SHAH ALAM - Komponen Barisan Nasional (BN), MIC tidak berkecil hati apabila tidak tersenarai dalam kabinet kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diumumkan pada malam Jumaat kerana sememangnya tiada permintaan jawatan tersebut daripada mula.
Sebelum ini, satu-satunya Ahli Parlimen MIC, Datuk Seri M Saravanan dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia di bawah kerajaan Persekutuan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkumi BN, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak dan Pas.
Sementara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam dilantik sebagai Menteri Pengangkutan manakala ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pula memegang jawatan Timbalan Menteri 1 Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Namun, berdasarkan senarai 28 menteri yang diumumkan oleh Anwar semalam, tiada wakil daripada parti MIC mahupun MCA dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.
"MIC tidak kecewa dengan kabinet yang telah dibentuk kerana tidak ada permintaan. Dari awal saya sudah menyatakan, menyokong Kerajaan Perpaduan ini bukan di atas rundingan BN tetapi ia merupakan titah Tuanku.
"Oleh itu, kami tidak pernah menuntut mahupun menolak. Ini adalah keputusan di atas kebijaksanaan Perdana Menteri,” kata Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Tambah Vigneswaran, MIC tidak berasa terkilan dan akur dengan keputusan yang telah dibuat atas budi bicara Anwar dengan perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Tiada sebab untuk saya rasa terkilan dan saya terima dengan hati yang terbuka. Dari dahulu memang hanya ada satu menteri yang dilantik untuk mewakili kaum India.
"Seperti nama Kerajaan Perpaduan, saya berharap mereka di jemaah menteri tidak bergaduh antara satu sama lain dan boleh bekerjasama dengan baik. Itu sahaja,” katanya.
Bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu juga berharap kerajaan kali ini akan berfungsi sebagai kerajaan yang mementingkan dan menguatkan ekonomi supaya kesejahteraan rakyat terjamin.
"Buat masa sekarang yang paling penting adalah kestabilan ekonomi dan bukan politik dendam.
"Saya berharap mereka kekal maju ke hadapan dan jangan bagi alasan bahawa negara bankrup dan sebagainya tetapi lebih fokus membuat yang terbaik untuk rakyat dan Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, majlis angkat sumpah kesemua 28 menteri berlangsung pada Sabtu di Istana Negara pada jam 3 petang.
Klik di sini untuk terus membaca