[WAWANCARA] Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar antara pemimpin yang telah lama bergelumang dalam politik tanah air.
Figura ini dilihat begitu lantang membangkitkan isu rakyat sama ada ketika berhujah di dalam mahupun luar Parlimen.
Namun mengejutkan apabila beliau yang diberikan mandat sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena selama empat penggal tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila gelodak politik negara semakin mencengkam.
Buat pertama kali dalam sejarah negara, keputusan PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan Persekutuan.
PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua), manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), masing-masing menang satu kerusi.
Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, ROSLINDA HASHIM mengupas beberapa isu selepas Amanah mengalami kemerosotan dalam PRU15.
SINAR HARIAN: Secara keseluruhan, boleh Datuk gambarkan prestasi Amanah dalam PRU15 berbanding PRU14?
MAHFUZ: Kerusi dimenangi Amanah merosot daripada 11 kerusi pada PRU14 kepada lapan dalam PRU15.
Dalam PRU14, Amanah bertanding hampir 30 kerusi manakala PRU15 hampir 50 kerusi. Kita harus lihat kedudukan sekarang hanya lapan wakil rakyat di Parlimen.
Saya akui berlaku kemerosotan dan sudah tentu ada punca-puncanya. Kami akan lakukan ‘post mortem’ PRU15 untuk kenal pasti punca dan perbaiki.
- Amanah menyumbang lapan kerusi Parlimen untuk PH, ada yang kekal dan gagal dipertahankan. Kerusi kategori manakah yang dibolot Amanah?
Enam kerusi kita pertahankan iaitu di Kota Raja, Shah Alam, Sepang, Hulu Langat, Pulai dan Kuala Selangor manakala dua Parlimen baru yang menjadi milik Amanah ialah Alor Gajah dan Seri Gading.
DAP mahupun PKR juga mengalami kemerosotan undi dan jumlah kerusi dimenangi.
Ada sebahagian adalah kubu kuat PH, berasaskan kepada kekuatan komposisi pengundi lebih ramai bukan Melayu.
Kali ini lebih 90 peratus pengundi Cina dan lebih 80 peratus pengundi India memberikan undi kepada PH.
Kedudukan itu menjadikan sukar untuk sebarang gerakan seperti gerakan Melayu-Islam mempengaruhi pengundi di kawasan dimenangi Amanah, khususnya kawasan campuran yang juga kubu kuat PH.
Ada kerusi seperti di Kota Raja dan Pulai undi tak banyak terjejas dan menang majoriti besar kecuali di kawasan komposisi bukan Melayu yang tidaklah begitu tinggi.
Namun ada tempat yang pengundi Melayu lebih terbuka dan berpendidikan memilih PH dan mereka sukar dipengaruhi oleh sentimen dibawa PN.
- Sebelum PRU15, adakah Amanah dijanjikan apa-apa habuan atau syarat sekiranya berjaya membentuk kerajaan?
Tidak ada apa-apa syarat (sebagai umpan). Difahamkan, bergantung kepada keputusan PRU15 iaitu peratusan yang kita peroleh daripada 222 kerusi Parlimen. Contohnya Amanah menang lapan kerusi bermakna dikira berapa peratus untuk lebih adil.
- Dapatkah Amanah menerima BN sebagai sebahagian rakan gabungan Kerajaan Perpaduan memandangkan sebelum PRU15 masing-masing ‘berperang’ antara satu sama lain. Bolehkah terima hakikat pemimpin BN diberikan jawatan dalam pentadbiran walaupun parti itu kalah teruk disebabkan penolakan rakyat?
Mahu tidak mahu kita harus terima, sama ada suka atau tidak. Ini kerana Kerajaan Perpaduan adalah titah Yang di-Pertuan Agong, selain satu-satunya penyelesaian yang ada dengan wujudkan gabungan.
Kita tidak ada pilihan melainkan perlu bergabung sebab tidak ada satu parti yang capai majoriti mudah membentuk kerajaan. Kita mesti berjiwa besar sekarang untuk urus negara, bukan lagi urus parti.
Berbeza ketika dalam PRU15, kita menguruskan parti untuk menang kerusi paling banyak bagi membentuk kerajaan.
Sekarang keputusan tidak memihak kepada mana-mana parti, mahu atau tidak hendaklah gabung. Kalau tak mahu bersama BN tentulah PN.
Begitu juga PN, kalau dia tak mahu bersama PH, mesti dengan BN. Semua parti kena terima hakikat, mesti bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
Akhirnya PH pilih BN atas manfaat kepada negara. Baginda mahu semua parti berada dalam kerajaan tanpa pembangkang.
Pembangkang boleh wujud tetapi dalam versi ‘pembangkang dalam kerajaan’ sebagai semak dan imbang. Tak semestinya isytihar sebagai parti pembangkang.
Oleh kerana PN ego, mereka enggan sertai Kerajaan Perpaduan. Saya anggap PN sebagai kumpulan anti-perpaduan.
Jadi PH perlu halang PN membentuk kerajaan sebab mudaratnya lebih besar kerana membawa doktrin yang boleh merosakkan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Isu rasuah yang dikaitkan dengan BN boleh ditangani dengan undang-undang. Tetapi doktrin sukar ditangani kerana melibatkan pemikiran ekstrem dan boleh memporak-perandakan masyarakat.
Kita tak boleh nak halang individu berfikir sesuatu di luar kerangka yang bertunjangkan Rukun Negara. Sebab itu saya sifatkan PN membawa mudarat besar menerusi doktrin yang boleh merosakkan pemikiran masyarakat.
Tak semua pemimpin BN itu bermasalah, pilih yang bersih dan tak terpalit dengan rasuah atau jenayah untuk anggotai kabinet.
- Secara dasarnya, PH kalah di negeri, namun menang peringkat negara. Umpama titah Yang di-Pertuan Agong, yang menang tak semua menang dan yang kalah tak semua kalah. Boleh Datuk ulas?
Titah Baginda menggambarkan supaya semua parti harus melihat isu rakyat dan negara. Bukan lagi nak pertahankan parti, ia sudah berlalu dalam konteks PRU15.
PH harus mengambil pengajaran melihat keputusan PRU15 yang memberikan petunjuk tidak baik kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk Kedah, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
PRU15 lalu menunjukkan undi PH di setiap DUN merosot, kita harus mengambil langkah atasi persoalan membabitkan pengundi muda, kali pertama mengundi selain kempen keterlaluan pihak lawan serta tuduhan fitnah sepanjang PRU.
Kita harus ada persediaan untuk hadapi keadaan tersebut, khususnya menguasai media sosial untuk pastikan mesej sampai kepada semua.
Walaupun PH terajui negara, gerak kerja parti di enam negeri yang belum bubar tidak boleh diabaikan, jangan leka dan harus berjalan dengan baik.
Jangan anggap apabila PH memerintah negara, kita mula alpa, tidak boleh begitu. Semua gerakan parti harus lancar di semua peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) kerana pilihan raya boleh berlaku bila-bila masa pada tahun depan.
- PH mengalami kekalahan teruk di Kedah sehinggakan hanya menang satu kerusi berbanding tujuh dalam PRU14, di mana silapnya percaturan atau berlaku tsunami PN?
Saya tidak melihat adanya kesilapan dalam percaturan PH, yang mengagihkan kouta parti bertanding, itu bukan punca kekalahan.
Saya beranggapan ia berpunca daripada kealpaan PH terhadap gelombang fitnah selain provokasi mengerikan sehingga menjadi ketakutan pengundi.
Kealpaan media sosial PH yang tidak bertindak cepat tangkis tohmahan dan berita tidak tepat disebarkan PN. BN tidak dilihat sebagai ancaman sangat dan kurang menyerang PH. Kesilapan PH adalah kerana kita lebih banyak tertumpu kepada menyerang BN sehingga alpa kepada gerakan PN. Kita jangka PN tidak dapat mempengaruhi masyarakat pada waktu itu, ini kesilapan kita yang harus diperbaiki.
- Datuk turut tewas walaupun menang empat penggal di kerusi sama (Pokok Sena), adakah sudah dijangkakan?
Saya tak jangka tewas seperti ini dan tidak sangka Pokok Sena akan jadi milik PN. Saya terima kekalahan tetapi saya tetap rumuskan ia disebabkan oleh gelombang fitnah dan provokasi ngeri yang cuba menakutkan pengundi terhadap PH sehingga pengundi hilang rasional menilai mana betul atau salah.
- Adakah Datuk bersedia bertanding lagi dan tidak akan menyerah kalah?
Terserah kepada parti untuk calonkan atau tidak, saya akan terus bekerja sebagai Naib Presiden Amanah dan Pengerusi PH Kedah. Bertanding atau tidak dalam PRU16, terserah pada parti. Apa sahaja tugas diberikan parti, saya bersedia.
- Selain Datuk, beberapa nama besar dalam PH tewas di kubu kuat, antaranya Datuk Seri Saifuddin Nasution (Kulim Bandar Baharu), apa isyarat disampaikan rakyat?
Ia bukan isyarat penolakan rakyat, sebaliknya igauan buruk yang mempengaruhi pengundi menerusi politik pihak lawan yang menakutkan.
Berbeza pilihan raya terdahulu, isyaratnya jelas untuk menolak kleptokrat. Kali ini bukan tsunami, tetapi dipengaruhi tanggapan buruk terhadap PH.
- Apa iltizam Amanah selepas PRU15?
Atas semangat Kerajaan Perpaduan, kita perlu pastikan ia bukan sekadar atas kertas tetapi harus kembalikan konsep masyarakat penyayang dan hidup harmoni pelbagai kaum.
Amanah dengan semangat rahmatan lil alamin akan membawa kepada masyarakat konsep berkasih sayang dalam kehidupan tanpa ada permusuhan selain bersama kerajaan membasmi pemikiran ekstrem.
Tugas ini perlu dipikul Amanah bersama PH untuk Malaysia yang lebih selamat dan stabil agar tumpuan dapat difokuskan kepada memulihkan ekonomi negara.
Klik di sini untuk terus membaca