SHAH ALAM - Pengumuman barisan kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat malam, menerima pelbagai sudut pandang sama ada pujian dan juga kritikan.
Dari sudut positif, pengecilan saiz kabinet beliau memperlihatkan kesungguhan Anwar menunaikan janjinya, namun beberapa perkara masih boleh diperbaiki pada masa mendatang.
Antara yang mengkritik Anwar ialah Jawatankuasa Pemandu Bersih (Bersih) yang berpendapat wujud pelantikan yang dipersoalkan manakala reformasi perlu disegerakan bagi membaik pulih kabinet Perdana Menteri ke-10 itu.
"Kami kesal kerana Anwar telah melantik dirinya untuk memegang portfolio kewangan yang mustahak, di mana ia akan melemahkan fungsi semak dan imbang yang diperlukan bagi menjamin kita tidak kembali kepada zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak Tun Razak di mana Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan hampir membankrapkan negara melalui skim 1MDB.
"Kami juga kecewa kerana Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sedang menjalani perbicaraan 47 pertuduhan rasuah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan memegang jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
"Walaupun kami memahami politik di sebalik pelantikan ini, ia mengecewakan apabila prinsip telah dikebelakangkan," kata Pengerusi Bersih, Thomas Fann dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelas Bersih, kedua-dua pelantikan itu mengancam usaha dan komitmen Anwar untuk melawan korupsi.
Justeru tegas mereka, Anwar dan kabinet baharunya harus segera mengutamakan tiga tindakan bagi menghapuskan sebarang keraguan campur tangan dalam kes mahkamah dan konflik kepentingan.
"Bersih mendesak pimpinan Anwar supaya Peguam Cara Negara mengambil peranan Pendakwa Raya dengan segera sehingga pindaan perlembagaan dibuat untuk memisahkan peranan tersebut daripada Peguam Negara.
"Selain itu, usaha menggalakkan kestabilan politik dan pemantauan Parlimen perlu dirangsang dengan memberikan peranan bermakna kepada pembangkang dan backbencher kerajaan dalam kabinet bayangan dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK), dengan gaji yang selayaknya, serta sokongan kajian polisi dan akses maklumat kerajaan kepada menteri bayangan serta pengerusi dan timbalan pengerusi JPK.
"Hal ini seterusnya akan diperkukuh melalui penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen dan penubuhan Jabatan Belanjawan Parlimen," katanya.
Menurut Bersih, usaha mereformasi proses pelantikan dan pemecatan pegawai awam utama seperti Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pesuruhjaya Suhakam juga harus dilakukan.
Bersih bagaimanapun memuji lantikan Datuk Seri Azalina Othman yang dilihat sebagai sesuatu yang positif dari sudut kedudukan gender dalam kabinet.
"Kami juga gembira Azalina adalah antara lima wanita yang dicalonkan untuk menerajui kementerian utama seperti Pendidikan, Kesihatan, Belia dan Sukan serta Wanita dan Keluarga. Walaupun kabinet ini mempunyai ramai perwakilan wanita, ia masih jauh daripada kesetaraan gender dalam kabinet," katanya.
DILEMA ANWAR
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar pula menyifatkan barisan kabinet Anwar wujud seperti sekarang kerana 'saling memerlukan dalam keterpaksaan' susulan keperluan menubuhkan kerajaan setelah Parlimen tergantung selama lima hari.
"Keadaan berubah apabila BN menerima tawaran untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, diikuti parti dari Sabah dan Sarawak," katanya.
Namun tegasnya, pelantikan Ahmad Zahid juga disebabkan wujud dilema dan keterpaksaan.
"Kepimpinan Zahid diperlukan oleh Anwar kerana kem Zahid sahaja yang mendukung keputusan ini. Sebilangan ahli Parlimen BN yang lain ingin bersama Perikatan Nasional (PN)," jelas beliau.
Tambahnya, bagi melancarkan pentadbiran Anwar, Ahmad Zahid perlu menang dalam pemilihan UMNO yang akan datang.
"Kepimpinan Zahid harus menang agar kerajaan ini kekal. Anwar juga faham realiti ini. Maka, Zahid dan pasukannya wajib berada dalam kabinet bagi menguruskan kelangsungan UMNO dalam kerajaan ini sehingga tamat penggal pentadbiran," katanya.
Tambahnya, pemilihan bekas Menteri Kewangan ketika zaman pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menimbulkan tanda tanya.
"Apa hebatnya beliau boleh bertahan dalam tiga kerajaan walaupun tewas dalam pilihan raya. Malah terdapat beberapa nama mereka yang tewas sebagai ahli Parlimen tetapi dipilih kerana mereka pemimpin parti seperti Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir," katanya.
INFO
Antara pujian & kritikan
Positif
-Pengecilan saiz kabinet.
-Lantikan paling ramai wanita dalam barisan kabinet.
-Barisan kabinet 'berwajah Malaysia'.
Negatif
-Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan.
-Lantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai TPM yang masih terpalit dengan isu rasuah.
-Lantikan mereka yang tewas dalam PRU menjadi ahli kabinet.
Klik di sini untuk terus membaca