SHAH ALAM - Di sebalik kepelbagaian komposisi kabinet Kerajaan Perpaduan diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin Barisan Nasional (BN) dilihat berjaya disenaraikan dalam beberapa portfolio kementerian penting termasuklah Timbalan Perdana Menteri yang disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berpendapat, BN-UMNO diberi portfolio beberapa kementerian penting disebabkan Anwar perlu memastikan sokongan jitu parti itu terhadap Pakatan Harapan (PH).
Malah katanya, strategi tersebut juga ibarat serampang dua mata kerana selain menguatkan sokongan terhadap kerajaan PH, Anwar perlu memastikan kem Zahid juga kukuh dalam parti UMNO terutamanya menjelang pemilihan tahun depan.
"Keputusan memberikan beberapa portfolio kementerian kritikal kepada BN-UMNO boleh dilihat sebagai satu strategi politik Anwar bagi memastikan sokongan tidak berbelah-bagi terhadap kerajaan diketuai PH untuk jangka masa panjang.
"Pada masa sama, ia juga boleh dianggap langkah untuk menguatkan sokongan dan memastikan kemenangan kem Pengerusi BN terbabit ketika pemilihan UMNO akan datang.
"Misalnya, jika kem Ahmad Zahid tewas dan kem yang menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat cenderung kepada Perikatan Nasional menang, maka tidak mustahil sokongan terhadap PH besar kemungkinan akan ditarik semula,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Untuk rekod, selain Ahmad Zahid yang dilantik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, lima lagi wakil BN-UMNO turut dilantik sebagai menteri dalam kabinet baharu Anwar seramai 28 orang.
Mereka termasuk, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Menteri Pertahanan; Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Datuk Seri Khaled Nordin (Menteri Pendidikan Tinggi); Datuk Seri Azalina Othman (Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi) serta Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Menteri Luar Negeri)
"Keseluruhannya BN-UMNO memegang enam kementerian (termasuk kementerian yang dipimpin Ahmad Zahid) dan kementerian yang dipegang seperti Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Pendidikan Tinggi mempunyai kuasa naungan (patronage) yang signifikan.
"Menteri Pendidikan Tinggi umpamanya menentukan pemilihan Naib Canselor IPTA, yang di bawah Naib Canselor itu pula bernaung ribuan siswazah universiti bakal mencorakkan masa depan negara,” katanya lagi.
Tambah Ahmad Fauzi, dalam situasi Kerajaan Perpaduan diketuai PH memerlukan sokongan BN untuk menjadi kuasa pentadbiran negara, Anwar dilihat terpaksa mengorbankan idealisme beliau dan sebaliknya perlu pragmatik.
"Daripada sudut idealisme, sangat baik sekiranya jawatan Timbalan Perdana Menteri itu tidak diberikan kepada individu yang mempunyai kes mahkamah namun disebabkan mahu memastikan sokongan BN tidak berganjak, maka Anwar terpaksa bersikap pragmatik walaupun sebelum ini menguar-uarkan mahu memiliki kabinet yang ‘bersih’.
"Daripada satu sudut lain, Ahmad Zahid juga sepatutnya berjiwa besar dan dari awal lagi tidak menawarkan diri untuk menjadi anggota kabinet sehinggalah kes-kes mahkamahnya selesai.
"Tindakan Ahmad Zahid menerima jawatan tinggi dalam kerajaan mendedahkan Anwar kepada serangan dari musuh politiknya sebagai pemimpin tidak berprinsip,” katanya.
Menariknya, tiada nama lain yang terpalit kes mahkamah seperti Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tersenarai dalam kabinet Anwar.
Terdahulu, menerusi pengumuman yang tertunda dari jam 5 petang hingga 8.15 malam Jumaat, Anwar yang juga Pengerusi PH melantik seramai 28 menteri kabinet baharu dalam Kerajaan Perpaduan pimpinannya.
Senarai kabinet didahului oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sendiri selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, diikuti jawatan kontroversi Timbalan Perdana Menteri yang disandang dua figura politik, masing -masing dari BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Komposisi kabinet Anwar turut menyaksikan ‘comeback’ tiga nama yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang dilantik sebagai Menteri Luar Negeri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Menteri Dalam Negeri.
Sementara itu, Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Mohd Na'im Mokhtar yang merupakan satu-satunya lantikan bukan dari parti politik dipilih sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Klik di sini untuk terus membaca