaimana kabinet boleh dibentuk di sebalik segala perkara yang timbul. Ada beberapa cadangan bagaimana kabinet perpaduan boleh dilakukan walaupun tiada jaminan ia akan bertahan seperti diharapkan. Namun, sekurang-kurangnya sebuah kabinet yang harmoni mungkin boleh direalisasikan.

Pertama, semua pihak harus berlapang dada bahawa mereka sedang menubuhkan satu permuafakatan besar parti politik baharu berkongsi kuasa dengan dua objektif utama iaitu bagi membentuk kestabilan politik dan keperluan untuk kemajuan negara.

Dalam hal itu, kesemua parti harus menjadi rakan kongsi yang sama. Setiap kementerian dikawal secara bersama dan dasar kerajaan mestilah ditentukan secara kolektif.

Paling baik, kapasiti kabinet mestilah dibuat berdasarkan kaedah proporsional – mengikut peratusan berdasarkan jumlah kerusi dimiliki parti masing-masing.

Kedua, kepentingan bagi semua pihak untuk meletakkan perbezaan ideologi dan fahaman politik masing-masing atas kesedaran bahawa kemajuan negara memerlukan pertumbuhan ekonomi melalui pendekatan baharu, hala tuju dasar yang jelas serta kompetitif.

Ketiga, saiz kabinet masih boleh bersaiz sederhana (bukan kecil) asalkan bersifat pluralistik, praktikal, cekap dan berkesan.

Ia harus mengambil kira kemampuan kabinet untuk bekerjasama baik dengan kakitangan awam sebagai tulang belakang kerajaan, selain mampu menangani enam masalah kritikal dihadapi rakyat iaitu kestabilan politik, kelembapan ekonomi, kos sara hidup dan harga barang, peluang pekerjaan serta gaji bermaruah, pen-didikan dan hubungan antara kaum.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca