TEKA-TEKI siapakah wajah pemimpin yang bakal mewarnai kabinet Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya terjawab pada Jumaat malam.
Secara rasminya, Anwar mengumumkan sejumlah 28 pemimpin daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan seorang tokoh agama telah diumumkan mengisi jawatan menteri dalam kabinet baharu.
Daripada angka itu, PH mendominasi dengan 15 portfolio menteri masing-masing
lapan menteri dilantik dalam kalangan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk Anwar sendiri yang menerajui Kementerian Kewangan, diikuti DAP (empat menteri), Amanah (dua menteri) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) satu menteri.
Parti lain menyertai kerajaan campuran PH tidak ketinggalan mengisi kedudukan dalam jemaah menteri dengan BN (enam menteri), GPS (lima menteri) dan GRS turut diagihkan satu jawatan menteri.
Sementara itu, Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohd Na'im Mokhtar merupakan satu-satunya tokoh profesional yang dilantik untuk memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Mohd Na'im juga merupakan salah seorang daripada empat lantikan senator yang dipilih menggalas jawatan menteri kabinet kali ini, selain Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri); Bendahari BN Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau MITI) dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Luar Negeri).
Bagi pelantikan pemimpin wanita untuk kabinet Kerajaan Perpaduan, sejumlah lima pemimpin PKR, BN dan GPS yang dikenal pasti memegang portfolio kementerian yang agak signifikan dan memberangsangkan.
Menteri-menteri wanita yang dilantik adalah Ahli Parlimen Santubong daripada GPS, Datuk Seri Nancy Shukri yang memegang portfolio Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Ahli Parlimen Pengerang daripada BN, Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri Undang-Undang dan Reformasi); Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Ahli Parlimen Sekijang daripada PKR, Dr Zaliha Musfafa (Menteri Kesihatan).
Secara permukaannya, pelantikan 28 menteri kabinet baharu yang berasaskan komposisi penglibatan pemimpin parti-parti menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan dilihat agak stabil walaupun kurang mencerminkan simbolik peralihan kepimpinan generasi baharu apatah lagi reformasi.
KEJUTAN NAMA ANWAR
Sebagaimana dijangka, Anwar mencipta sejarah politik negara apabila menjadi Perdana Menteri pertama yang melantik dua jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada kalangan pemimpin BN dan GPS.
Tidak ketinggalan, ini juga kali pertama dalam sejarah Malaysia, pemimpin Borneo mengisi kedudukan Timbalan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, satu-satunya kejutan terbesar dalam pelantikan kabinet kali ini pastinya merujuk kepada pelantikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang terpalit kes mahkamah, untuk mengisi salah satu daripada dua kuota jawatan TPM itu.
Pada saat Anwar menjanjikan pembentukan kabinet baharu mesti bersih daripada isu mahkamah selain bersaiz lebih kecil, pelantikan Ahmad Zahid sebaliknya mampu mengundang persepsi negatif dan risiko penolakan rakyat terhadap beliau dan PH pada skala membimbangkan.
Hakikat itu diakui bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang tidak menafikan pelantikan Ahmad Zahid amat kontroversi dan pastinya mengecewakan rakyat yang mengharapkan Anwar mengotakan janji melaksanakan transformasi pentadbiran negara.
"Bagaimanapun perlu diingat kerajaan terbentuk hari ini adalah kerajaan gabungan parti-parti politik dengan Anwar perlu melantik Ahmad Zahid memegang jawatan TPM mengikut hierarki parti demi menjamin kestabilan UMNO, sekali gus memastikan kelangsungan Kerajaan Perpaduan terpelihara.
"Anwar menyedari beliau perlu belajar daripada kesilapan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak melantik ketua parti UMNO sebagai TPM sewaktu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan akhirnya menyebabkan kerajaan stabil," kata Mohamad Khir kepada Sinar Premium.
Berikutan itu, Mohamad Khir percaya kabinet baharu ini perlu bekerja lebih kuat dengan mengemukakan segera polisi dan dasar kerajaan yang benar-benar mengurangkan beban rakyat dalam mendepani isu kenaikan harga barang, kos sara hidup dan kadar gaji rendah jika mahu mengembalikan semula keyakinan awam.
Hal ini kerana selain isu pelantikan kontroversi Ahmad Zahid, pemimpin veteran UMNO itu melihat pelantikan pemimpin lain dalam kabinet Kerajaan Perpaduan adalah relevan, bersesuaian dengan portfolio dipegang dan tidak mempunyai liabiliti moral.
"Sebagai contoh, pelantikan lapan pemimpin PKR mencakupi pemilihan Rafizi dan Saifuddin Nasution sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Dalam Negeri dilihat mengukuhkan suara parti itu dalam kerajaan Anwar.
"Anwar turut berjaya menyatukan kem Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming apabila memastikan pemimpin daripada kedua-dua kem berkenaan diberi portfolio bersesuaian, selain mengenepikan nama Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang turut terpalit kes mahkamah.
"Agihan jawatan menteri untuk parti-parti lain menyokong kerajaan seperti GPS, GRS dan Amanah juga adalah berasaskan angka relevan mengambil kira komposisi kerusi dimenangi parti-parti itu pada PRU15.
"Cuma menjadi tanda-tanya adalah ketiadaan nama-nama besar dalam DAP seperti Gobind Singh Deo (Pengerusi DAP Selangor), Liew Chin Tong (Pengerusi DAP Johor) dan Ahli Parlimen Damansara, Yeoh Bee Yin dalam kabinet baharu ini.
"Adakah kelompok pemimpin senior DAP ini enggan berada dalam kabinet atas faktor-faktor tertentu?," soal Mohamad Khir.
MENTERI BN PRO ZAHID?
Dalam soal pelantikan enam menteri BN yang tidak melibatkan MCA dan MIC, Mohamad Khir percaya keputusan itu dibuat susulan tindak-tanduk kurang menyenangkan kedua-dua parti komponen BN itu terhadap Ahmad Zahid sewaktu saat getir Parlimen tergantung.
Selain itu, pelantikan lima pemimpin UMNO yang dianggap pro Ahmad Zahid juga adalah satu kewajaran bagi mengukuhkan kedudukan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu selaku presiden parti menjelang pemilihan parti yang dijangka diadakan pada Februari 2023.
"Lagipun enam pemimpin berkenaan termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan) juga merupakan individu berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan termasuk Ahmad Zahid sendiri (Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah).
"Soal saiz kabinet tidak menepati angka magis 25 menteri juga bukan isu besar.
"Perkara paling penting yang perlu dibuktikan kabinet baharu ini adalah kesemua menteri dilantik berfungsi sepenuhnya dan membawa reformasi pentadbiran diperlukan negara," tegas Mohamad Khir.
Klik di sini untuk terus membaca